Topik diikuti
Pergi ke BHkuLegenda Harry Kane bakal pecah rekod penampilan England
Legenda Harry Kane bakal pecah rekod penampilan England
LONDON: Kapten England, Harry Kane, bakal menyerlahkan lagi tahun cemerlangnya dengan memecahkan rekod penampilan bersama ‘Three Lions’ dalam aksi Liga Negara-Negara menentang Croatia pada 12 November.
Apabila Kane mengetuai England ke padang di Wembley untuk penampilan ke-126, beliau akan mengatasi rekod bekas penjaga gol Peter Shilton yang dipegang sejak 1990.
Ini merupakan satu lagi detik bersejarah dalam tempoh 12 bulan yang luar biasa buat penyerang Bayern Munich itu. Pada Oktober, beliau mencipta sejarah sebagai pemain England pertama dalam tempoh 25 tahun yang memenangi anugerah Ballon d’Or.
Rasa bangga Kane menerima anugerah berprestij itu jelas kelihatan ketika beliau menyampaikan ucapan penerimaan yang penuh emosi di majlis gilang-gemilang di London.
Memegang rekod penampilan terbanyak England secara bersendirian bakal menjadi pelengkap sempurna kepada tahun gemilang Kane, sekali gus menyerlahkan ketahanan dan ketekalan luar biasa yang ditunjukkan penyerang berusia 33 tahun itu.
Kane ialah penjaring terbanyak England dengan 91 gol. Beliau juga memegang rekod sepanjang zaman Tottenham Hotspur dengan 280 gol.
Sejak meninggalkan kelab zaman mudanya untuk menyertai Bayern pada 2023, permainan Kane meningkat ke tahap lebih tinggi.
Beliau sudah menjaringkan 156 gol untuk kelab Jerman itu, dan akhirnya memenangi trofi pertama dalam kerjayanya apabila Bayern menjuarai Bundesliga pada 2025 dan 2026.
Kane juga semakin matang sebagai pemimpin. Beliau dilaporkan menunjukkan sifat itu apabila melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap taktik bertahan jurulatih England, Thomas Tuchel, ketika kekalahan kepada Argentina di separuh akhir Piala Dunia pada Julai lalu.
Tuchel memperkuat benteng pertahanan England demi mempertahankan kelebihan 1-0. Namun, Argentina mengambil kesempatan dan menjaringkan dua gol di saat-saat akhir, sekali gus menafikan peluang Kane beraksi dalam perlawanan akhir Piala Dunia buat kali pertama.
Dalam perbincangan terbuka sebelum rehat antarabangsa pada September, Kane dikatakan mengetuai skuad membincangkan taktik Tuchel dengan bersungguh-sungguh.
Jarell Quansah, pertahanan Bayer Leverkusen yang juga merupakan rakan sepasukan Kane di England serta pencabarnya di Bundesliga, menyimpan rasa hormat yang cukup tinggi terhadap penyerang tersebut.
Kane pemain Bundesliga pertama yang memenangi Ballon d’Or sejak Matthias Sammer pada 1996.
“Seluruh Bundesliga, sejujurnya, sangat gembira kerana sudah lama mereka tidak ada pemenang. Mereka jelas menyambut Kane dengan baik, dan semua orang tahu kebolehannya,” kata Quansah kepada BBC.
“Beliau pemain yang menakutkan untuk dihadapi. Tiada sesiapa mahu berdepan dengannya. Hampir pasti beliau akan menjaringkan gol setiap minggu, dan semua orang tahu betapa hebatnya Kane.”
Sejak menjaringkan gol dalam tempoh 79 saat selepas membuat penampilan sulung untuk England sebagai pemain simpanan menentang Lithuania pada 2015, Kane memang kelihatan dilahirkan untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Beliau amat berharap menjadi kapten lelaki England pertama yang mengangkat trofi antarabangsa sejak Bobby Moore mengangkat Piala Dunia 1966.
Kane sudah merasai kepedihan kalah dalam perlawanan akhir Kejohanan Eropah pada 2021 dan 2024.
Namun, tanpa mengira kejayaan meraih trofi, Quansah cukup mengagumi sikap profesional Kane sepanjang sesi latihan dan tidak sedikit pun meragui bahawa penyerang itu sememangnya layak diiktiraf sebagai legenda bola sepak England. – AFP.