PLYMOUTH (England): Liverpool disingkirkan daripada Piala FA oleh pasukan divisyen dua, Plymouth Argyle, yang menamatkan harapan The Reds untuk membolot kesemua empat trofi yang dipertandingkan.
Pasukan tempat ke-24 divisyen kedua itu mencatat kemenangan 1-0 pada pusingan keempat di Home Park pada 9 Februari.
Plymouth mendahului pada minit ke-53 selepas mereka dihadiahkan penalti setelah bola terkena tangan pemain tengah, Harvey Elliott.
Ryan Hardie menjaringkan gol penalti itu apabila penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher, bergerak ke arah bertentangan.
Pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu kelihatan hilang arah dan hanya mempunyai satu percubaan jaringan ke sasaran pada separuh masa pertama, dengan penjaga gol Plymouth, Conor Hazard, menghalang rembatan jarak jauh oleh James McConnell pada minit ke-36.
Menjelang pertembungan ‘derby’ Merseyside menentang Everton pada 12 Februari, Liverpool membuat perubahan besar dengan merehatkan beberapa pemain utama seperti Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Alisson Becker dan Alexis Mac Allister.
Namun pasukan Arne Slot masih memberi usaha yang terbaik, tetapi Hazard terbukti menjadi wira untuk Plymouth apabila pemain Ireland Utara itu dengan cemerlang menghalang tendangan deras Diogo Jota pada masa tambahan, serta tandukan Darwin Nunez.
Dengan Liverpool mendahului EPL, serta dapat melangkah ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan mara ke final Piala Liga, beberapa peminat dan pakar telah mula membuat spekulasi tentang potensi pasukan itu memenangi keempat-empat trofi yang mampu dimenangi mereka.
Kemenangan luar biasa Plymouth, bagaimanapun, menghentikan dominasi piala untuk pasukan Slot, yang hanya tewas tiga perlawanan sepanjang musim sebelum 9 Februari.
Sementara itu, tiada kejutan dalam satu lagi perlawanan pusingan keempat Piala FA dengan pasukan EPL Wolverhampton Wanderers menewaskan pasukan divisyen dua, Blackburn Rovers 2-0 di Ewood Park.
Tidak banyak yang dapat memisahkan kedua-dua pasukan pada minit-minit pembukaan sebelum Wolves mengejutkan Blackburn dengan dua jaringan pantas menerusi pemain tengah Joao Gomes pada minit ke-33 dan beberapa saat kemudian menerusi penyerang Matheus Cunha.
Pemain pertahanan Blackburn, Dominic Hyam, berjaya menjaringkan bola pada minit ke-19 namun gol dibatalkan akibat ofsaid. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg