BRIGHTON (England): Pengurus Aston Villa, Unai Emery, enggan mengulas lanjut tentang ketiadaan pemain penyerang, Ollie Watkins, ketika pasukannya dibantai 0-4 oleh Brighton pada 23 Ogos.

Pemain berusia 30 tahun itu tidak disenaraikan dalam skuad perlawanan bagi aksi pembuka tirai Liga Perdana England (EPL) Villa selepas Emery mengesahkan awal minggu ini bahawa penyerang berkenaan telah mendapat tawaran daripada kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

Apabila ditanya sama ada keputusan untuk meminggirkan Watkins itu telah dibuat olehnya, Emery menjawab:

“Soalan ini adalah untuk beliau. Anda boleh telefon beliau dan cuba dapatkan jawapannya.

“Pemain di sini mahu beraksi dan kami mempunyai dua penyerang yang mengalami kecederaan kecil. Persoalan mengenai Watkins adalah untuk dirinya.”

Kapten pasukan, John McGinn, menambah: 

“Ia merupakan satu situasi yang sukar. Beliau seorang pemain yang hebat dan pemegang rekod jaringan terbanyak.

“Tugas saya sebagai kapten adalah untuk mendapatkan hasil terbaik daripada semua pemain yang ada di sini hari ini.

“Bukan mudah untuk bertandang ke sini (Brighton). Saya bangga dengan pemain yang ada di sini hari ini dan berjuang demi kelab.”

Watkins berpotensi menjadi pemain utama Eropah Villa yang terbaharu untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas ini. 

Villa menamatkan kemarau piala selama 30 tahun dengan menjulang kejuaraan Liga Europa Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada Mei selepas menewaskan kelab Jerman, SC Freiburg, di Istanbul.

Namun, kelab itu berpotensi menjual sehingga enam pemain daripada kesebelasan utama mereka sebelum tempoh pemindahan pemain ditutup pada 1 September.

“Kami sedang membina pasukan. Tahun lalu (2025) dan dua tahun lalu, kami juga membangunkan semula pasukan pada Ogos,” kata Emery selepas kekalahan di Brighton itu.

Penghijrahan Ezri Konsa ke Arsenal merupakan pemindahan berprofil tinggi terbaharu di Villa Park musim panas ini, ketika skuad bimbingan Emery berdepan rombakan drastik.

Penjaring gol Villa pada perlawanan akhir Liga Europa di Istanbul, Youri Tielemans dan Morgan Rogers, telah meninggalkan kelab itu pada Julai.

Pemindahan Rogers yang bernilai 117 juta paun (sekitar $202 juta) ke Chelsea turut memecahkan rekod nilai pemindahan bagi pemain Britain. 

Lucas Digne pula dijual kepada Paris Saint-Germain (PSG).

Bukan itu sahaja, Villa turut berdepan cabaran apabila penjaga gol, Emi Martinez, tidak disenaraikan dalam skuad bagi perlawanan menentang Brighton menyusuli kegagalan dalam proses pemindahannya ke Juventus. 

Kelab itu bagaimanapun telah membawa masuk penjaga gol pengganti, Zion Suzuki.

Jika Martinez berpindah ke kelab lain, ini bermakna hanya Matty Cash, Pau Torres, Victor Lindelof, John McGinn dan Emi Buendia yang tinggal daripada 11 pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama di Istanbul.

Seperti kebanyakan kelab lain, Villa merupakan kelab yang menjual pemain, sebahagian besarnya disebabkan keperluan kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mereka perlu mematuhi nisbah kos skuad (SCR) Uefa yang mengehadkan perbelanjaan kelab kepada 70 peratus daripada pendapatan berkaitan bola sepak, yang merangkumi gaji pemain serta kakitangan, yuran pemindahan dan yuran ejen.

Villa sebelum ini pernah didenda dua kali oleh Uefa kerana melanggar peraturan berkenaan, dengan denda 9.5 juta paun pada 2025 dan denda 19.4 juta paun pada Jun.

Mujur, sebahagian daripada denda Jun itu – sebanyak 12.9 juta paun – ditangguhkan selepas kelab itu mencapai persetujuan penyelesaian dengan badan induk bola sepak Eropah berkenaan.

Namun, situasi tersebut menyebabkan kelab itu “tersepit” dalam tempoh pemindahan pemain.

Peraturan Keuntungan dan Kemampanan (PSR) Liga Perdana juga mengehadkan kerugian kewangan kepada maksimum 105 juta paun bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Dalam penyata kewangan terbaharu Villa yang berakhir pada 30 Jun 2025, kelab tersebut mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak 17 juta paun, namun mereka mencatat kerugian pada dua tahun sebelumnya iaitu 85.4 juta paun pada 2024 dan 119.6 juta paun pada 2023. – Agensi berita.