Bagi jaguh dunia silat, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, gelaran Sukan SEA kekal menjadi sasaran yang sukar dicapai selepas lima percubaan.
Setelah turut menjuarai Kejohanan Asia, Ferdous memulakan kempen Sukan SEA keenamnya dengan tekad membara untuk melengkapkan koleksi gelaran utama beliau.
Di suku akhir dan separuh akhir, beliau berjuang habis-habisan, mempamerkan kemahiran dan ketahanan mental yang menjadi tunjang kejayaannya.
Namun di pentas akhir pada 17 Disember, yang diadakan di Dewan Impact Forum, Bangkok, Ferdous tewas 25-6 kepada Nguyen Duy Tuyen dari Vietnam, sekali gus terpaksa akur dengan pingat perak.
Walaupun demikian, tiada air mata dikesali atau rasa kecewa.
Yang ada, hanyalah semangat untuk terus berjuang.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Ferdous berkata beliau sudah menjangkakan persaingan sengit dalam temasya ini, dan menegaskan beliau meninggalkan Sukan SEA 2025 tanpa sebarang penyesalan.
“Saya kecewa dengan keputusannya, tetapi saya sudah berikan usaha yang terbaik dan tiada kesalan. Ini sebahagian daripada sukan,” katanya.
Jaguh berusia 29 tahun itu berkata bahawa beliau telah beraksi cemerlang di peringkat suku akhir dan separuh akhir.
Beliau berkata:
“Tahap perlawanan hanya bertambah sengit dalam setiap peringkat di pentas ini.”
Di suku akhir, beliau menewaskan Stephen Suazon dari Filipina 12-9, sebelum mencatat kemenangan sengit 45-42 ke atas Sadan Ahmed Sidik Lisanaka di separuh akhir.
Walaupun Ferdous yakin akan ke final dari awal, beliau sedar jaguh Vietnam, Tuyen, akan menguji kemampuannya sepenuhnya.
Tuyen, pemenang beberapa gelaran Sukan SEA dan Kejohanan Dunia, juga merupakan lawan yang pernah bertarung dengannya, terutamanya di Kejohanan Asia pada Julai 2025 di mana Ferdous itu tewas.
“Beliau satu-satunya lawan yang memaksa saya berfikir dengan keras demi menewaskannya.
“Saya rasa saya sudah memberikan semuanya, tetapi beliau bertarung dengan lebih baik hari ini,” katanya.
Walaubagaimanapun, Ferdous enggan membenarkan keputusan itu mematahkan semangatnya.
Beliau menambah: “Saya menerima kekalahan ini, namun saya tidak patah semangat. Yang penting, saya telah cuba sedaya upaya, itu yang paling bermakna.
“Saya yakin akan bangkit dan menang lagi, ini hanya satu lagi langkah yang perlu dilalui sebelum saya dapat menjuarai Sukan SEA.”
Walaupun berasa kecewa kerana tidak memenangi pingat emas, beliau berasa terharu mengetahui bahawa dirinya menjadi inspirasi kepada atlet muda dalam pasukan.
Pada hari yang sama, rakan sepasukannya, Dhani Andika Razali, menjadi juara kelas bawah 45 kilogram (kg) setelah menewaskan Khoirudin Mustakim dari Indonesia, 41-21.
Dhani berkata bahawa melihat jaguh, termasuk Ferdous, merangkul gelaran di Kejohanan Dunia pada 2018 mencetus minatnya untuk bergiat dalam silat dan memburu gelarannya sendiri.
Ferdous mengakui terkejut, tetapi bersyukur dapat menjadi teladan yang positif.
“Sejujurnya, ia satu penghormatan untuk menjadi inspirasi kepada pesilat muda, sama ada mereka mahu mengikuti jejak langkah atau menjadi lebih baik daripada saya,” ujarnya.
“Saya bersyukur jika dapat membuka jalan untuk generasi muda, tetapi saya sangat bangga dengan semua atlet muda.
“Mereka benar-benar menunjukkan kekuatan mereka dalam kempen kali ini dan masa depan silat kelihatan cerah,” tambahnya.
Selepas kempen yang panjang dan mencabar pada 2025, Ferdous ingin meluangkan masa bersama isteri dan keluarga sebelum memulakan persiapan untuk merangkul gelaran ketiganya di Kejohanan Dunia 2026.
“Matlamatnya tidak pernah berubah. Saya menyasarkan pingat emas dalam setiap pertandingan,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg