Sedang penyokong bola sepak sedunia bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada generasi emas yang dipimpin Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar Jr, perhatian kini mula beralih kepada beberapa pemain muda yang boleh menjadi bintang masa depan bola sepak.
Dalam kalangan golongan muda seusia mereka, kebanyakannya mungkin sedang memikirkan kehidupan di universiti atau hala tuju kerjaya masing-masing.
Namun barisan pemain muda di Piala Dunia ini pula sedang fokus tampil di pentas terbesar bola sepak dunia anjuran bersama Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.
Dipilih untuk mewakili negara masing-masing di kejohanan paling berprestij itu, mereka bukan sahaja berpeluang berkongsi padang dengan legenda bola sepak, bahkan membawa harapan untuk menjadi wajah yang akan mencorakkan era baru sukan ini.
Berikut adalah 10 pemain muda paling berbakat yang berusaha mengukir nama di pentas Piala Dunia.
Lamine Yamal (Sepanyol, pemain sayap, 18 tahun)

Sudah dianggap sebagai antara pemain terbaik dunia walaupun baru berusia 18 tahun, Lamine Yamal hadir ke Piala Dunia sebagai antara senjata utama Sepanyol. Yamal bukan sekadar pemain sayap yang pantas dan cekap menggelecek bola, malah beliau mempunyai ketangkasan untuk memporak-perandakan benteng lawan. Kelincahan, kreativiti dan kematangannya menjadikan beliau ancaman kepada mana-mana pasukan pertahanan. Jika Sepanyol mahu menjulang trofi, Yamal berpotensi menjadi pemain yang menentukan perjalanan mereka. - Foto AFP
Ibrahim Mbaye (Senegal, pemain sayap, 18 tahun)

Ibrahim Mbaye mungkin belum dikenali ramai seperti Yamal, tetapi pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG) ini dilihat sebagai antara permata terbesar bola sepak Afrika. Dengan kepantasan dan keberanian mencabar pertahanan lawan, beliau mampu mengubah perlawanan dalam sekelip mata. Ketajaman dan kelicikan beliau dapat dilihat melalui jaringan beliau semasa menentang Perancis. Beliau melepasi pertahanan Perancis dengan mudah dan melepaskan rembatan kencang untuk menjaringkan gol tunggal Senegal. Piala Dunia ini boleh menjadi pentas yang memperkenalkan namanya kepada seluruh dunia. - Foto REUTERS
Endrick (Brazil, penyerang ,19 tahun)

Brazil sentiasa melahirkan penyerang bertaraf dunia dan Endrick (kiri) dilihat sebagai pewaris seterusnya. Dengan edisi Piala Dunia ini dianggap sebagai edisi terakhir bagi bintang Brazil, Neymar Jr, bakat muda seperti Endrick memikul tanggungjawab untuk mengekalkan dan mempertingkatkan prestasi Brazil. Selepas menembusi skuad ‘Selecao’ pada usia muda, beliau kini memikul harapan membantu Brazil memburu gelaran Piala Dunia keenam. Keupayaannya menjaringkan gol dalam perlawanan besar menjadikannya antara pemain muda paling dinanti-nantikan di kejohanan ini. - Foto AFP
Ayyoub Bouaddi (Maghribi, pemain tengah, 18 tahun)

Ayyoub Bouaddi sudah lama dianggap sebagai salah seorang pemain tengah muda paling matang daripada generasinya. Apa yang menarik perhatian tentang Bouaddi adalah ketenangan luar biasa dalam situasi tekanan. Sama ada ketika memutuskan serangan lawan, atau mengatur fasa serangan dari kawasan padang sendiri, Bouaddi mengawal rentak, jelas tidak terganggu oleh tekanan. Beliau mempamerkan bakatnya dalam perlawanan menentang Brazil, di mana beliau berjaya bersaing dan mengawal bahagian tengah padang yang dibarisi bintang pengalaman seperti Casemiro dan Bruno Guimaraes yang menyarungi jersi Brazil. - Foto AFP
Pau Cubarsi (Sepanyol, pemain pertahanan, 19 tahun)

