WASHINGTON: Penyerang pinjaman Juventus, Randal Kolo Muani, menyatakan hasratnya untuk terus kekal bersama pasukan itu bagi musim 2025/26.
Ini menyusuli persembahan cemerlang penyerang Perancis itu yang membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dalam aksi pembukaan Piala Dunia Kelab yang mengagumkan oleh kelab Italy itu.
Kolo Muani, yang tiba di Juventus dari Paris Saint-Germain (PSG) menerusi perjanjian jangka pendek pada Januari, menjaringkan dua gol ketika Juventus membelasah Al-Ain, 5-0 pada 19 Jun.
Gol itu menjadikannya lima gol dalam enam perlawanan terakhir bersama kelab tersebut.
“Sejujurnya, saya rasa sangat selesa di sini.
“Saya dapat bermain dengan baik dan menjaringkan gol. Saya gembira, dan berharap dapat terus kekal di sini,” kata pemain berusia 26 tahun itu kepada agensi berita, Mediaset, selepas perlawanan Kumpulan G di Washington D.C.
Pengurus utama, Damien Comolli, berkata minggu lalu bahawa Juventus telah membincangkan satu lagi perjanjian pinjaman dengan PSG ketika berunding untuk melanjutkan kontrak Kolo Muani untuk kejohanan Piala Dunia Kelab.
“Saya optimis kami boleh mencapai persetujuan dengan PSG bagi pinjaman untuk keseluruhan musim 2025/26.
“Paris Saint-Germain juga tidak menutup pintu pinjaman, dan mereka tahu pemain itu mahu kekal bersama kami,” katanya.
Kemenangan itu turut diselubungi dengan ketidaktentuan buat pengurus Juventus, Igor Tudor.
Dua pemain terbaik dalam perlawanan itu bakal meninggalkan kelab tidak lama lagi, memandangkan kontrak mereka akan tamat sebaik sahaja kejohanan berakhir.
Pemain sayap Portugal, Francisco Conceicao, yang dipinjam dari Porto, turut menyumbang dua gol selepas mengucar-ngacirkan pertahanan Al-Ain dari kedua-dua bahagian sayap di Audi Field.
Tudor jarang menggunakan khidmat pemain berusia 22 tahun itu sejak mengambil alih daripada Thiago Motta pada Mac.
Ia menimbulkan persoalan sama ada Juventus bersedia mengaktifkan klausa pembelian bernilai 30 juta euro ($44.43 juta) untuk mengekalkannya di Turin.
Buat masa ini, Tudor masih memiliki kedua-dua pemain itu untuk kejohanan Piala Dunia Kelab.
Bagi Kolo Muani, beliau jelas menyokong falsafah yang dibawa pengurus dari Croatia itu.
“Beliau percaya pada saya, mahu menyerang dan juga mengekalkan pertahanan yang kukuh. Saya sangat gembira bermain bersama rakan sepasukan saya. Kami bermain dengan penuh semangat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg