MIAMI: Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, muncul sebagai penjaring gol terbanyak dalam sejarah Piala Dunia dengan rekod 22 gol.

Ini selepas Mbappe menjaringkan dua gol, ketika pasukan bergelar Les Bleus itu tewas 4-6 kepada England dalam aksi penentuan tempat ketiga pada 18 Julai.

Pemain berusia 27 tahun itu mengatasi rekod bintang Argentina, Lionel Messi (21 gol), yang dijadualkan beraksi dalam final menentang Sepanyol pada 19 Julai. 

Namun, aksi final itu hampir pasti menjadi penampilan terakhir Piala Dunia buat pesaingnya itu, manakala Mbappe dijangka masih berpeluang beraksi dalam sekurang-kurangnya satu lagi edisi kejohanan global berkenaan.

Mbappe menamatkan kempen Piala Dunia ketiganya dengan menjaringkan keseluruhan 10 gol sekali gus mendahului carta perebutan anugerah But Emas, dengan kelebihan dua gol di hadapan Messi.

Penyerang Real Madrid itu melakar rekod berkenaan dalam 22 penampilan keseluruhannya, selepas menjaringkan empat gol pada edisi Piala Dunia 2018 dan lapan gol pada 2022 yang menyaksikan Perancis mara ke kedua-dua perlawanan akhir.

Skuad Les Bleus menewaskan Croatia pada 2018, manakala pasukan itu tewas di tangan Argentina empat tahun lalu.

“Messi pasti akan menjaringkan gol (pada final), itu sudah tentu. Saya hanya cuba membantu pasukan saya menang. Apabila anda menjaringkan banyak gol di Piala Dunia, ia meletakkan anda dalam kelompok tertentu,” kata Mbappe.

“Saya sebenarnya lebih suka dapat beraksi dalam perlawanan esok (19 Julai), berbanding dinobat sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman. 

“Dari segi rekod, ia memang bagus, tetapi hari ini perkara itu bukan keutamaan saya.” – Reuters.