Peminat bola sepak pasti teruja mendapat peluang menyaksikan pertembungan hebat antara legenda bola sepak Manchester United dan Liverpool, termasuk bekas penyerang pasukan kebangsaan Perancis dan Manchester United, Louis Saha; bekas bintang pertahanan tengah United, Jaap Stam; bekas penyerang Liverpool, Robbie Fowler; dan bekas penjaga gol mereka, David James.
Penyerang legenda Singapura, Khairul Amri, dan penjaga gawang legenda Singapura, Lionel Lewis, akan turut hadir semasa acara itu.
Mereka akan bersaing dalam satu perlawanan futsal hebat Clash of the Giants di Resorts World Sentosa (RWS), pusat peranginan pertama yang dibina di Singapura.
Menurut RWS, acara yang dijadualkan pada 24 Mei 2025 itu menawarkan pengalaman bola sepak yang menyeluruh di Pusat Konvensyen Resorts World.
Acara itu akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang direka untuk meriahkan suasana dan memikat hati peminat bola sepak.
Pengunjung boleh menikmati pelbagai minuman, sertai permainan kompetitif, dan berpeluang bertemu serta beramah mesra dengan legenda bola sepak EPL itu.
Klinik Futsal yang bertujuan meningkatkan kemahiran pemain muda juga akan memberi peluang eksklusif untuk berinteraksi dengan ikon-ikon tersebut.
Pertandingan Clash of the Giants akan menjadi acara kemuncak, mengumpulkan legenda-legenda bola sepak dalam satu perlawanan yang penuh debaran.
Peminat berpeluang menyaksikan aksi hebat dan sambutan gol yang penuh kegembiraan, semuanya dalam suasana yang bertenaga.
Selain aksi futsal, tetamu boleh membeli tiket Courtside Seats dengan harga $308, yang menawarkan pandangan terbaik bagi perlawanan tersebut.
Selain itu, pada 25 Mei, tetamu boleh menikmati sarapan bersama Legenda di Adventure Cove Waterpark dengan harga $162 setiap seorang, yang memberikan peluang beramah mesra dengan idola bola sepak mereka.
Resorts World Sentosa terus meningkatkan reputasinya sebagai destinasi gaya hidup utama dengan acara-acara seperti Clash of the Giants.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg