NOTTINGHAM: Kesilapan penjaga gawang Dean Henderson semasa menentang kelab lamanya merugikan Crystal Palace apabila jaringan Chris Wood pada separuh masa kedua melonjakkan Nottingham Forest ke tangga kelapan dalam Liga Perdana England dengan kemenangan 1-0 pada 21 Oktober.
Penjaga gol England itu membenarkan rembatan leret Wood dari luar kotak penalti lolos daripada genggamannya dengan kekalahan itu bermakna Palace kini berada dalam kelompok tiga pasukan terbawah dan tanpa kemenangan liga sejauh ini.
Percubaan Eddie Nketiah dan Eberechi Eze terkena tiang gawang untuk Palace, tetapi mereka kekal sebagai penjaring tercorot dengan hanya lima gol daripada lapan perlawanan pembukaan mereka.
Forest, sebaliknya, menikmati permulaan kempen yang membanggakan dan kini berada di atas Manchester United dan Newcastle United.
Ia juga kemenangan pertama pasukan pimpinan Nuno Espirito Santo di padang sendiri sejak April sedang beliau memulakan penggantungan tiga perlawanan, manakala pemilik Forest, Evangelos Marinakis, memulakan penggantungan lima perlawanan kerana kelakuannya dalam perlawanan menentang Fulham ketika kelabnya tewas 0-1 pada 28 September lalu.
Morgan Gibbs-White dan James Ward-Prowse juga digantung bagi pihak tuan rumah.
Hanya Erling Haaland, Cole Palmer, dan Bryan Mbeumo telah menjaringkan lebih banyak gol Liga Perdana berbanding Wood musim ini, ketika bekas pemain antarabangsa New Zealand itu mencatatkan rekodnya sebanyak lima gol dalam lapan perlawanan.
Henderson memainkan peranan utama dalam mengekalkan Forest di kedudukan mereka semasa dipinjamkan ke City Ground pada musim 2022/23, namun, kini menyarungi jersi Palace, beliau gagal menghalang jaringan Woods 25 minit sebelum tamat.
Berbeza pula dengan penjaga gawang Forest, dengan Matz Sels berjaya menafikan tendangan Eze dan Jeffrey Schlupp.
Nketiah menendang di luar tiang dari jarak jauh pada separuh masa pertama ketika penantiannya untuk gol Liga Perdana sejak perpindahan £30 juta (S$51.28 juta) dari Arsenal berterusan.
Ryan Yates juga nyaris menjaring gol untuk Forest pada babak awal tetapi seperti dalam ketiga-tiga kemenangan mereka setakat musim ini, anak didik Nuno hanya memerlukan satu gol untuk menggondol tiga mata kemenangan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg