Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koeman tuduh VAR ‘binasakan bola sepak’ gara-gara England dapat penalti

Jul 11, 2024 | 1:13 PM
Tindakan pemain Belanda, Denzel Dumfries (kanan), menghalang penyerang England, Harry Kane, dirujuk kepada VAR dan tendangan penalti diberi kepada England. Kane menyamakan kedudukan 1-1 melalui sepakan penalti itu.
Tindakan pemain Belanda, Denzel Dumfries (kanan), menghalang penyerang England, Harry Kane, dirujuk kepada VAR dan tendangan penalti diberi kepada England. Kane menyamakan kedudukan 1-1 melalui sepakan penalti itu. - Foto EPA-EFE

DORTMUND: Pengurus Belanda, Ronald Koeman, mengkritik penggunaan sistem video penolong pengadil (VAR) kerana “membinasakan bola sepak” setelah England diberi sepakan penalti kontroversial dalam perlawanan separuh akhir Euro 2024 pada 11 Julai.

Sebelum itu, Belanda mendahului menerusi satu rembatan kuat oleh Xavi Simons.

Namun, pasukan pimpinan, Gareth Southgate, diberi peluang untuk bangkit apabila Harry Kane bertembung dengan Denzel Dumfries setelah percubaan kapten England itu melencong atas palang gol.

Pada mulanya tiada penalti diberikan tetapi pasukan England diberi penalti itu setelah pengadil, Feliz Zwayer, dinasihatkan supaya melihat tayangan ulang VAR.

Kane menyamakan kedudukan hasil penalti itu dan kemudian pemain gantian, Ollie Watkins, menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-90 untuk England mara dan bertemu Sepanyol di final.

“Pada pendapat saya, ia sepatutnya bukan penalti. Beliau menendang bola dan kasut beliau tersentuh.

“Saya rasa kita tidak boleh bermain bola sepak dengan betul dan ini disebabkan VAR. Ia benar-benar membinasakan bola sepak,” ujar Koeman.

Bekas pemain pertahanan England dan pengulas bola sepak ITV, Gary Neville, berpendapat pasukan Belanda berhak berasa terkilan.

“Sebagai pemain pertahanan, saya rasa ia adalah keputusan yang benar-benar memalukan.

“Tidak mungkin ia adalah penalti. Dia hanya masuk dengan cara biasa untuk menghalang tendangan. Bagi saya, bukan penalti,” katanya.

Bekas penyerang England, Alan Shearer pula berkata: “Tidak dinafikan ada sentuhan, tetapi pemain pertahanan (Dumfries) cuba menghalang bola.

“Rembatan susulan, Harry Kane, menyebabkan sentuhan itu dan saya tidak fikir ia adalah kesalahan besar untuk keputusan (pengadil) itu diubah.”

Kapten pasukan Liverpool dan kebangsaan Belanda, Virgil van Dijk, juga berasa keputusan penalti itu menjadi titik perubahan perlawanan tersebut.

“Saya fikir detik penalti itu adalah satu detik penting. England dapat meningkatkan prestasi mereka daripada itu.

“Saya rasa banyak keputusan (pengadil) tidak memihak kepada kami, tetapi saya tidak ingin bercakap tentang pengadil,” tambahnya.

Meskipun harapan Belanda untuk memenangi kejuaraan Eropah pertamanya sejak 1988 berkecai, Koeman memberikan sokongan kepada England dalam final.

“Saya rasa England mempamerkan persembahan cemerlang pada separuh masa pertama selepas ketinggalan 1-0.

“Ini bola sepak. Mungkin jika anda menonton semua perlawanan pasukan Sepanyol, mereka bermain dengan lebih banyak menyerang, mempunyai pemain sayap hebat dan penguasaan bola yang baik, dan anda perlu menghentikan itu.

“Tetapi England berada di final dan mempunyai peluang memenanginya. Sepanyol bermain pada tahap tinggi tetapi England boleh menghalang mereka. Mengapa tidak?” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg