Sokongan yang diberikan pemerintah bagi memupuk budaya kesukanan di sini menandakan masa depan yang positif bagi sukan, kata atlet luncur lelayang Olimpik dari Singapura, Maximilian Maeder.
“Ia membuatkan saya bangga menjadi rakyat Singapura dan bersaing untuk negara.
“Saya yakin ia (budaya kesukanan) akan terus berkembang, masa depan sukan kelihatan amat positif,” ujar atlet berusia 17 tahun itu.
Maximilian Maeder berkata demikian kepada Berita Harian (BH) semasa usul Parlimen yang menghargai pencapaian pasukan Olimpik dan Paralimpik Singapura pada temasya Paris 2024.
Beliau adalah sebahagian daripada 17 atlet yang menghadiri usul Parlimen itu pada 16 Oktober 2024.
Ia dihadiri 68 individu yang lain, daripada kakitangan Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura, Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura, Sekolah Sukan Singapura, Institut Sukan Singapura, Institut Sukan Belia Negara, Chef de Mission, jurulatih, saintis sukan, ahli fisiologi, keluarga dan kawan-kawan.
Atlet renang Paralimpik Singapura, Yip Pin Xiu, turut menyambut baik sidang Parlimen yang turut menggariskan usaha untuk mengukuhkan sokongan Singapura terhadap sukan bagi orang kurang upaya.
Langkah ini bertujuan menggalak penyertaan lebih meluas serta membina laluan yang lebih kukuh ke arah kecemerlangan sukan.
Usul Parlimen itu diketuai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong.
Beliau menghargai setiap usaha atlet dalam menyatukan Singapura menerusi sukan dan menjadi sumber inspirasi kepada negara ini.
“Mereka telah menanamkan semangat kebersamaan yang amat penting bagi negara muda seperti Singapura untuk lalui sebagai sebahagian daripada pembangunan negara,” kata Encik Tong sambil menekankan komitmennya untuk menyokong atlet Singapura sebaik mungkin.
Pemenang pingat gangsa Olimpik dalam sukan luncur lelayang, Maeder, berpendapat bahawa sokongan yang diberikan kepada atlet mampu memberinya motivasi yang ketara.
“Ia menggalakkan kerana anda lihat dedikasi dan usaha pemerintah untuk cuba dan mempromosikan budaya kesukanan di Singapura,” katanya.
Hal ini turut dipersetujui atlet lawan pedang negara, Kiria Tikanah. Beliau memberi contoh pelan Kallang Alive, yang menurutnya satu usaha baik dalam menghidupkan semangat kesatuan atlet.
“Kini, semua orang berlatih di tempat yang berbeza. Ia sangat sukar untuk bergaul dengan atlet lain.
“Tetapi saya berpendapat jika semuanya tertumpu kepada satu lokasi, ia amat membantu, dan akan menjadi satu langkah yang baik ke hadapan,” ujar beliau.
Sokongan bagi sukan kurang upaya juga tidak dilupakan.
Pemenang dua pingat emas di sukan renang paralimpik, Yip Pin Xiu, turut menyuarakan mengenai pengiktirafan sukan di Singapura, termasuk sukan berprestasi tinggi seperti di peringkat Olimpik dan Paralimpik.
“Saya percaya kita sentiasa memberi penekanan kepada meningkatkan budaya kesukanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ini menunjukkan bahawa masih banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk sukan di Singapura.
“Ini menunjukkan bahawa sukan semakin menjadi keutamaan dalam masyarakat kita, dan saya berbangga dengan sejauh mana kita telah melangkah serta komitmen kita untuk perbaiki sukan,” katanya.
Selain Yip, atlet boccia Paralimpik negara, Jeralyn Tan, juga bersyukur dengan sokongan yang diberikan buat atlet Paralimpik negara.
Dalam sesi usul itu, beliau ditemani jurulatih boccianya, Cik Yurnita Omar, yang menyatakan bahawa sokongan setakat ini amat baik dan berharap agar lebih banyak perubahan akan dilakukan untuk atlet kurang upaya serta jurulatih mereka.
“Kami rasakan bahawa kami disokong dalam semua bidang. Ia adalah pendekatan menyeluruh, dan saya gembira dengan semua ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg