FLORIDA: Kylian Mbappe menjadi pemain pertama memenangi But Emas Piala Dunia sebanyak dua kali, selepas meraih anugerah penjaring terbanyak pada 2026.

Penyerang Perancis itu menjaringkan 10 gol dalam lapan perlawanan, mengatasi Lionel Messi, dalam satu perlawanan berkualiti tinggi merebut anugerah tersebut.

Setelah menjaringkan lapan gol untuk menjadi penjaring terbanyak di Qatar 2022, Mbappe kini memenangi But Emas dalam dua Piala Dunia berturut-turut.

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan pemain pertama mencapai dua angka gol dalam Piala Dunia sejak Gerd Muller mewakili Jerman Barat pada 1970.

Hanya Just Fontaine, yang menjaringkan 13 gol untuk Perancis pada 1958, dan Sandor Kocsis dari Hungary dengan 11 gol pada 1954, pernah menjaringkan lebih banyak gol individu dalam satu kejohanan.

Mbappe kini turut menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 22 gol — satu gol melebihi Messi.

Juara dunia Sepanyol merangkul kesemua anugerah lain, termasuk kapten mereka, Rodri, yang memenangi Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.

Mbappe mengukuhkan kedudukannya mendahului Messi pada 19 Julai (waktu Singapura), dengan dua gol dalam perlawanan pingat gangsa, walaupun beliau tidak dapat menghalang Perancis daripada tewas 6-4 kepada England dan meraih kedudukan keempat.

“Apabila anda menjaringkan begitu banyak gol dalam Piala Dunia, ia pasti membawa anda ke tahap yang lebih tinggi,” katanya selepas perlawanan 19 Julai di Miami, Amerika Syarikat.

“Tetapi saya lebih suka sekiranya saya bukan penjaring terbanyak dan sebaliknya dapat bermain dalam perlawanan akhir.

“Ia baik untuk legasi saya apabila saya bersara kelak, tetapi buat masa ini, itu bukan yang bermain dalam fikiran saya.”

Mbappe turut menjaringkan dua gol menentang Senegal dan Iraq pada peringkat kumpulan, serta Sweden pada pusingan 32 terbaik.

Beliau menyusuli itu dengan jaringan menentang Paraguay pada pusingan 16 terbaik — gol kemenangan pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti — dan menentang Maghribi pada suku akhir.

Messi berpeluang mengatasi penyerang Real Madrid itu sekiranya beliau berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia pada 20 Julai (waktu Singapura).

Namun, pemain berusia 39 tahun itu gagal menjaringkan sebarang gol di New Jersey, apabila pasukan Argentina tewas 1-0 kepada Sepanyol, dan menamatkan kejohanan itu dengan lapan gol daripada bilangan perlawanan yang sama.

Jude Bellingham dari England dan Erling Haaland dari Norway masing-masing menjaringkan tujuh gol, manakala penyerang Perancis, Ousmane Dembele, dan kapten England, Harry Kane, menyusuli mereka dalam senarai itu dengan enam gol. – Agensi berita.