Topic followed successfully
Go to BHkuKhusanov, pemain Uzbek pertama EPL
Khusanov, pemain Uzbek pertama EPL
Manchester City beli Khusanov dengan kontrak selama empat setengah tahun sehingga 2029
Khusanov, pemain Uzbek pertama EPL
Dalam zaman media sosial yang berleluasa dan liputan bola sepak yang luas, jarang terdengar pemain yang kurang dikenali dibeli oleh sebuah kelab.
Menurut BBC Sport, langkah Manchester City menandatangani pemain pertahanan Uzbekistan, Abdukodir Khusanov, adalah satu perkara asing – seperti jual beli pemain pada masa lalu.
Khusanov, 20 tahun, melengkapkan perpindahan bernilai 33.6 juta paun ($56.16 juta) dari kelab Perancis, Lens, pada 20 Januari dan bersedia menjadi pemain pertama dari negaranya bermain dalam Liga Perdana England (EPL).
Pemain bek tengah itu mempunyai kerjaya hebat, dan perpindahan itu adalah suatu peningkatan luar biasa.
Dalam masa kurang empat tahun, pemain pertahanan muda yang diketepikan di tanah airnya mendapat prospek bermain paling menarik.
Khusanov memulakan perjalanan bola sepaknya pada usia tujuh tahun dengan menyertai akademi kelab Bunyodkor yang berpangkalan di Tashkent.
Bagaimanapun, pada usia 17 tahun, kelab itu memutuskan beliau tidak cukup kuat untuk menjamin tempat dalam pasukan simpanan divisyen ketiga mereka.
Bapa Khusanov, bekas pemain antarabangsa Uzbekistan, Hukmat Hoshimov, memutuskan mencari pilihan alternatif.
Pilihan itu datang dalam bentuk pasukan Belarusia Energetik-BGU, sebuah kelab kecil dari Minsk.
Kelab itu mendapatkan Khusanov menyertainya walaupun beliau sepatutnya perlu menunggu setahun untuk membuat penampilan sulung. Di Belarus, pemain tidak boleh menandatangani kontrak profesional sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Setelah layak bermain, impak Khusanov jelas kelihatan. Bermain sebagai bek tengah, Khusanov membantu Energetik-BGU mencapai tempat kedua dalam liga utama Belarus pada 2022.
Walaupun perkembangan Khusanov hampir tidak disedari oleh peminat di tanah air sendiri, langkah seterusnya ada kaitan dengan eksploitasinya bersama pasukan kebangsaan Uzbekistan.
Beliau mendapat panggilan lewat untuk menyertai skuad ke Piala Asia Bawah 20 AFC pada Mac 2023, dengan Khusanov bermain setiap minit ketika pasukannya memenangi kejuaraan bersejarah itu.
Uzbekistan layak ke Piala Dunia Bawah 20 pada Mei 2023. Pengurus pencungkil bakat Lens, Baptiste Favier, memerhati Khusanov ketika pasukan itu memasuki ke pusingan 16. Pada Julai tahun itu, Lens mendapatkan tandatangannya dengan hanya 84,000 paun.
“Tiada siapa yang mengenalinya apabila beliau tiba di Lens,” kata Luke Entwistle, ketua pengarang Get French Football News.
“Beliau adalah pemain yang tidak begitu diketahui. Beliau tidak banyak bermain pada musim pertamanya, tetapi apabila mendapat peluang bermain, anda segera dapat melihat sesuatu yang agak istimewa dalam dirinya.”
“Jika Khusanov datang daripada liga teratas, beliau mungkin akan menelan belanja 100 juta paun,” kata Kevin Danso, rakan sepasukan yang bermain bersama Khusanov di bahagian pertahanan.
Menjangka Khusanov akan menjadi antara pemain terbaik di dunia, bekas penjaga gawang Lens, Brice Samba, berkata: “Khusanov telah menggoncang susunan pemain dalam pertahanan kami. Beliau ditakdirkan bagi masa depan yang hebat.”
Lens menyimpan baju bekas perlawanan yang ditandatanganinya untuk koleksi kelab mereka. Ia adalah amalan yang dikhaskan hanya bagi pemain terhebat kelab itu.
Khusanov mungkin sedang merintis laluan bagi lebih ramai warga Uzbekistan bermain di liga utama Eropah – proses yang telah lama dijalankan di negara bekas Soviet itu.
Pakar bola sepak Uzbekistan, Conor Bowers, berkata sepanjang dekad lalu, terdapat pelaburan besar dalam infrastruktur bola sepak, termasuk padang yang lebih baik, stadium dan keperluan bagi pasukan mempunyai akademi remaja.
Bunyodkor, kelab akademi yang pernah memupuk Khusanov, mendapat banyak manfaat daripada pembiayaan Gulnara Karimova, anak perempuan bekas pemimpin Uzbekistan, Islam Karimov.
Selepas memenangi liga dan piala berganda hanya dalam tahun ketiga kewujudannya, kelab itu mula menarik bakat muda terbaik negara hasil kemudahan berjuta-juta paun.
Pada 2021, sebuah kelab baru, Olimpik Toshkent, ditubuhkan dengan tujuan menyediakan pemain untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
Pasukan bawah 23 tahun itu mara ke final Piala Asia Bawah 23 tahun dan tewas tipis kepada negara bola sepak yang lebih mantap, Sepanyol dan Mesir.
“Ia hanya menanti masa bagi kemunculan Khusanov,” kata penyiar bola sepak Asia, Dez Corkhill, yang menyifatkan pemain itu sebagai terbaik.
“Ia adalah impian bagi setiap warga Uzbek dalam beberapa tahun,” kata wartawan SPORTS.uz, Suhrob Xolbekov, mengenai pemain Uzbekistan yang layak ke Liga Perdana itu.
“Mentertawakan bola sepak Uzbekistan adalah perkara biasa, tetapi kini Khusanov telah memusnahkannya,” ujar beliau. – Agensi berita.