Ketika ramai memberi perhatian kepada Yamal, Pau Cubarsi (kiri) pula menjadi tonggak masa depan pertahanan Sepanyol. Pemain pertahanan Barcelona itu terkenal dengan ketenangan dan kebijaksanaan membaca rentak permainan walaupun pada usianya yang muda itu. Jika beliau terus menyerlah, Cubarsi boleh menjadi antara pemain pertahanan terbaik dunia dalam beberapa tahun akan datang. Jika Sepanyol mahu menjuarai Piala Dunia, kestabilan di bahagian pertahanan seperti yang dibawa Cubarsi adalah sama penting dengan kreativiti di bahagian serangan. - Foto EPA
Yan Diomande (Ivory Coast, pemain sayap, 19 tahun)

Yan Diomande mencuri perhatian apabila beliau sering menjadi duri dalam pertahanan pasukan liga utama Jerman, Bundesliga, bersama RB Liepzig. Prestasi beliau turut mendapat perhatian kelab besar, antaranya Manchester United dan Liverpool. Dalam kemenangan 1-0 Ivory Coast ke atas Ecuador, beliau menjadi ancaman berterusan dengan larian langsung dan keberanian menentang pemain pertahanan lawan. Prestasi seperti ini sering menjadi titik permulaan kepada bintang besar dan Diomande sudah pun menunjukkan tanda-tanda itu di peringkat awal kejohanan. - Foto AFP
Gilberto Mora (Mexico, pemain tengah, 17 tahun)

Pada usia 17 tahun, Gilberto Mora menjadi antara pemain termuda dalam sejarah Piala Dunia moden dan sudah tampil dalam kemenangan pembukaan 2-0 Mexico ke atas Afrika Selatan. Walaupun merupakan pemain termuda dalam Piala Dunia kali ini, beliau tidak kelihatan janggal dalam kalangan pemain yang lebih berpengalaman. Bermain di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah, Mora menunjukkan ketenangan luar biasa, tanda jelas seorang pemain yang matang, berbakat besar dan tidak gentar dengan tekanan. - Foto REUTERS
Luka Vuskovic (Croatia, pemain pertahanan, 19 tahun)

Croatia kini berada dalam fasa peralihan generasi, dengan Luka Vuskovic muncul sebagai antara harapan masa depan negara itu. Dengan susuk fizikal tegap dan ketenangan luar biasa, beliau dijangka menjadi tonggak pertahanan Croatia untuk sekurang-kurangnya satu dekad akan datang. Walaupun beliau gagal mengekang barisan serangan England dalam kekalahan 2-4 mereka pada 18 Jun, Vuskovic telah mempamerkan aksi memberangsangkan dan hanya akan menjadi lebih baik dengan bertambahnya pengalaman. Piala Dunia ini mungkin menjadi pentas ‘pengenalan dunia’ pemain muda ini. - Foto EPA
Ben Gannon-Doak (Scotland, pemain sayap, 19 tahun)

Scotland mungkin bukan antara pasukan pilihan di Piala Dunia ini tetapi Ben Gannon-Doak (kiri) mempunyai bakat yang mampu mengubah segalanya. Dengan kepantasan dan keberanian menempur benteng lawan, beliau menjadi senjata untuk pasukannya mencatatkan kejutan. Dalam kemenangan 1-0 Scotland ke atas Haiti, beliau mempamerkan ketajamannya, mencipta beberapa peluang hebat untuk pasukannya. Dalam kejohanan besar, pemain seperti Gannon-Doak sering muncul daripada bayang-bayang untuk mencuri perhatian dunia. - Foto REUTERS
Kendry Paez (Ecuador, pemain tengah, 19 tahun)

Kendry Paez masih belum beraksi dalam kempen Piala Dunia 2026 ini. Bagaimanapun, reputasinya bersama Chelsea sebagai pemain yang terkenal dengan hantaran kemas, kreativiti tinggi, serta keupayaan mengatasi pertahanan padat tidak boleh dipandang rendah. Walaupun masih muda, beliau sudah mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Selepas Ecuador tewas dalam perlawanan pembukaan menentang Ivory Coast, kehadiran beliau mungkin menjadi kunci yang diperlukan pasukan untuk mengubah nasib pasukannya. Jika Ecuador mahu mencipta kejutan, kebolehan Paez menghasilkan detik magis menjadi kunci utama. - Foto REUTERS