Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah pecat Postecoglou sukar, kata pengerusi Spurs

Jun 18, 2025 | 3:58 PM
EPL, Spurs,  Ange Postecoglu
Ange Postecoglu telah dipecat oleh pengerusi Spurs, Daniel Levy, awal Jun, sekitar dua minggu selepas memimpin kelab itu menjuarai Liga Europa. - Foto REUTERS

LONDON: Keputusan memecat pengurus pasukan, Ange Postecoglou, tidak lama selepas beliau memenangi trofi utama Tottenham Hotspur dalam tempoh 17 tahun adalah “sukar dari segi emosi”.

Demikian pengakuan pengerusi kelab, Daniel Levy, yang menjelaskan bahawa Spurs memerlukan perubahan selepas musim Liga Perdana England (EPL) yang mengecewakan.

Pengurus warga Australia itu dipecat awal Jun, hanya lebih dua minggu selepas membawa Spurs menang 1-0 ke atas Manchester United dalam final Liga Europa.

Ia merupakan trofi pertama kelab itu sejak Piala Liga pada 2008 dan membolehkan mereka mendapat tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Levy menyatakan bahawa walaupun keputusan itu memecahbelahkan penyokong, pengurus akhirnya menghadapi risiko selepas kempen liga yang mengecewakan yang menyaksikan pasukan itu menduduki tangga ke-17 di akhir musim yang baru tamat ini – kedudukan paling buruk mereka sejak tersingkir pada kempen 1976-77.

“Saya tidak menyesal melantik Ange, saya sangat berterima kasih kepada Ange. Pada musim pertamanya, kami menduduki tangga kelima dan pada musim keduanya kami sangat gembira untuk memenangi trofi,” kata Levy dalam temu bual yang dikeluarkan oleh kelab itu pada 17 Jun.

“Tetapi kami perlu bersaing dalam semua pertandingan, dan kami merasakan bahawa kami memerlukan perubahan. Dari segi emosi, ia sukar tetapi kami rasa kami telah membuat keputusan yang tepat untuk kepentingan kelab.”

Spurs minggu lalu menamakan bekas bos Brentford, Thomas Frank, sebagai pengganti Postecoglou – pengurus sepenuh masa kelima mereka dalam tempoh enam tahun dan yang ke-13 sejak Levy menjadi pengerusi lebih 25 tahun lalu.

“Kegagalan bukan satu pilihan, keinginan adalah untuk berjaya kerana ia sangat sukar, saya mahu lebih berjaya,” tambah Levy.

“Setiap kali anda mempunyai jurulatih baru, ia sentiasa permulaan yang baru. Sentiasa terdapat idea berbeza... tetapi kami mahu membina kejayaan memenangi trofi musim lalu.

“Salah satu perkara yang menarik perhatian saya dengan Thomas ialah beliau jelas sangat bijak, seorang komunikator yang hebat, manusia yang luar biasa serta memiliki semua aspek teknikal yang jelas penting.” – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg