Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat pengurus Man United ten Hag dikekalkan

Jun 12, 2024 | 4:13 PM
Erik ten Hag
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, dengan piala kemenangan selepas pasukan itu menjuarai Piala FA. - Foto REUTERS

MANCHESTER (England): Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, akan kekal berkhidmat sebagai pengurus kelab bola sepak itu bagi musim depan.

Beliau juga sedang mengadakan perbincangan dengan kelab Old Trafford untuk melanjutkan kontraknya.

Ini walaupun pasukan itu menduduki tempat kelapan pada musim yang baru selesai, paling rendah dalam Liga Perdana England (EPL), lapor media Britain.

Keputusan tersebut dibuat selepas semakan akhir musim oleh lembaga pengarah kelab itu untuk kempen 2023-24, yang berakhir dengan kegembiraan setelah United meraih kemenangan mengejut pada peringkat akhir Piala FA ke atas pasukan pilihan Manchester City.

Kontrak ten Hag akan tamat pada akhir musim depan, dan kelab tersebut mempunyai pilihan melanjutkan perjanjian tersebut selama 12 bulan lagi.

Ten Hag, bekas jurulatih Ajax Amsterdam, berdepan tekanan yang semakin meningkat selepas United, juara England 20 kali, menunjukkan aksi permulaan musim terburuk sejak musim 1962-63 dengan lapan kekalahan dalam 15 perlawanan pertama dalam semua pertandingan.

Pasukan tersebut menduduki tempat kelapan selepas 14 kekalahan dalam 38 perlawanan liga, selain tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah pada peringkat kumpulan.

Kerjaya ten Hag menjadi subjek spekulasi sepanjang musim dan ramai pemerhati percaya perlawanan peringkat akhir Piala FA akan menjadi perlawanan terakhir bagi warga Belanda itu bersama United – tidak kira sama ada pasukan itu menang atau kalah dalam perlawanan tersebut.

Namun, beberapa saat selepas kemenangan mendebarkan itu, ten Hag, 54 tahun, menegaskan bahawa beliau yakin akan kembali berkhidmat sebagai pengurus United.

Beliau turut berkata telah menerima sokongan pemilik kelab itu sepanjang musim.

“Kami sedang membina sebuah pasukan.

“Apabila saya mengambil alih (tugasan ini), United berada dalam keadaan kucar-kacir, dan kami kini dalam perjalanan membina pasukan untuk masa depan,” katanya kepada wartawan di Stadium Wembley.

Beliau turut menyingkap tentang kecederaan yang dialami sebilangan pemain United pada musim lalu – bilangan paling ramai dalam pasukan EPL, yang menjejas pemain penting seperti pemain pertahanan.

Pada Mei, beberapa media melaporkan bahawa akibat prestasi ten Hag yang kurang memuaskan, United dikhabarkan akan mengambil khidmat pengurus lain untuk menggantikannya.

Antara jurulatih yang dikatakan boleh menggantikan beliau ialah bekas pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel; dan pengurus England, Gareth Southgate. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg