Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama pertingkat bola sepak berjalan, galak perpaduan

Jun 18, 2024 | 3:51 PM
Naib Pengerusi, Kelab Bola Sepak Balestier Khalsa, Darwin Jalil (kiri); dan Presiden, Walking Football4Health Global (Waf4H), Dee Dee Ayra Salle, berharap kerjasama dua pihak itu akan meningkatkan kesedaran tentang manfaat bola sepak berjalan dan potensinya menyatukan masyarakat dan keluarga serta menyemarakkan lagi bola sepak Singapura.
Naib Pengerusi, Kelab Bola Sepak Balestier Khalsa, Darwin Jalil (kiri); dan Presiden, Walking Football4Health Global (Waf4H), Dee Dee Ayra Salle, berharap kerjasama dua pihak itu akan meningkatkan kesedaran tentang manfaat bola sepak berjalan dan potensinya menyatukan masyarakat dan keluarga serta menyemarakkan lagi bola sepak Singapura. - Foto BALESTIER KHALSA FC

Kelab Bola Sepak Balestier Khalsa, sebuah pasukan profesional Liga Perdana Singapura (SPL), dan Walking Football4Health Global (Waf4H) telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama bagi mempertingkat kesedaran ramai mengenai bola sepak berjalan dan manfaatnya.

Waf4H adalah daya usaha yang dimulakan oleh Dee Dee Ayra Salle, yang lebih dikenali sebagai Dee Dee Mahmood, pada 2016 untuk menggalak orang ramai agar bermain bola sepak berjalan demi kesihatan.

Bola sepak berjalan adalah sukan bola sepak apabila pemain hanya berjalan dan tidak boleh berlari, menanduk bola atau sengaja mempunyai kontak dengan pemain lain.

Setiap pasukan mempunyai enam pemain, berbanding 11 bagi bola sepak biasa.

Kerjasama antara Balestier Khalsa dengan Waf4H bertujuan mempromosikan bola sepak untuk semua, memupuk budaya ikatan kemasyarakatan, dan menggalak kesihatan melalui bola sepak – tidak kira usia dan kebolehan.

Presiden Waf4H, Dee Dee berharap kerjasama itu akan meningkatkan kesedaran tentang manfaat bola sepak berjalan dan potensinya dalam menyatukan masyarakat dan keluarga serta menyemarakkan lagi arena bola sepak Singapura.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, pasukan Waf4H juga akan berlatih dan bermain bola sepak berjalan semasa perlawanan SPL Balestier Khalsa menentang Young Lions pada 29 Jun.

Pasukan Waf4H akan berlatih sebelum permulaan perlawanan itu dan semasa waktu rehat separuh masa.

Memorandum Persefahaman (MOU) kerjasama itu ditandatangani oleh naib pengerusi Balestier Khalsa, Darwin Jalil, dan Dee Dee, di stadium kelab tersebut, Stadium Bishan, pada 8 Jun.

“Kami percaya bola sepak merupakan sukan paling digemari di seluruh dunia, justeru kami ingin menjadikannya terangkum untuk semua,” kata Dee Dee.

Usaha itu diilhamkan daripada daya usaha serupa di Liga Perdana England (EPL), seperti program pasukan Everton, Everton in the Community: Walking Football, yang merai perpaduan bola sepak, kesihatan, dan masyarakat.

Semasa pelancaran kerjasama itu, pemain Balestier Khalsa mencuba bola sepak berjalan secara peribadi, mengambil bahagian dalam latihan pemanasan badan dan rejim fleksibiliti yang direka khas untuk bola sepak berjalan, serta mempelajari tentang undang-undang bola sepak berjalan.

“Ia satu pengalaman hebat bagi saya kerana undang-undangnya tidak sama seperti bola sepak biasa,” kata pemain pertahanan Balestier Khalsa, Muhammad Amer Hakeem Mohamad Nazri.

Acara itu berakhir dengan perlawanan persahabatan antara pasukan Balestier Khalsa dengan Waf4H, yang dipenuhi gelak tawa dan kemesraan.

“Walaupun berjalan kurang meletihkan, ia melibat banyak komunikasi dan kerjasama untuk menjaringkan gol.

“Ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk melibatkan diri kerana, tidak kira kecederaan ataupun masalah berlari yang mereka hadapi, mereka masih boleh menyertai sukan ini tanpa terlalu risau untuk mengejar bola,” kata Muhammad Amer.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg