MANCHESTER: Legenda Manchester United, Paul Scholes, percaya kelab itu telah melakukan kesilapan besar dalam strategi pembelian pemain pada musim panas.
Menurut beliau, United tidak mempunyai pemain bermutu yang sesuai untuk bermain dalam sistem 3-4-3 yang diinginkan pengurus mereka, Ruben Amorim.
Musim ini, United mencatat permulaan terburuk mereka dalam Liga Perdana England (EPL) sejak musim 1992-93, dengan memperoleh hanya empat mata daripada empat perlawanan pertama.
Analisis dalaman kelab itu menunjukkan bahawa mereka akan mendapat pulangan yang lebih baik daripada pelaburan mereka jika tumpuan diberikan kepada posisi serangan semasa tempoh pemindahan musim panas.
Namun, walaupun telah membelanjakan sekitar 200 juta paun ($348 juta) untuk membawa masuk Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko, mereka hanya menjaringkan empat gol dalam liga, dan dua daripadanya merupakan gol sendiri.
Walaupun tekanan terhadap Amorim semakin meningkat, terutama selepas kekalahan 3-0 dalam perlawanan menentang Manchester City pada 14 September, pihak pengurusan tertinggi United masih berdiri teguh menyokong pengurus dari Portugal itu.
Seperti selepas kekalahan mengejut dalam Piala Carabao kepada pasukan Liga Dua, Grimsby, mereka masih yakin Amorim adalah individu yang tepat untuk mengembalikan kegemilangan kelab itu, dan lebih memilih untuk menilai perkara itu dari sudut jangka panjang berbanding keputusan semasa.
Namun, Scholes bimbang masalah di kelab tersebut lebih mendalam dan sukar untuk diperbaiki dalam masa terdekat.
“Saya nampak tidak ada mutu sebenar dalam skuad sekarang,” kata Scholes.
“Apa-apa sahaja kombinasi dua daripada empat atau lima pemain tengah yang ada – Casemiro, Bruno Fernandes, Kobbie Mainoo – semuanya nampak tak menjadi.
“Itu masalah besar. Saya rasa sepanjang musim panas, keutamaan sepatutnya adalah seorang pemain tengah yang bertenaga dan boleh mengawal tempo permainan.”
Beliau juga mengatakan bahawa United telah menjual Andre Onana terlalu lewat, dan pembelian sehingga tiga pemain penyerang agak keterlaluan buat masa sekarang.
United akan menerima kunjungan Chelsea pada 21 September, dan akan melawat Brentford pada 27 September – di mana mereka telah dibolosi empat kali dalam dua kunjungan terakhir – sebelum berdepan Sunderland dan kemudian Liverpool di Anfield.
Dengan jadual seperti ini, sukar untuk bayangkan perubahan drastik dalam masa terdekat.
Scholes bukan satu-satunya yang berpendapat Amorim perlu ubah gaya permainan jika mahu melihat perubahan.
Bekas penjaring terbanyak United, Wayne Rooney, turut percaya skuad itu kini semakin merosot di bawah bimbingan jurulatih berusia 40 tahun itu, yang menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November 2024.
“Akan tiba masa di mana beliau perlu akui yang pendekatannya sekarang tak menjadi, dan keputusan di atas padang membuktikannya,” tegas Scholes yang memenangi 11 kejuaraan EPL dan dua Liga Juara-Juara bersama United.
“Saya suka Amorim. Apa yang beliau cakap, cara beliau bawa diri – nampak seperti individu yang menyenangkan. Tapi malangnya, keputusan di atas padang yang muktamad.”
“Buat masa sekarang, prestasi semasa memang tidak cukup bagus. Kalau keputusan tidak berubah, persembahan hebat pun tidak bermakna. Beliau perlu mula menang, kalau tidak, tekanan akan jadi semakin berat.”
Selepas musim lalu yang mengecewakan dengan United menamatkan liga di tangga ke-15 dan kalah dalam final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur, Amorim telah berusaha keras musim panas ini untuk mencipta suasana harmoni dalam bilik persalinan pemain.
Walaupun ada khabar angin bahawa sebilangan pemain kurang senang dengan keengganan Amorim untuk mengubah formasi pasukan, tiada tanda-tanda ketidakpuasan secara besar-besaran dalam kalangan skuad setakat ini. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg