Keputusan Harry Kane untuk menandatangani kontrak baharu bersama Bayern Munich memberi kesan besar kepada Bundesliga, yang kini meraikan kejayaannya memenangi Ballon d’Or. Keputusan itu juga penting buat England dan rekod Liga Perdana England (EPL).

Bayern bertindak pantas untuk mengikat pemain berusia 33 tahun itu dengan kontrak sehingga 2029, selepas beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia. 

Dengan itu, kapten dan penjaring gol terbanyak England tersebut akan menghabiskan tahun-tahun kemuncak kerjayanya yang cemerlang di Arena Allianz.

Kane telah mengukir namanya sebagai legenda Bayern sejak menyertai kelab itu dari Tottenham Hotspurs dengan bayaran £86 juta ($147.9 juta) pada Ogos 2023.

Beliau menjaringkan 102 gol dalam 102 perlawanan Bundesliga, memenangi dua gelaran liga dan tiga anugerah ‘Golden Boot’ berturut-turut.

Sebab itulah Bayern tidak mahu kehilangan Kane, lebih-lebih lagi apabila beberapa kelab lain turut berminat untuk mendapatkannya.

Justeru, keputusan Kane untuk terus kekal bersama Bayern memberi kesan bukan sahaja kepada kelab itu, malah kepada dunia bola sepak secara keseluruhan. 

Adakah ini bermakna Kane tidak akan beraksi di EPL lagi? Yang lebih menarik, adakah ini bermakna beliau menyasarkan dua lagi kejohanan besar dan dua lagi peluang untuk merangkul trofi yang masih belum diraihnya di peringkat antarabangsa?

Bekas penyerang England, Chris Sutton, berkata: “Saya yakin, walaupun isu kecergasan sentiasa perlu diambil kira, Harry lebih daripada mampu meneruskan permainan untuk beberapa tahun lagi, dengan mudah.

“Orang mungkin kata permainannya kurang pantas, tetapi beliau sangat kuat dalam aspek lain. Beliau pemain serba boleh bertaraf dunia.

“Penyudahnya tidak akan terjejas langsung oleh usia. Beliau masih mampu mengatur gerakan pasukan dengan baik dan mempunyai pemahaman bola sepak yang tinggi. 

“Saya tidak nampak usia sebagai masalah besar. Kita fikirkan pemain laju selama ini yang bergantung pada aspek itu, kemudian kehilangannya apabila meningkat usia.

“Harry bukan salah seorang daripada mereka. Beliau kelihatan cergas dan di puncak kemampuannya bersama Bayern dan England,” tambahnya.

Kontrak baharu Kane tamat sejurus sebelum ulang tahunnya yang ke-36. Ini pasti menimbulkan kemungkinan bahawa pemain yang meninggalkan Spurs sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu, dengan 280 gol dalam 435 penampilan, mungkin tidak akan beraksi lagi di EPL.

Sikap profesional Kane dan kemampuannya untuk terus memperbaiki permainan seiring usia meningkat bermakna beliau masih berpeluang bermain lebih lama. Ramai yang membayangkan beliau akan kembali ke Spurs suatu hari nanti, tetapi kemungkinan itu kini semakin tipis.

Yang pasti, Alan Shearer akan kekal sebagai penjaring terbanyak EPL dan rekod itu di luar jangkauan Kane.

Shearer menjaringkan 260 gol dalam 441 perlawanan Liga Perdana untuk Blackburn Rovers dan Newcastle United. Kane menjaringkan 213 gol dalam 320 perlawanan liga untuk Spurs.

Kane masih ketinggalan 47 gol di belakang rekod Shearer. Beliau memerlukan penamat kerjaya yang hebat untuk mengatasi jumlah ikon Newcastle itu dan mencatat satu lagi rekod dalam buku sejarah. 

Namanya sudah tercatat sebagai penjaring terbanyak England dengan 91 gol daripada 125 penampilan, yang menyamai rekod penampilan terbanyak. – Agensi berita.