LONDON: Bukan kali pertama dalam musim Liga Perdana England (EPL) kali ini, seorang pengurus dalam keadaan marah gara-gara kad merah yang dilayangkan akibat tindakan pemainnya menarik rambut pemain lawan.

Terkini, pengurus Manchester United, Michael Carrick, menyifatkan arahan keluar padang terhadap Lisandro Martinez, kerana menarik rambut Dominic Calvert-Lewin, sewaktu menentang Leeds United pada 13 April, sebagai satu “keputusan yang mengejutkan”.

Sebelum itu, pada Januari lalu, pengurus Everton, David Moyes, melabel tindakan melayangkan kad merah kepada Michael Keane, kerana menarik rambut pemain Wolverhampton Wanderers, Tolu Arokodare, sebagai sesuatu yang “mengarut”.

Namun, setakat ini, keputusan tersebut dilihat konsisten dalam EPL.

Sekiranya terdapat bukti jelas berlakunya kejadian tarik rambut, video pembantu pengadil (VAR) akan campur tangan atas dasar kelakuan kasar, yang membawa kepada penggantungan tiga perlawanan.

Namun, pendekatan ‘pukul rata’ ini mencetuskan kontroversi. 

Timbul persoalan tentang mengapa ia dianggap sebagai kesalahan kad merah, sebab ia diklasifikasikan sebagai kelakuan kasar, dan adakah wajar seorang pemain terlepas tiga perlawanan hanya disebabkan tindakan sedemikian.

Keputusan tekal

Pada Ogos 2022, pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Cristian Romero, telah menyentap rambut pemain Chelsea, Marc Cucurella.

Pegawai VAR pada ketika itu, Mike Dean, memilih untuk tidak campur tangan dalam kejadian yang sepatutnya berakhir dengan layangan kad merah.

Kejadian itu menjadi titik perubahan, dan sejak itu, pendekatan sifar toleransi terhadap tindakan sedemikian mula diguna pakai.

Adakah rambut pemain telah ditarik? Jika ya, kad merah akan dikeluarkan atas kesalahan kelakuan kasar.

Pelaksanaan peraturan yang tegas itu bermakna kita terpaksa menerima hakikat bahawa dalam sesetengah kes, seperti yang melibatkan Keane dan Martinez, hukuman tersebut kelihatan terlalu berat.

Selepas Keane dilayangkan kad merah, ketua pengadil, Howard Webb, menegaskan bahawa menarik rambut adalah satu “tindakan yang agak menyakitkan”.

“Ini adalah keputusan yang tepat,” kata Webb. 

“Ia jarang berlaku, namun jika kita melihatnya lagi minggu depan, keputusannya tetap akan sama.”

Kata-kata Webb terbukti benar, apabila selang beberapa bulan, keadaan serupa berlaku kepada Martinez.

Setakat ini, hanya ada satu lagi kejadian kad merah melibatkan VAR di EPL bagi kesalahan tersebut, iaitu insiden membabitkan pemain Southampton, Jack Stephens, yang menarik rambut Cucurella, pada akhir 2024.

Terdapat juga beberapa kejadian serupa dalam Piala Dunia Kelab, Liga Super Wanita, dan Euro Wanita.

Menarik rambut adalah salah satu serangan dalam bola sepak yang selalunya hanya dapat dikesan melalui video.

Ia biasanya berlaku tanpa melibatkan pergelutan dengan bola, namun ia lebih mudah dikenal pasti berbanding tindakan licik seperti menyiku dada atau mencubit pemain lawan.

Kewajaran gantung 3 perlawanan

Antara perkara paling mengecewakan pengurus adalah apabila pemainnya dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan akibat tindakan menarik rambut lawan.

Ini kerana timbul perdebatan sama ada hukuman tersebut benar-benar setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Salah satu isu utama adalah pendekatan ‘pukul rata’ dalam tindakan disiplin di England.

Liga lain cenderung mengenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu, yang kemudian boleh dilanjutkan bergantung kepada kes.

Namun, di EPL, kelakuan kasar dan permainan kasar yang serius secara automatik membawa kepada penggantungan tiga perlawanan. 

Ia merangkumi kesalahan lain seperti tandukan kepala, perebutan bola secara ganas yang berisiko mematahkan kaki, serta menyentap rambut lawan.

Moyes seolah-olah tidak percaya beliau akan kehilangan pemain pertahanan tengah, Keane, untuk tempoh selama itu.

Justeru itu, beliau mengemukakan rayuan terhadap kad merah dan “hukuman melampau” tersebut.

Panel Persatuan Bola Sepak (FA) yang terdiri daripada tiga orang bekas pemain menolak rayuan tersebut dengan keputusan undian dua berbalas satu.

Carrick mungkin akan cuba membuat rayuan bagi hukuman Martinez, namun peluang untuk berjaya kelihatan tipis memandangkan kedua-dua kejadian tersebut sangat serupa.

Tarik rambut dianggap kelakuan kasar

Tindakan menarik rambut, yang diletakkan di bawah kategori kelakuan kasar – sama dengan tindakan menumbuk, menyiku kepala, atau menyepak tanpa melibatkan bola – menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan peminat.

Mereka mungkin mahu ia diklasifikasikan sebagai kesalahan berbeza.

Namun, cuba fikirkan dari sudut ini, apabila rambut pemain ditarik atau disentap, ia akan menyebabkan pemain rasa terkejut dan sakit.

Perkara sama juga turut dirasai apabila pemain disiku atau ditumbuk.

Dalam konteks kelakuan kasar, unsur keganasan atau kekasaran memainkan peranan.

Menurut garis panduan EPL, seorang pemain mesti “secara jelas menarik rambut lawan dengan kasar”.

Dalam rayuan mereka, Everton berhujah Keane tidak menggunakan kekasaran. Namun, hujah itu ditolak.

United mungkin akan menggunakan alasan yang sama untuk Martinez, namun memandangkan Calvert-Lewin jatuh tersungkur sambil memegang bahagian belakang kepalanya, usaha United untuk membela diri mungkin lebih sukar.

Namun, pengurus tetap mempunyai hujah lain.

Pemain Newcastle United, Anthony Gordon, pernah digantung tiga perlawanan pada 2025, akibat terjahan melulu ke arah pemain Liverpool, Virgil van Dijk – satu tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan serius.

Kini, Martinez berdepan hukuman yang sama hanya kerana menarik rambut Calvert-Lewin.

Ia kelihatan kurang adil.

Pastinya perdebatan ini akan kembali hangat apabila kad merah VAR seterusnya dilayangkan bagi kesalahan serupa.

Liga Perdana sentiasa menimbangkan pandangan pihak berkepentingan setiap musim panas dan akan melakukan pelarasan kecil terhadap kriteria pengadilan.

Mungkin selepas ini, pandangan daripada ketua pasukan dan kelab akan mendapati bahawa pengadil terlalu tegas dalam isu tarik rambut ini. – Agensi berita.