Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Pasukan Asean tunjuk taring di Piala Asia

Jan 26, 2024 | 04:54 PM



Bola sepak Asean semakin meningkat, dan aksi terakhir pusingan kumpulan dalam Piala Asia yang berlangsung di Qatar memaparkan mengapa ia sedemikian.

Pasukan Asia Tenggara, yang dahulunya dianggap lawan mudah, kini jarang gugup di pentas terbesar bola sepak serantau ini malah mampu menunjuk taring dan berdaya saing menentang pasukan gergasi Asia.

Thailand menjadi contoh teladan bagi kemajuan bola sepak Asean apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Piala Asia mereka sejauh ini.

Pada 25 Januari, skuad Perang Gajah, yang beraksi tanpa pemain bintang Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda akibat kecederaan, mampu mengikat juara tiga kali Piala Asia, Arab Saudi, 0-0 untuk menduduki tangga kedua Kumpulan F, dengan lima mata daripada tiga perlawanan.

Hanya dua pasukan teratas dari setiap kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga yang terbaik mara ke pusingan kalah mati.

Keputusan itu menempah tiket Thailand dalam kelompok 16 pasukan terbaik, iaitu kejayaan yang diraih untuk dua edisi berturut-turut.

Jaguh tujuh kali Asean itu sebelumnya menang 2-0 ke atas Kyrgyzstan dan seri 0-0 dengan Oman.

Thailand akan disertai rakan negara Asia Tenggara, Indonesia, dalam peringkat seterusnya.

Pasukan Garuda, bagaimanapun, berlangkah kanan apabila tiga mata yang diperoleh dalam Kumpulan D cukup untuk membawanya ke pusingan kalah mati buat julung kalinya.

Sejarah itu dicipta dalam kemunculan pertama Indonesia di Piala Asia sejak 2007. 

Namun begitu, perjalanan dua lagi pasukan Asean tersekat awal di Qatar.

Malaysia dan Vietnam disingkirkan selepas corot dalam kumpulan masing-masing. 

Namun, skuad Harimau Malaya, yang kembali tampil sejak Piala Asia 2007, boleh pulang dengan rasa berbangga.

Pada 25 Januari, Malaysia menebus kempen hambar mereka dengan mencatat seri 3-3 dalam aksi perlawanan terakhir kumpulan yang dramatik menentang juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan.

Ketinggalan 0-1 pada babak pertama hasil jaringan Jeong Woo-yeong, Malaysia bangkit pada separuh kedua dengan gol daripada Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi sebelum Lee Kang-in mengikat kedudukan ketika masa berbaki tujuh minit.

Korea Selatan hampir mengutip mata penuh apabila Son Heung-min menyempurnakan penalti pada masa tambahan namun jaringan penyamaan pemain gantian, Romel Morales, di hujung perlawanan menggamatkan Stadium Al Janoub.

Semangat juang pasukan Malaysia mendapat pujian ramai di ruangan media sosial, termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang membalas pos Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di platform X, yang sebelumnya dikenali sebagai Twitter, pada 25 Januari.

“Perlawanan yang hebat sekali!,” katanya menerusi akaun rasmi Piala Dunia FIFA itu.

Sementara itu, Vietnam, peserta suku akhir Piala Asia 2019, pula menggigit jari. 

Berdasarkan piawaian juara Asean dua kali itu, Vietnam gagal memenuhi jangkaan apabila tidak mampu meraih sebarang mata.

Tetapi, skuad Pahlawan Bintang Merah itu dapat mengancam gawang lawan sukar ketika tewas 2-4 kepada Jepun dan 2-3 di tangan Iraq.

Prestasi pasukan Asean di Qatar menunjukkan petanda baik pada perkembangan tahap bola sepaknya, kata bekas pemain antarabangsa Singapura, Rafi Ali.

“Kita dapat melihat bahawa pasukan Asean kini dapat merapatkan jurang (tahap permainan) dengan pantas. Mereka kini bermain untuk menyerang dan menang, dan bukanlah sekadar menghormati pihak lawan dan mengaku kalah.

“Pemain Thai, Vietnam, Indonesia dan Malaysia telah menunjukkan keberanian, keyakinan, kepercayaan, keinginan dan semangat,” kongsi pemenang Piala Tiger 1998 itu kepada Berita Harian (BH).

Pundit dan pengulas bola sepak, yang juga bekas pemain bola profesional Singapura, Rhysh Roshan Rai, di platform X, pula berkata: “Kempen #PialaAsia2023 yang bagus untuk Indonesia. Beberapa detik yang memberangsangkan. Banyak yang dapat dipertingkatkan dan dijangkakan daripada pasukan muda ini...Asean hebat!”

Dalam pusingan kalah mati, Indonesia akan meneruskan perjuangan mereka dengan pertembungan bersama juara Piala Asia 2015, Australia, pada 28 Januari, manakala Thailand berdepan Uzbekistan pada 30 Januari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >