BERLIN: Legenda Franz Beckenbauer, yang meninggalkan kesan unik dalam bola sepak Jerman sebagai pemain, kapten dan jurulatih, meninggal dunia pada usia 78 tahun, kata Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) pada 8 Januari.
“Franz Beckenbauer sememangnya pemain bola sepak Jerman terbesar sepanjang zaman, dan lebih-lebih lagi beliau seorang lelaki terhebat yang saya kenali,” kata naib presiden DFB, Hans-Joachim Watzke.
Beckenbauer, seorang daripada tiga lelaki yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih, meninggal dunia pada 7 Januari, kata DFB.
Penghormatan diberikan kepada ikon bola sepak itu, dengan Canselor Olaf Scholz dan bekas kapten Jerman Lothar Matthaeus sama-sama berkata “kami akan merinduinya.”
Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) memuji Beckenbauer sebagai “seorang anak lelaki terhebat bola sepak Eropah” yang “membentuk bola sepak Jerman tidak seperti yang lain”, manakala Liga Perdana England (EPL) menyifatkan beliau sebagai “pemain bola sepak paling hebat yang memenangi semuanya dengan anggun dan pesona.”
Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino di Instagram menggelar Beckenbauer sebagai “legenda sejati”, sambil berkata “kami tidak akan melupakanmu, Franz yang dikasihi, terima kasih untuk segala-galanya.”
Pada hari lahirnya yang ke-75, Beckenbauer memberitahu tabloid Jerman Bild beliau sentiasa berdoa.
“Ia adalah doa terima kasih,” kata beliau, yang pernah menjadi kolumnis Bild juga, “terima kasih atas kehidupan yang indah yang saya dapat jalani.”
Bekas kapten pasukan Jerman pada tahun 1970-an, Beckenbauer mengalami masalah kesihatan pada tahun-tahun kemudiannya dan kebanyakannya hidup diketepikan daripada pandangan umum di Salzburg di Austria, di seberang sempadan dengan Jerman.
Dikenali di Jerman yang gila bola sepak sebagai “Kaiser” yang bermaksud “Maharaja”, Beckenbauer memainkan peranan penting dalam beberapa pencapaian sukan terbesar negara itu, tetapi legasinya kemudian dicemari oleh pembabitannya dalam skandal yang menyelubungi kejayaan Jerman menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2006. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg