Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Portugal punya kelebihan singkirkan Perancis

Jul 4, 2024 | 2:00 PM
Pada usia 39 tahun, Ronaldo terus menjadi tunggak dan inspirasi pasukan Portugal.
Pada usia 39 tahun, Ronaldo terus menjadi tunggak dan inspirasi pasukan Portugal. - Foto EPA-EFE

SEDANG Portugal menunjukkan prestasi yang meyakinkan untuk layak ke suku-akhir, kelayakan Perancis sebagai lapan pasukan terakhir dalam kejohanan diselubungi tanda tanya.

Dalam empat perlawanan, anak buah Didier Deschamps hanya berjaya menjaringkan satu gol - itu pun dari tendangan penalti untuk seri 1-1 dengan Poland dalam perlawanan kumpulan.

Dua lagi gol yang dicatatkannya adalah hasil gol sendiri dalam perlawanan menentang Austria dan Belgium.

Justeru, menjelang perlawanan di stadium Volksparkstadion, di Hamburg, menentang Portugal pada 6 Julai, jam 3 pagi (waktu Singapura), keupayaan Perancis untuk mara ke separuh akhir terus dipertikaikan pengkritik.

Secara umum, Perancis menunjukkan bibit-bibit kehebatan mereka namun pasukan pimpinan Deschamps gagal menemui sebarang rentak permainan yang konsisten sepanjang empat perlawanan dalam kejohanan Euro 2024 sejauh ini.

Seperti kata legenda Perancis, Emmanuel Petit: “Secara jujur mereka agak mengecewakan. Dengan pemain yang mereka miliki, seharusnya mereka bermain dengan lebih baik.”

Pemain yang memenangi Piala Dunia 1998 dengan pasukan Le Bleus itu menambah:

“Mereka harus meningkatkan persembahan, dan melakukannya dengan pantas, jika tidak mereka boleh lupakan impian menjulang piala.”

Namun, sejarah menunjukkan pasukan Deschamps sentiasa berjaya menghasilkan keputusan yang diperlukan.

Justeru, padah sekiranya Portugal terlalu yakin.

Namun, daripada komen jurulatihnya, Roberto Martinez, perkara tersebut langsung tidak bermain dalam fikiran skuad Portugal yang diketuai legenda bola sepak, Cristiano Ronaldo.

“Rekod Perancis mencerminkan kehebatan mereka. Tidak boleh dipertikaikan. Kami melangkah ke perlawanan ini sebagai underdog, tapi pada masa yang sama, kami yakin,” ujarnya.

Keyakinan itu mungkin berputik dari semangat pasukan yang dimiliki Portugal.

Dalam perlawanan dramatik menentang Slovenia, semangat tersebut begitu menyerlah, dengan hampir semua pemain memberi sokongan kepada kapten mereka, Ronaldo, yang tidak dapat menahan sebak setelah melihat tendangan penaltinya diselamatkan penjaga gawang, Jan Oblak, dalam masa tambahan.

“Ketika itu saya fikir inilah detiknya, saya akan bersara dari arena antarabangsa dengan kegagalan menyempurnakan tendangan penalti yang menyebabkan pasukan saya tersingkir,” kata Ronaldo, yang bakal menyambut ulang tahun yang ke-40 pada 5 Februari tahun depan.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan atas sokongan mereka. Kini kami harus fokus kepada tugas selanjutnya menentang Perancis,” tambah beliau.

Ekoran semangat berpasukan itu, dan prestasi Perancis yang hambar sejauh ini, saya rasa kejayaan bakal dimiliki Portugal kelak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg