Di atas padang, tumpuan biasanya diberikan kepada 11 pemain yang beraksi, bertahan dan menyerang untuk menjaringkan gol buat Singapura.

Namun, di sebalik setiap pemain yang mampu turun beraksi, terdapat sekumpulan individu yang bekerja jauh daripada perhatian kamera untuk memastikan pemain berada dalam keadaan fizikal terbaik, kecederaan dirawat dengan baik dan proses pemulihan berjalan lancar.

Antara mereka ialah Nurhafizah Abu Sujad, atau lebih mesra dipanggil Kak Fiza oleh pemain Singa.

Beliau telah bersama pasukan kebangsaan sejak 2012.

Kira-kira 14 tahun berlalu, peranannya kini bukan lagi sekadar sebagai ahli fisioterapi yang membantu pemain ketika mengalami kecederaan.

Bagi Kak Fiza, hubungan yang terjalin dengan pemain sudah jauh melampaui soal pekerjaan – mereka telah menjadi seperti keluarga sendiri.

“Saya memang rindu keluarga saya, terutama suami dan anak-anak. Tetapi saya anggap mereka (pemain) seperti adik-beradik sendiri, malah ada yang saya anggap seperti anak saya,”

“Jadi, pasukan kebangsaan ini sudah menjadi seperti rumah kedua buat saya,” kata fisioterapis berusia ___ tahun itu.

Jika orang luar melihat tugas fisioterapis sebagai merawat kecederaan dan memastikan pemain kembali ke padang, realitinya jauh lebih kompleks.

Bagi Kak Fiza, seseorang pemain perlu dilihat sebagai manusia terlebih dahulu.

Beliau perlu memahami keadaan psikologi, emosi dan mental pemain, terutama ketika mereka melalui proses pemulihan yang panjang.

Menurutnya, setiap pemain melalui proses pemulihan itu dengan cara yang berbeza.

Dengan pengalaman dan masa yang telah diluangkan bersama pasukan, beliau mengenali setiap pemain dengan dekat – seakan-akan seorang ibu yang mengenali anaknya – beliau tahu bagaimana mereka akan bertindak balas, apa yang mereka perlukan dan cara terbaik mendekati mereka.

Pemulihan kecederaan boleh menjadi pengalaman yang sunyi bagi seorang pemain.

Ketika rakan sepasukan berlatih dan bermain, pemain yang cedera mungkin hanya menghabiskan masa di gim atau bilik fisioterapi.

Jadi Kak Fiza cuba menjadikan proses itu lebih mudah untuk dilalui, mengingatkan mereka bahawa mereka tidak keseorangan.

“Ia bukan sekadar merawat dan memulihkan mereka. Saya mahu mereka sedar bahawa saya dan pasukan sentiasa bersama mereka,” katanya.

Antara kenangan paling bermakna buat Kak Fiza ialah perjalanan pemulihan Jacob Mahler kembali beraksi selepas kecederaan ligamen krusiat anteriornya (ACL).

Katanya, Mahler benar-benar terkesan dengan kecederaan tersebut.

Namun apa yang lebih bermakna ialah melihat pemain itu bangkit lebih kuat dan berazam untuk membuktikan dirinya di atas padang.

Beliau menyaksikan sendiri Mahler memainkan peranan penting ketika berdepan Vietnam dalam kempen Piala Asean Hyundai, di mana beliau terus bermain walaupun mengalami kecederaan buku lali pada separuh masa pertama.

Lebih sedekad selepas menyertai skuad kebangsaan, Kak Fiza masih terus memberikan sepenuh komitmen terhadap tugasnya.

Bagi beliau, kepuasan terbesar bukan sekadar melihat seorang pemain kembali turun beraksi.

Sebaliknya, ia adalah apabila melihat pemain yang pernah jatuh, kecewa dan berdepan kecederaan, kembali bangkit dan bermain semula.

Dan selagi khidmatnya masih diperlukan, Kak Fiza berkata beliau akan terus berada di sisi mereka – membantu, menjaga dan memastikan mereka kembali ke padang dengan lebih kuat.