Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih $80,000 dikumpul bagi bekas pemain legenda kebangsaan S. Rajagopal
Lebih $80,000 dikumpul bagi bekas pemain legenda kebangsaan S. Rajagopal
Lebih $80,000 berjaya dikumpul pada 17 November untuk menyokong bekas pemain sayap pasukan bola sepak kebangsaan, S. Rajagopal, yang disahkan menghidap demensia.
Dana tersebut dikumpul melalui konsert, Thanks for the Memories, yang diadakan di Serangoon Gardens Country Club.
Tetamu terhormat majlis itu ialah Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How.
Turut hadir ialah bekas pemain bola sepak kebangsaan seperti Quah Kim Song, Lim Teng Sai dan Seak Poh Leong.
Rajagopal, 77 tahun, disahkan menghidapi demensia pada Julai 2025 dan kini menetap di Filipina dan menghadapi masalah kewangan, lapor The Straits Times (ST).
Mendapat julukan ‘The Camel’ (Unta) kerana stamina luar biasa dan lariannya yang pantas di bahagian sayap, Rajagopal ialah sebahagian daripada skuad juara Piala Malaysia Singapura 1977.
Beliau juga terkenal dengan ‘banana kick’ dari penjuru dan juga sepakan daripada situasi bola mati.
Dalam mesej yang dipaparkan pada skrin semasa konsert tersebut, Presiden Tharman Shanmugaratnam, berkata:
“Rajagopal ialah seorang yang unik. Seperti kebanyakan rakyat Singapura, jantung saya akan berdegup kencang setiap kali beliau memecut di sayap kiri, atau melencongkan bola melepasi pertahanan menerusi ‘banana kick’ yang terkenal itu.”