Masih terngiang-ngiang dalam ingatan usahawan dan bekas pengurus pasukan Singa, Farehan Hussein apabila pasukan Singapura tewas dalam final Piala Malaysia kepada Kedah pada 1993.

Ketika itu, Farehan baru berusia 10 tahun dan hanya mampu menyaksikan perlawanan tersebut di kaca televisyen.

“Peristiwa ini masih lagi boleh dikatakan segar dalam ingatan saya walaupun ia berlaku 33 tahun yang lalu.

“Apatah lagi ia menyaksikan pasukan Singa tewas 2-0 kepada Kedah ketika itu,” katanya.

Beberapa aksi daripada kekalahan di Stadium Merdeka itu kekal terukir dalam memorinya – termasuk usaha penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri, yang menyelamatkan sepakan penalti salah seorang pemain Singa ketika itu, Alistair Edwards pada minit-minit terakhir perlawanan.

Farehan malah masih dapat mengingati dengan jelas jersi dan stokin belang yang dipakai oleh Ahmad Sobri pada malam bersejarah itu.

Pasukan legenda Singa dan pasukan legenda Kedah bergambar bersama. Walaupun mereka merupakan lawan di dalam padang, di luar mereka semua bermesra sebagai kawan.
Pasukan legenda Singa dan pasukan legenda Kedah bergambar bersama. Walaupun mereka merupakan lawan di dalam padang, di luar mereka semua bermesra sebagai kawan. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK MELAYU KEDAH

Tiga dekad kemudian, beliau akhirnya berpeluang menjadi sebahagian daripada lembaran baharu dalam sejarah tersebut – kini sebagai pengurus pasukan legenda Singa – apabila hampir keseluruhan skuad kedua-dua pasukan dari 1993 itu kembali beraksi di atas padang dalam satu perlawanan persahabatan.

Perlawanan Nostalgia Piala Merdeka Langkawi di Stadium Langkawi pada 29 Ogos itu menyaksikan beberapa legenda bola sepak daripada kededua pasukan beraksi di atas padang.

Walaupun sebahagian besar mereka kini berusia 50-an, 60-an dan ada yang lewat 60-an, Farehan berkata semangat untuk menang masih jelas kelihatan dalam semua pemain tersebut.

“Mereka ini cuba hidupkan semangat seperti pemain-pemain muda yang saya lihat dalam pasukan negara,” katanya berseloroh.

“Yang pasti mereka menunjukkan bahawa kesatuan, semangat untuk Singapura itu tetap ada,” tambah Farehan.

Perkara tersebut turut dikongsi oleh legenda pemain tengah Singa, Malek Awab.

Malek berkata walaupun sudah lebih tiga dekad berlalu, hubungan antara bekas pemain Singapura itu masih kukuh dan mereka kerap berjumpa termasuk bermain dalam perlawanan persahabatan, selain bertemu untuk makan bersama atau berkunjung ke rumah antara satu sama lain.

Semasa dihubungi Berita Harian, Malek akui apabila berdepan Kedah sekali lagi, naluri kompetitif turut kembali.

“Kalau cakap pasal skuad Singapura, kami semua fikirkan nak menang sahaja,” kata Malek sambil ketawa.

Namun, beliau menegaskan bahawa keputusan bukanlah satu-satunya tujuan perlawanan tersebut.

Matlamat utamanya adalah untuk mengeratkan semula silaturahim antara pemain yang pernah berkongsi pentas bola sepak yang sama.

“Perjuangan ke Kedah ada satu matlamat – merapatkan silaturahim. Kalah atau seri tetap bagus,”

“Tapi kalau boleh sambil menyelam minum air – dan kita menang, apa salahnya?” katanya selamba.

Semangat kesukanan dan daya saing kedua-dua pasukan tetap membara sepanjang 90 minit perlawanan, dan akhirnya pasukan Singapura berjaya memenangi perlawanan 2-1.

Singapura membuka jaringan menerusi Saswadimata Dasuki semasa separuh masa pertama sebelum Lim Tong Hai menggandakan kelebihan pada separuh masa kedua.

Gol tunggal Kedah dijaringkan Mohd Nidzam Adzha.

Barisan legenda Singapura menampilkan Mohamed Bashir Khan sebagai penjaga gol bersama Saswadimata, Siva Kumar, Razali Saad, E Manimohan, Yahya Madon, Lim Tong Hai, Abbas Saad, Malek Awab, Steven Tan dan kapten, Fandi Ahmad.

Bekas penyerang Singa, Abbas Saad, turut beraksi dalam perlawanan Nostalgia Piala Merdeka Langkawi di Stadium Langkawi pada 29 Ogos.
Bekas penyerang Singa, Abbas Saad, turut beraksi dalam perlawanan Nostalgia Piala Merdeka Langkawi di Stadium Langkawi pada 29 Ogos. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK MELAYU KEDAH
Kapten pasukan legenda Singapura, Fandi Ahmad juga beraksi dalam kemenangan 2-1 Singapura ke atas legenda Kedah dalam perlawanan Nostalgia Piala Merdeka Langkawi di Stadium Langkawi pada 29 Ogos.
Kapten pasukan legenda Singapura, Fandi Ahmad juga beraksi dalam kemenangan 2-1 Singapura ke atas legenda Kedah dalam perlawanan Nostalgia Piala Merdeka Langkawi di Stadium Langkawi pada 29 Ogos. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK MELAYU KEDAH

Kedah pula dibarisi Azmi Mahmud sebagai penjaga gol, selain Tibor Szaban, V Thinagaran, Farouk Ismail, Lee Tiong Kim, Olubunmi Adigun, Mohd Nidzam, Faridzuan Che Hamid, Fariza Ismail, Syed Alwi Syed Abdullah dan kapten, Radhi Mat Din.

Pertemuan nostalgia itu turut menyaksikan Robert Alberts dan P N Sivaji kembali membimbing pasukan masing-masing di hadapan sekitar 10,000 penonton.

Di akhir perlawanan kededua pasukan sempat beramah mesra dan bergambar bersama sebagai kenangan buat selamanya.

Senang kata kalau di padang mereka lawan, tapi di luar tetap kawan.