Namanya mungkin lebih dikenali kerana mencipta sejarah sebagai pengadil Asia pertama di Piala Dunia, tetapi bagi keluarganya, mendiang Govindasamy “George” Suppiah lebih daripada sekadar legenda bola sepak.

Menurut keluarganya, beliau ialah seorang ayah, datuk, guru, jurulatih dan mentor yang meninggalkan kesan kepada ramai, sehingga kisah hidupnya kini diisampaikan menerusi biografi Beyond the Whistle: The Untold Story of Singapore’s Football Legend.

Buku itu dilancarkan pada 26 Ogos di The Ritz-Carlton Millenia Singapore dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam hadir sebagai tetamu terhormat.

Buku biografi Beyond the Whistle: The Untold Story of Singapore’s Football Legend yang dilancarkan bagi mengenang legasi serta perjalanan hidup mendiang George Suppiah.
Buku biografi Beyond the Whistle: The Untold Story of Singapore’s Football Legend yang dilancarkan bagi mengenang legasi serta perjalanan hidup mendiang George Suppiah. - Foto ST

Berkata di majlis tersebut, Tuan Presiden memuji perwatakan, perjuangan dan pencapaian mendiang meletakkan nama Singapura di pentas antarabangsa.

“Beliau bukan sekadar jurulatih, malah menjadi mentor kepada ramai sepanjang hayatnya, termasuk selepas bersara.

“Kami berkumpul di sini untuk mengenang keperibadian George Suppiah, yang begitu mencerminkan nilai-nilai yang membentuk Singapura dan yang harus terus kita junjung.

“Justeru, terima kasih kepada keluarganya, dan terima kasih kepada George Suppiah kerana mengajar kita tentang kehidupan,” kata Tuan Presiden.

Mendiang George Suppiah merupakan pengadil Piala Dunia pertama dari Singapura.
Mendiang George Suppiah merupakan pengadil Piala Dunia pertama dari Singapura. - Foto fail

Mendiang mencipta sejarah pada 19 Jun 1974 apabila mengadili perlawanan Poland menentang Haiti di Olympiastadion, Munich, sekali gus menjadi pengadil Singapura pertama di Piala Dunia dan pegawai perlawanan Asia pertama yang mengendalikan perlawanan di kejohanan berkenaan.

Beliau memulakan kerjaya pengadil pada 1953, menjadi pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 1967 dan mengadili 43 perlawanan antarabangsa sehingga 1978.

Namun, selepas bersara daripada tugas di padang, beliau terus menyumbang sebagai tenaga pengajar pengadil FIFA mulai 1979 selama lebih 16 tahun, selain membimbing pemain muda dan melatih pengadil di Singapura serta Asia.

Namun, bagi anak perempuannya, Cik Shamini Suppiah, pencapaian itu hanyalah sebahagian daripada perwatakan bapanya.

“Beliau adalah seorang anak, abang, bapa saudara, ayah yang hebat, suami yang bertanggungjawab, bapa mentua yang menyokong, datuk yang suka bermain, mentor kepada ramai, guru yang disayangi dan sahabat yang setia,” kata Cik Shamini sambil menahan sebak mengenang ayahnya.

Beliau turut berkongsi bagaimana bapanya memberi kesan kepada orang ramai sehingga ke penghujung hayatnya.

Antaranya adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun – yang menyifatkan Suppiah sebagai jurulatih kegemarannya.

Cik Shamini berkongsi bahawa budak itu bergegas ke Krematorium Mandai selepas mengetahui berita kematian dan turut menangis atas pemergian George Suppiah.

“Itu adalah ayah saya. Beliau menyentuh hati dan memberi kesan kepada kehidupan orang daripada setiap peringkat umur, sehingga ke penghujung hayatnya,” kata Cik Shamini.

Bagi cucunya, Encik J.K Saravana pula, mendiang merupakan figura yang menjadi tempat keluarga mendapatkan nasihat.

Beliau turut berkata beliau amat merindui datuknya dan menganggap kehadiran keluarga serta tetamu pada majlis itu sebagai antara detik paling membanggakan buat keluarga.

Legasi mendiang juga turut diteruskan menerusi Dana Bakat Sukan George Suppiah, yang diperkenalkan keluarga sempena pelancaran bukunya.

Semua keuntungan daripada jualan Beyond the Whistle akan disalurkan kepada dana tersebut bagi membantu atlet muda Singapura yang berpotensi.

Perincian tentang dana tersebut akan dikongsikan pada masa akan datang.

Usaha itu turut selari dengan perjalanan mendiang sendiri, yang sepanjang hayatnya tidak sekadar mengejar pencapaian peribadi tetapi menghabiskan masa membimbing dan membuka jalan untuk generasi seterusnya.

Pada majlis yang sama, pemain bola sepak Singapura berusia 16 tahun, Krishav Ram, turut diraikan.

Krishav berpindah ke Portugal pada usia 14 tahun untuk mengejar kerjaya profesional dan kini beraksi bersama Leixões Sport Club.

Mendapat inspirasi oleh mendiang, Krishav juga menyimpan hasrat untuk menyumbang kembali kepada negara.

“Impian terbesar saya bukan sekadar berjaya di Eropah, tetapi menyarung jersi negara, turun beraksi untuk Singapura dan menyumbang kembali kepada negara yang telah membentuk saya.

“Saya menghabiskan masa di Portugal untuk menimba pengalaman, dengan harapan suatu hari nanti dapat membawa pulang pengalaman itu dan dimanfaatkan kepada masa depan bola sepak kita,” ujarnya.