Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesatuan ragbi siasat kes gaduh atas padang selepas pemain tendang pesaing terbaring

Nov 14, 2023 | 9:30 PM
TENDANG: Seorang pemain Kelab Bola Sepak Ragbi Saints (jersi putih hitam) kelihatan menendang seorang pemain Kelab Ragbi Oldham (jersi biru gelap) ketika pemain Oldham itu rebah atas padang.
TENDANG: Seorang pemain Kelab Bola Sepak Ragbi Saints (jersi putih hitam) kelihatan menendang seorang pemain Kelab Ragbi Oldham (jersi biru gelap) ketika pemain Oldham itu rebah atas padang. - Foto YOUTUBE/CL Tay

Kesatuan Ragbi Singapura (SRU) sedang menyiasat satu pergaduhan yang tercetus selepas seorang pemain Kelab Bola Sepak Ragbi Saints menendang seorang pemain Kelab Ragbi Oldham yang terbaring dalam satu pertandingan pada Sabtu.

Kejadian itu berlaku semasa separuh kedua perlawanan Liga Nasional Lelaki sedang berlangsung di padang Sekolah Menengah Saint Andrew’s. Insiden itu kemudian tular di media sosial.

Dalam satu video yang dimuat naik di YouTube, insiden itu berlaku apabila seorang pemain Oldham bertembung dengan seorang pemain Saints yang cuba mendapatkan bola.

BERTEMBUNG: Seorang pemain Kelab Ragbi Oldham kelihatan terbaring selepas bertembung dengan pemain Kelab Bola Sepak Ragbi Saints
BERTEMBUNG: Seorang pemain Kelab Ragbi Oldham kelihatan terbaring selepas bertembung dengan pemain Kelab Bola Sepak Ragbi Saints - Foto YOUTUBE/CL TAY

Kedua-dua pemain itu – yang gagal mendapatkan bola – kemudian terjatuh di atas padang sementara pemain Oldham itu kelihatan terbaring dan tidak bergerak.

Pemain Saints itu pula dilihat sedang cuba berdiri.

Selepas pengadil meniup wisel bagi menangani kejadian itu, seorang lagi pemain Saints dilihat mendekati pemain Oldham yang sedang terbaring itu dan menendang bahu kirinya.

Hal itu mencetuskan satu pergaduhan antara pemain lain dari kedua-dua kelab tersebut sementara kedua-dua pemain yang telah bertembung sebelum itu mendapat rawatan daripada staf pertandingan.

BERGADUH: Pergaduhan tercetus selepas pemain daripada Saints menendang pesaingya yang sedang terbaring.
BERGADUH: Pergaduhan tercetus selepas pemain daripada Saints menendang pesaingya yang sedang terbaring. - Foto YOUTUBE/CL Tay

Selepas jurulatih dan pengadil meredakan keadaan, pemain Oldham itu dibawa keluar dari padang sementara pemain Saints yang telah menendangnya diberi kad kuning disusuli kad merah sebelum diarah meninggalkan padang.

Dalam kenyataannya Selasa petang, SRU berkata ia sedar terhadap kejadian itu dan proses pengadilan sedang dijalankan.

SRU berkata semua pihak yang terlibat dalam kejadian itu berada dalam keadaan selamat, susulan protokol pemulihan, dan telah mencapai persetujuan menyusuli insiden tersebut

“Keprihatinan utama kami adalah kemaslahatan para pemain, dan semua pemain telah dihulurkan bantuan perubatan yang diperlukan,” kata SRU lagi.

“Ragbi Singapura mengambil pendirian yang amat tegas terhadap sebarang perbuatan khianat atau kurang berdisiplin semasa dan selepas pertandingan.”

SRU berkata, hal sedemikian akan ditangani menerusi satu proses pengadilan rasmi yang diselia oleh sebuah lembaga pengadilan berdikari yang selaras dengan peraturan pertandingan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg