Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Klopp beri amaran United akan kalah kepada Arsenal

Apr 8, 2024 | 12:22 PM
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memberi amaran Manchester United akan kalah kepada Arsenal apabila mereka bertemu pada Mei jika United bermain sebagaimana mereka menentang Liverpool pada 7 April.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memberi amaran Manchester United akan kalah kepada Arsenal apabila mereka bertemu pada Mei jika United bermain sebagaimana mereka menentang Liverpool pada 7 April. - Foto AFP

MANCHESTER: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata Manchester United akan dikalahkan oleh Arsenal pada Mei jika mereka bermain sebagaimana mereka menentang Liverpool pada 7 April.

Dalam perlawanan di Old Trafford itu, United seri 2-2 dengan Liverpool, tetapi pasukan Klopp menguasai perlawanan.

Klopp menggesa Liverpool supaya “kekal bertenang” selepas kehilangan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana England (EPL) menyusuli keputusan seri itu.

United boleh membantu pasukan Klopp menakluki takhta liga apabila mereka menerima kunjungan Arsenal – pendahulu liga buat masa ini – pada 11 Mei.

Bagaimanapun, Klopp berkata United perlu meningkatkan permainan jika ingin menghentikan penguasaan pasukan kendalian Mikel Arteta.

Apabila ditanya apakah beliau akan bersorak untuk United pada 11 Mei, Klopp berkata: “Mungkin. Jika kami masih di situ (tempat kedua) pada masa itu, ia akan menjadi pertarungan hebat.”

“Tetapi Arsenal adalah sebuah pasukan bola sepak yang bagus. Jika United bermain seperti hari ini (menentang Liverpool), Arsenal akan memenangi perlawanan itu, saya pasti 100 peratus pasti. Saya minta maaf kerana mengatakan demikian.”

Perlawanan pada 7 April itu adalah kunjungan kedua Liverpool ke Old Trafford dalam tiga minggu dan anak buah Klopp melakukan 53 percubaan sepanjang dua perlawanan itu, tetapi masih tidak dapat menundukkan United.

Liverpool tewas 3-4 dalam suku akhir Piala FA pada 17 Mac dan kini kehilangan dua mata penting dalam perebutan mahkota EPL bersama Arsenal dan Manchester City.

“Ia adalah kenyataan, kami sepatutnya memenangi kedua-dua perlawanan (menentang United) tetapi hakikatnya, kami tidak,” kata Klopp.

Beliau menambah bahawa penyokong Liverpool tidak harus hilang keyakinan pada keupayaan kelab tersebut mencipta sejarah pada musim terakhir pengurus asal Jerman itu di Anfield dengan memenangi EPL buat kali ke-20. – Agensi berita.

Liverpool membuka tirai jaringan hasil Luis Diaz pada awal separuh masa pertama sebelum United membalas pada separuh masa kedua susulan jaringan Bruno Fernandes dan Kobbie Mainoo sebelum Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti bagi Liverpool beberapa minit sebelum wisel penamat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg