Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian ten Hag untuk kekal bersama Man U

Berdasarkan prestasi, Villa mampu atasi Utd
Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Bagi pengurus Aston Villa, Unai Emery, apa yang penting baginya pada masa kini adalah untuk terus beri keyakinan kepada skuad kendaliannya itu, apatah lagi apabila pasukan itu bertemu Manchester United dalam EPL pada 6 Oktober.
Bagi pengurus Aston Villa, Unai Emery, apa yang penting baginya pada masa kini adalah untuk terus beri keyakinan kepada skuad kendaliannya itu, apatah lagi apabila pasukan itu bertemu Manchester United dalam EPL pada 6 Oktober. - Foto AFP

Pasukan Aston Villa mungkin rasa terkilan selepas hanya mampu seri dengan Ipswich Town 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana England pada 29 September.

Mereka sepatutnya mampu menduduki dua tempat teratas EPL sekiranya dapat tundukkan pasukan Ipswich yang kini berada di tangga ke-15 EPL.

Malangnya pasukan pimpinan Unai Emery gagal memanfaatkan jaringan dan penguasaan perlawanan, selepas pemain pasukan lawan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72.

Pada 6 Oktober, Villa bakal menjadi tuan rumah apabila berdepan dengan Manchester United.

Jika dilihat dari sudut persembahan mereka semasa menentang Ipswich Town, penjaga gawang Villa Emiliano Martinez sememangnya “bersalah”.

Martinez kelihatan terlalu mudah ditewaskan pemain Ipswich, Liam Delap, dari jarak dekat.

Lantas Martinez perlu pastikan beliau tidak membuat kesilapan serupa, apatah lagi pasukannya bakal bertemu Manchester United, dengan pemain lincah The Red Devils, Alejandro Garnacho gemar menyerang dari sudut gawang lawan.

Selain kesilapannya di Stadium Portman Road, Martinez juga telah diharamkan bermain dalam dua perlawanan bersama pasukan nasional Argentina oleh Fifa.

Ini menyusuli sikapnya yang dianggap “kurang elok” semasa beraksi bersama pasukan negara itu.

Sudah pasti beliau ingin kembali bermain dengan lebih baik dalam perlawanan berikutnya bagi membuktikan kemampuannya yang sebenar.

Meskipun membuat kesilapan semasa menentang Ipswich Town, Martinez masih mampu menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi pihak lawan menerusi percubaan Kalvin Phillips, membuktikan beliau masih penjaga gawang nombor satu Villa.

Bagi pengurus Villa, Emery, apa yang penting baginya pada masa ini adalah terus memberi keyakinan kepada skuad kendaliannya itu.

Dalam satu temuramah dengan Sky Sports pada 25 September lalu, Emery menekankan pentingnya memberi keyakinan kepada para pemain.

“Saya ingin sampaikan mesej kepada semua orang bahawa saya percaya kepada semua orang dan saya rela mainkan semua pemain di padang.

“Yang penting semua pemain perlu selesa dengan struktur yang saya hasilkan, rasa penting dan faham dengan cara kami bermain.

“Mereka perlu ada keyakinan itu.

“Mereka perlu rasa yakin dengan kepercayaan pengurus terhadap mereka. Inilah bola sepak. Inilah pengurusan. Ia lebih daripada hanya taktik,” ujarnya.

Dalam perlawanan menentang Ipswich, pemain bahagian midfield Villa, Morgan Rogers, berjaya membuktikan mengapa beliau pemain muda yang bakal melangkah jauh ke dalam arena bola sepak Eropah.

Malah beliau berjaya mendapatkan gol pertama EPLnya buat Villa dalam perlawanan menentang Ipswich.

Rogers, yang pernah menyarung jersi England bawah-21 tahun dan beraksi dengan baik, ada kemungkinan mampu bersama pasukan senior di peringkat antarabangsa.

Villa mungkin mempunyai masalah dan kekuatannya sendiri, namun bagi United pula keadaan skuad yang terus goyang bermakna banyak yang mungkin perlu dilakukan untuk mempertingkatkan semula pasukan bimbingan Ten Hag itu.

Buat masa ini, United tewas tiga daripada enam perlawanan EPL, termasuk kepada seteru tradisi, Liverpool, dan kini berada di kedudukan 12 dengan tujuh mata.

Terkini, United diaibkan di padang sendiri oleh Tottenham Hotspur 0-3 pada 29 September.

Ternyata selepas permainan itu, wajah Ten Hag muram – mungkin sedar bahawa dirinya di ambang penyingkiran.

Sejak pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe dan lembaga pentadbir kelab itu memutuskan mengekalkan khidmat Ten Hag sebagai pengurus di akhir musim lalu, ada tanggapan beliau akan ditunjukkan pintu keluar jika United gagal bangkit daripada kekecewaan musim lalu dan tewas dengan cara yang tidak dapat diterima penyokong musim ini.

Memenangi Piala Liga Bola Sepak England (EFL) sekitar 18 bulan lalu, dan kemenangan dramatik ke atas Manchester City dalam final Piala FA musim lalu membolehkan Ten Hag mengekalkan jawatannya di Old Trafford.

Namun, kekalahan kepada Spurs pada 29 September menunjukkan dengan ketara jurang antara United dengan kelab-kelab yang ingin bersaing untuk kejuaraan liga.

Prestasi para pemain yang tidak konsisten bermakna nasib pasukan itu masih belum pasti dalam musim kali ini.

Kelihatan para pemain United kurang bersemangat dan kerap kali membuat hantaran yang dapat dipintas dengan mudah oleh para pemain Tottenham.

Namun seorang pemain yang menyerlah bagi United dalam perlawanan tersebut ialah Garnacho.

Semangatnya yang tidak kenal erti penat membuat ramai peminat United memujinya dan melaungkan namanya dalam Stadium Old Trafford.

Namanya mungkin tidak tertera sebagai penjaring gol dalam perlawanan itu, namun kualitinya yang lain seperti semangat, dorongan, selain enggan mengaku kalah membuktikan beliau patut dijadikan contoh dalam kalangan para pemain lain.

Dalam perlawanan menentang Tottenham, Garnacho hampir membuat jaringan menerusi percubaannya dekat hujung gawang lawan, namun terkena tiang gol lawan.

Kelincahannya jelas kelihatan menerusi gerakannya untuk melepasi benteng lawan, namun kurang mendapat sambutan rakan-rakan sepasukannya.

Sejauh mana United mampu mengubah nasib mereka dalam musim kali ini mungkin bergantung kepada faktor seperti taktik permainan yang diterapkan Ten Hag, selain semangat para pemainnya semasa di padang.

Ramalan wartawan: Aston Villa 2-1 Manchester United

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg