Taktik Arsenal tidak disenangi, tapi mungkin bawa mereka ke kejuaraan EPL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taktik Arsenal tidak disenangi, tapi mungkin bawa mereka ke kejuaraan EPL

Arsenal peroleh kemenangan 1-0 ke atas Brighton, kali ke-10 menang dengan hanya satu gol
Mar 5, 2026 | 2:11 PM

Taktik Arsenal tidak disenangi, tapi mungkin bawa mereka ke kejuaraan EPL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka, meraikan gol tunggal perlawanan Liga Perdana England (EPL) mereka menentang Brighton.
Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka, meraikan gol tunggal perlawanan Liga Perdana England (EPL) mereka menentang Brighton. - Foto AFP

BRIGHTON: Arsenal kini semakin dilihat sebagai ‘watak jahat’ dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana England (EPL).

Namun kemenangan tipis Arsenal ke atas Brighton mungkin akhirnya menjadi detik yang membawa mereka kepada kejayaan.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta berkemungkinan besar akan muncul sebagai juara yang tidak disenangi ramai.

Pendekatan mereka yang ganas dan pragmatik semakin mendapat perhatian, malah sering dikritik.

Kritikan itu bertambah selepas perlawanan yang penuh kontroversi dimenangi Arsenal 1-0 hasil jaringan awal Bukayo Saka.

Kemenangan itu melebarkan jurang mereka di puncak liga kepada tujuh mata, satu kelebihan yang boleh menjadi penentu dalam perebutan kejuaraan.

Adakah Arsenal dan Arteta peduli jika cara mereka dipersoalkan asalkan penantian 22 tahun untuk menjuarai EPL akhirnya berakhir? Kemungkinan besar tidak.

Pasukan Arteta sering dikritik kerana didakwa menggunakan taktik kotor serta terlalu bergantung kepada situasi bola mati untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas.

Kemenangan 1-0 di Stadium Amex boleh dikatakan contoh paling jelas permainan yang tidak menarik.

Arsenal tidak menghasilkan peluang jelas untuk menjaringkan gol sepanjang perlawanan.

Mereka hanya mencatat percubaan tepat kedua pada minit ke-88 menerusi Kai Havertz.

Kemenangan itu juga menjadi kali ke-10 musim ini Arsenal menang dengan hanya satu gol.

Dengan Arsenal menang dan Manchester City pula tercicir mata, keputusan tersebut terasa seperti detik penting dalam perlumbaan ke garisan penamat EPL.

Permainan seperti ini jelas tidak menyenangkan jurulatih Brighton, Fabian Hurzeler, yang hampir sepanjang perlawanan kelihatan tidak puas hati dengan taktik Arsenal.

Hurzeler, yang sebelum perlawanan sudah pun membangkitkan isu melengah-lengahkan masa oleh Arsenal, tidak ubah pendirian selepas menyaksikan sendiri apa yang berlaku.

“Saya rasa hanya satu pasukan sahaja yang benar-benar cuba bermain bola sepak hari ini,” katanya.

“Sebab itu saya bangga dengan cara pemain saya bermain.”

“Saya tidak akan menjadi jurulatih yang cuba menang dengan cara begitu. Saya mahu pemain saya terus berkembang dan bermain bola sepak sebenar di atas padang,” tambah beliau.

Arteta pula mempertahankan pasukannya.

“Kalau lihat perlawanan sebelum ini pun, komen seperti ini memang selalu ada,” katanya.

Apabila ditanya tentang kritikan luar, Arteta menjawab dengan sinis.

“Saya rasa mereka sebenarnya suka pemain kami. Setiap kali mereka bercakap tentang pemain kami, seolah-olah mereka yang paling mendapat perhatian di negara ini,” katanya.

Arsenal sendiri seolah-olah semakin selesa dengan imej sebagai “penjahat” EPL, dan kenyataan Hurzeler sebelum perlawanan hanya menambah lagi ketegangan suasana.

Pada akhirnya, Arsenal meninggalkan Amex dengan nasib kejuaraan masih di tangan mereka sendiri, dengan hanya lapan perlawanan lagi sebelum kemungkinan menjulang piala.

Jika mereka benar-benar berjaya menamatkan kemarau kejuaraan EPL mereka, kemenangan seperti inilah yang akan mereka jadikan jawapan kepada semua pengkritik mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg