Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketelanjuran Ekitike buka pintu bagi Isak kukuhkan tempat dalam skuad Liverpool

Ekitike buka jersi untuk raikan gol kemenangan ke atas Southampton 2-1 dalam Piala Carabao
Sep 24, 2025 | 2:05 PM
Walaupun menjadi wira perlawanan setelah menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Southampton dalam Piala Carabao pada 24 September, penyerang Liverpool, Hugo Ekitike, dilayangkan kad merah akibat membuka jersinya semasa meraikan jaringan tersebut.
Walaupun menjadi wira perlawanan setelah menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Southampton dalam Piala Carabao pada 24 September, penyerang Liverpool, Hugo Ekitike, dilayangkan kad merah akibat membuka jersinya semasa meraikan jaringan tersebut. - Foto REUTERS

ANFIELD: Pada malam yang menyaksikan Liverpool meraikan jaringan sulung pemain termahal mereka, Alexander Isak, sedetik ketelanjuran menjejas nasib seorang lagi penyerang mereka.

Hugo Ekitike muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan Piala Carabao menentang Southampton yang berakhir 2-1, sekali gus membawa Liverpool ke pusingan keempat.

Namun dalam kegembiraan, Ekitike telanjur apabila membuka jersinya untuk meraikan jaringan tersebut pada minit ke-85.

Ekitike, yang sedang hangat mempamerkan ketajaman di depan gol itu, mungkin sedar tindakan serupa boleh menyebabkan dirinya dilayangkan kad kuning, malangnya beliau terlupa sudah pun dilayangkan kad kuning pertama pada awal perlawanan.

Akibatnya, beliau terpaksa menerima padah apabila dilayangkan kad merah.

Ini bermakna Ekitike akan digantung untuk perlawanan Liga Perdana England (EPL) pada 27 September menentang Crystal Palace.

Dengan itu, beliau bakal kehilangan tempat dalam kesebelasan utama Arne Slot, apatah lagi pesaingnya, Isak, kini semakin cergas dan menanti-nantikan peluang beraksi.

Ekitike memohon maaf kepada penyokong Liverpool di media sosial.

“Saya terlalu gembira kerana dapat membantu pasukan mencatat satu lagi kemenangan di padang sendiri dalam perlawanan pertama saya dalam Piala Carabao,” kata beliau di Instagramnya.

“Emosi menguasai diri saya. Saya memohon maaf kepada seluruh penyokong Liverpool. Terima kasih kepada penyokong yang sentiasa bersama kami, dan kepada rakan sepasukan saya untuk kemenangan ini!”

Namun, pengurus Liverpool, Slot, mengakui beliau kecewa dengan tindakan tersebut.

“Bukan sebab itu kad kuning kedua, tapi sebab ia satu tindakan yang kurang bijak, jika beliau belum menerima kad kuning sebelumnya sekalipun,” katanya.

“... Mujurlah rakan sepasukannya berjaya mengekalkan kemenangan, tapi sekarang beliau terpaksa digantung untuk aksi Sabtu ini – dan itu jelas satu masalah.”

Liverpool mendapatkan Ekitike daripada Eintracht Frankfurt pada Julai lalu dengan nilai 69 juta paun ($119 juta).

Sejak musim bermula, beliau tampil dengan cemerlang, menjaringkan tiga gol dalam lima aksi liga dan mencipta satu bantuan jaringan.

Sepanjang Isak dalam proses mencapai kecergasan penuh, Ekitike menjadi tonggak serangan dan membantu Liverpool memenangi kesemua perlawanan sejak kekalahan dalam Perisai Masyarakat kepada Crystal Palace pada 10 Ogos.

Ini menunjukkan betapa pentingnya Ekitike kepada skuad Liverpool.

Tetapi kededua kad kuning yang diterimanya dianggap sebagai sesuatu yang sepatutnya boleh dielakkan.

Selepas menggantikan Isak pada separuh masa kedua, beliau menerima kad kuning pertama kerana membaling bola ke udara selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Apa yang pasti, kejadian itu bakal menjadi pengajaran penting buat Ekitike.

“Mungkin beliau terlupa beliau sudah dilayangkan kad kuning. Beliau masih muda dan akan belajar dari kesilapan itu. Saya pasti beliau tidak akan mengulanginya lagi,” tambah Slot.

Sejak menyertai Liverpool, Isak diberikan masa bermain yang terhad.

Dua penampilannya dalam kesebelasan utama setakat ini hanya datang dalam pertandingan piala, 58 minit ketika menentang Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara pada 17 September, dan aksi separuh masa pertama menentang Southampton.

Dalam EPL, beliau hanya tampil sekali, apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-67 dalam kemenangan 2-1 ke atas Everton pada 20 September.

Langkah menggantikan Isak ketika menentang Southampton mungkin strategi Slot yang mahu menyimpannya untuk aksi menentang Palace.

“Setiap perlawanan yang saya beraksi membantu saya cergas semula,” kata Isak.

Dalam aksi Piala Carabao lain, Chelsea berjaya menundukkan pasukan Liga Satu (liga England tahap ketiga), Lincoln City, 2-1 melalui jaringan Tyrique George dan Facundo Buonanotte.

Pasukan yang menyingkirkan Manchester United, Grimsby Town, juga berjaya mara ke pusingan seterusnya setelah menewaskan Sheffield Wednesday 1-0. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg