Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terpaksa undur selama tujuh tahun kerana cedera, atlet luncur selaju akhirnya wakili S’pura ke Sukan SEA

Muhammad Farris pernah jalani empat pembedahan lutut
Dec 1, 2025 | 3:04 PM
Atlet luncur selaju, Muhammad Farris Abdul Rahman, Sukan SEA 2025
Atlet luncur selaju terkenal di Singapura, Muhammad Farris Abdul Rahman, bangkit daripada kecederaan selama tujuh tahun dan bakal membuat penampilan sulungnya di pentas Sukan SEA pada Disember 2025 di Thailand. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Atlet luncur selaju kebangsaan, Muhammad Farris Abdul Rahman, tampak selesa beraksi di Taman Luncur Lakeside Garden, dengan yakin melakukan gaya berani, ketika Berita Harian (BH) menemuinya pada malam 4 November.

Beliau melompat sambil memusingkan badan bersama papan selajunya di udara, sebelum mendarat dengan lancar lalu meningkatkan kelajuan untuk meluncur di pinggir tanjakan (ramp), atau grind, jika mengikut istilah luncur selaju.

Atlet luncur selaju, Muhammad Farris Abdul Rahman, meluncur atau grind di pinggir tanjakan Taman Luncur Lakeside Garden.
Atlet luncur selaju, Muhammad Farris Abdul Rahman, meluncur atau grind di pinggir tanjakan Taman Luncur Lakeside Garden. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Persembahan Farris membuat beberapa rakan peluncur yang hadir mengetuk luncur selaju mereka ke lantai sebagai ‘tepukan gemuruh’.

Namun, di sebalik kelincahan itu, tersimpan satu kisah ketabahan.

Dengan gerakan begitu hebat, mungkin tidak ramai menyangka bahawa atlet berusia 31 tahun itu pernah menjalani empat pembedahan lutut, yang memaksanya meninggalkan sukan idamannya itu selama tujuh tahun.

Farris mengakui kecederaan serius itu menyebabkannya mengalami fobia untuk bermain luncur selaju bersendirian.

“Setiap kali saya pernah cedera, saya bersendirian… Kini, apabila saya mahu mencabar diri, saya perlukan ayah atau ahli keluarga lain ada di sisi,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Farris kini mencapai impiannya sebagai atlet kebangsaan.

Pada Disember, beliau akan mewakili Singapura dalam acara luncur selaju bagi disiplin park di Sukan SEA Thailand dengan rasa penuh bangga.

Beliau bersama Felix Felipe Rui Balzer, 11 tahun, dan Tina Wan Yuk Jeng, 19 tahun, akan membuat penampilan sulung mereka di pentas Sukan SEA.

Kedua-dua Felix dan Tina pernah dibimbing oleh Farris, seperti mempelajari gaya asas hingga ke gaya tahap tinggi.

Detik itu lebih manis kerana beliau akhirnya diiktiraf sebagai atlet negara, setelah bersaing dengan atlet luncur selaju terbaik di dunia dalam kejohanan antarabangsa utama seperti X-Games di serata dunia dan Piala Maloof Money di Afrika Selatan.

Sukan luncur selaju kali terakhir dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Tatkala itu, Farris masih cedera dan hanya hadir untuk menyokong abangnya yang juga atlet luncur selaju, Feroze Rahman.

Justeru, beliau begitu emosi apabila menerima beg dan alat-alat yang ‘merasmikan’ identitinya sebagai atlet negara.

“Saya hampir melepasi zaman gemilang saya selepas mengalami beberapa kecederaan, tetapi perlahan-lahan saya dapat skate semula, walaupun belum lagi seperti dahulu.

“Saya amat terharu, hingga menangis di dalam kereta api apabila melihat beg yang ada tag nama saya,” ceritanya.

“Saya tak sangka boleh bertanding lagi kerana banyak kecederaan yang saya alami.”

Menjelang temasya Sukan SEA, Farris berlatih hampir setiap malam di Taman Luncur Lakeside Garden selepas kerja.

Bagi disiplin park di Sukan SEA, peserta perlu menghasilkan pelbagai jenis gaya dan kemahiran di taman luncur selama 45 saat. Mereka diberikan tiga percubaan.

Mereka dinilai berdasarkan kesukaran setiap trick, ketekalan dan kadar penggunaan pelbagai trick.

Mereka juga perlu kreatif dalam menggunakan pelbagai bahagian taman luncur.
Seperti dalam sukan gimnastik, Farris berkata gaya mereka juga dinilai.

Pada usia 31 tahun, beliau akur pesaingnya yang lebih muda bukan mudah diatasi.

Farris telah menyertai kejohanan terbuka Malaysia pada Ogos, di mana kejuaraannya membantu mengekalkan kelayakannya untuk menyertai Sukan SEA 2025.

Farris berseloroh bagaimana beliau agak terkejut melihat kebanyakan bakal pesaingnya berusia hampir separuh daripada usianya.

“Atlet muda lebih berani membuat trick yang berisiko, dan mereka juga telah berlatih secara berterusan.

“Saya pula terpaksa berundur buat masa lama kerana kecederaan sebelum ini.

“Selain itu, saya perlu fikirkan andainya mendapat cedera lagi, kerja saya mungkin terjejas dan saya perlu membiayai kos rawatan,” jelas Farris yang bertugas sepenuh masa sebagai pengurus sukan prestasi tinggi di Majlis Sukan Singapura (SportsSG).

Beliau turut fokus kepada disiplin park kerana ia tidak terlalu membebankan lututnya.

Untuk kekal berdaya saing, Farris berlatih di luar negara seperti di Bali pada Oktober 2025.

“Ia sedikit mencabar kerana saya ‘jurulatih’ kepada diri saya sendiri,” jelasnya.

Lantas, Farris berlatih bersama atlet lain yang lebih berbakat untuk meningkatkan prestasinya.

“Kadangkala saya akan mendapatkan nasihat abang-abang saya atau mempelajari trick daripada mereka.”

Bagi Farris, sokongan keluarga seperti itu sudah kekal ada sejak detik permulaannya dalam sukan luncur selaju pada usia empat tahun.

Kedua-dua abangnya, Firdaus Rahman dan Feroze Rahman, bukan sahaja inspirasinya untuk mula bersukan luncur selaju, malah turut membantunya sehingga hari ini.

Firdaus dan Feroze turut dikenali sebagai atlet papan selaju handal di Singapura.

Farris, anak lelaki ketiga, teringat tatkala beliau terpegun dengan aksi Firdaus apabila mereka bermain papan selaju semasa beliau kecil.

“Bapa saya yang menyokong minat papan selaju saya. Ironinya, beliau bertugas sebagai pegawai polis, dan pada masa itu reputasi luncur selaju tidak begitu baik,” kongsi Farris.

Lantas, beliau boleh bergantung kepada sokongan keluarga yang kukuh itu untuk mengatasi ketakutannya beraksi dengan sepenuhnya apabila bersendirian.

“Biasanya, bapa saya akan datang dan ‘lepak’ bersama saya sambil saya berlatih. Kalau tak, ibu saya akan turun.

“Saya lebih yakin dan tenang apabila ada seseorang yang saya percaya berada di sisi saya,” tambahnya.

Farris berharap bapanya, Abdul Rahman Abdul Ghani, 67 tahun, boleh menyokongnya dari bangku peminat di Bangkok untuk memberinya lebih keyakinan.

Abdul Rahman pula berkata: “Apabila Farris mula bermain luncur selaju lagi selepas pemulihannya, pesonanya seperti apabila dia beraksi semasa zaman mudanya… Kehendak Farris (untuk bertanding) memang sangat kuat.”

View post on Instagram
 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg