Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetiadaan penyerang berbisa Tottenham terserlah apabila seri tanpa jaringan di Nottingham Forest
NOTTINGHAM, England: Kegagalan Tottenham Hotspur untuk menandatangani penyerang tulen walaupun telah berbelanja lebih £300 juta (S$500 juta) pada musim panas telah menunjukkan hasilnya dalam keputusan seri 0-0 di Nottingham Forest pada 5 September.
Keputusan seri itu memberikan mereka mata pertama selepas tiga perlawanan Liga Perdana England (EPL) musim ini, namun mereka masih memburu gol pertama mereka.
Pengakhiran tetingkap perpindahan yang mengecewakan menyaksikan Spurs terlepas khidmat penyerang Everton, Iliman Ndiaye, yang akhirnya menyertai Manchester City,
Manakala penjaring terbanyak musim lalu, Richarlison telah diketepikan daripada senarai skuad EPL kelab itu.
Pengurus Roberto de Zerbi telah mendapat sokongan kuat dalam pasaran, terutamanya dengan kehadiran ramai pemain penyerang dan sayap, tetapi pasukannya kelihatan amat lemah di bahagian serangan.
Savinho, yang tiba dari City bersama Omar Marmoush, gagal mempamerkan aksi yang meyakinkan sebelum beliau dikeluarkan daripada padang.
Satu-satunya penyerang sejati kelab itu, Dominic Solanke, nyaris menjaringkan gol pada lewat permainan selepas dimasukkan dan Marmoush pula mensia-siakan satu peluang baik sebelum separuh masa apabila rembatannya tersasar.
Walaupun rekod tanpa bolos selepas kekalahan 3-0 dan 2-0 masing-masing di Brentford dan di halaman sendiri kepada Newcastle United adalah dialu-alukan, kekurangan jentera serangan berbisa bagi pasukan Tottenham nampaknya bakal menjadi satu masalah.
“Saya rasa kami bermain dengan baik tetapi di bahagian sepertiga terakhir kami perlu memperbaikinya,” kata de Zerbi, yang menyelamatkan Spurs daripada penyingkiran pada musim lalu selepas tiba dengan baki tujuh perlawanan.
Tottenham gagal memaksa penjaga gol Matz Sels untuk melakukan sebarang aksi menyelamat – kali pertama mereka tidak mempunyai percubaan tepat ke sasaran dalam perlawanan EPL sejak April 2022.
Kali terakhir mereka gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga berturut-turut adalah pada November 2021.
Namun de Zerbi tidak memandang serius statistik tersebut.
“Kami boleh menjaringkan tiga atau empat gol hari ini kerana jika anda membuat keputusan yang salah, anda tidak akan menjaringkan gol.
“Tetapi bagi saya, ia adalah satu peluang untuk menjaringkan gol,” kata pengurus warga Italy berusia 47 tahun itu.
Beliau juga kedengaran yakin bahawa jaringan gol akan tiba.
“Saya sayangkan para pemain ini. Marmoush, kami perlu meneliti sama ada beliau mampu untuk menjaringkan atau tidak, 15, 12 gol. Saya fikir, ya, kerana beliau mempunyai semua kualiti, cukup untuk menjaringkan jumlah gol tersebut,” tambahnya.
“Beliau sudah tentu perlu memperbaiki permainannya. Seperti Domi Solanke, saya rasa jika Domi benar-benar cergas, dan berada dalam keadaan fizikal yang terbaik, peluang yang dimilikinya pasti akan memberikan hasil yang sama sekali berbeza.”
Kegagalan mendapatkan Ndiaye telah menyebabkan Spurs mengambil langkah di saat akhir untuk menandatangani pemain sayap Ukraine, Mykhailo Mudryk, secara pinjaman selama semusim dari Chelsea pada 1 September.
Pemain berusia 25 tahun itu, yang dibawa masuk dari bangku simpanan di City Ground untuk penampilan kompetitif pertamanya dalam tempoh 646 hari selepas kembali daripada penggantungan akibat doping, tidak memberikan impak yang ketara. - Reuters
