Maraton tahun ini akan berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember dan akan mempunyai laluan baru.
Mengumumkan demikian pada 4 September, penganjurnya, Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM), menyatakan pelari yang mengambil bahagian dalam perlumbaan maraton dan separuh maraton akan bermula di Bangunan F1 Pit pada 1 Disember, melepasi mercu tanda seperti Esplanade, Merlion, Hotel Fullerton, Stadium Negara, dan Marina Bay Sands.
Semasa maraton 2023, pelari melepasi garisan penamat di Stadium Negara.
Namun, bagi maraton 2024, perlumbaan akan berakhir di Jambatan Anderson.
Ini kerana Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean, yang sebelum ini dikenal sebagai Piala AFF, akan berlangsung dari 8 Disember hingga 5 Januari, dengan sekurang-kurangnya dua perlawanan akan diadakan di Stadium Negara.
Pelari jarak jauh negara Shaun Goh, pemenang separuh maraton lelaki SCSM 2023, yang tidak sabar menentang rakan sepasukan Jon Lim sekali lagi, berkata: “Saya teruja kembali bertanding tahun ini.
“SCSM ialah perlumbaan tempatan terbesar kita, dan ia sentiasa menjadi ujian baik untuk melihat di mana anda berada dalam persaingan tempatan.
“Dalam edisi tahun lalu, saya hadapi pertarungan yang sangat sukar dengan Jon Lim, yang menduduki tempat kedua, dan hampir tidak berjaya meraih kemenangan, jadi saya sangat teruja untuk perlawanan semula kami.”
Maraton penuh akan menyaksikan pelari melepasi Suntec City dan Fountain of Wealth dan menuju ke barat melalui West Coast Highway dan melepasi VivoCity dalam perjalanan pulang.
Acara 5 kilometer dan 10 kilometer pada 30 November akan menjadi perlumbaan jalan raya penuh, dengan pelari bermula di Bangunan F1 Pit dan begitu juga berakhir di Jambatan Anderson.
Terdapat juga acara lari kanak-kanak, yang menampilkan perlumbaan 600 meter dan 900 meter di Bangunan F1 Pit pada 29 November untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
SCSM tahun ini juga akan menyaksikan kembalinya Ekiden, perlumbaan lari berganti-ganti yang akan menyaksikan pasukan lima pelari bergilir-gilir melengkapkan laluan maraton.
Kategori Ekiden kali terakhir ditampilkan di SCSM pada 2021, dengan pelari terpaksa mengikut garis panduan keselamatan akibat pandemik Covid-19. Ekiden peringkat penuh terakhir diadakan pada 2019.
Roy Teo, ketua kumpulan pembangunan industri, teknologi dan inovasi Sport Singapore, berkata: “Dengan kembalinya Cabaran Ekiden di 2024, kami bersedia untuk melihat penyertaan yang lebih besar.
“Menyaksikan beribu-ribu pelari di jalan raya benar-benar memberi inspirasi dan menggalakkan lebih ramai lagi untuk mendakap sukan ini.”
Ong Ling Lee, pengarah eksekutif sukan dan kesihatan Lembaga Pelancongan Singapura (STB), menambah: “Pengenalan laluan baru dan Jambatan Anderson yang bersejarah sebagai garisan penamat menandakan satu babak yang menarik untuk SCSM.
“Kami bangga menyokong perlumbaan ini, paparkan semangat kesukanan sebenar, dan pameran mercu tanda ikonik kami, dari Esplanade ke Gardens by the Bay.”
Butiran mengenai laluan perlumbaan baru boleh didapati menerusi pautan di sini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg