AL RAYYAN (Qatar): Korea Selatan layak ke suku akhir Piala Asia untuk bertemu Australia selepas menewaskan Arab Saudi 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada 30 Januari di Stadium Education City.
Selepas perlawanan mencemaskan itu berakhir 1-1, Hwang Hee-chan menjaringkan penalti penentu untuk pasukan bimbingan Jurgen Klinsmann, yang berharap untuk mengakhiri kemarau kejuaraan Piala Asia selama 64 tahun.
Penjaga gol Korea Selatan Jo Hyeon-woo menjadi wira di Doha, selepas menyelamatkan penalti daripada Sami Al-Najei dan Abdulrahman Ghareeb dalam sepakan penentuan penalti itu.
Jurulatih Arab Saudi, Roberto Mancini meninggalkan padang dan terus masuk ke terowong sebelum Hwang mengambil penalti terakhir.
Awal dari itu, Cho Gue-sung menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-99 dalam masa perlawanan biasa yang menyelamatkan pasukannya, dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Abdullah Radif membuka jaringan untuk Saudi hanya 33 saat selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Liga Pro Saudi kini gigih berusaha memikat pemain terkenal manakala Arab Saudi pula bersedia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, sebagai sebahagian langkah menceburi sukan di peringkat sedunia.
Namun, pasukan itu kini tersingkir daripada Piala Asia selepas pertemuan tegang di hadapan lebih 40,000 penyokong di stadium tersebut.
Ahmed Al-Kassar berjaya menyelamatkan percubaan bintang Spurs, Son Heung-min, sebelum Saleh Al-Shehri membuat rembatan jauh, selepas Korea Selatan dengan mudah membolehkannya mengawal bola.
Saudi mempunyai peluang terbaik pada separuh masa pertama apabila tiga pemainnya hampir mencapai sasaran dengan tiga tandukan berturut-turut.
Tandukan Shehri terkena palang dan Ali Lajami melakukan perkara sama dengan lantunan bola, sebelum Salem Al-Dawsari akhirnya menanduk bola melepasi tiang gol.
Pada babak kedua, Dawsari menghalakan hantaran kepada pemain gantian Radif yang membuka jaringan buat Arab Saudi.
Korea Selatan yang tertekan, kemudian melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gawang Arab Saudi pada penghujung 90 minit.
Percubaan penyerang Cho akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-99, dengan tandukan yang menyamakan kedudukan, dan membawa permainan ke masa tambahan.
Korea Selatan mendominasi kedua-dua tempoh masa tambahan tetapi tidak berjaya menjaringkan gol, sebelum penentuan sepakan penalti. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg