Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Leicester di ambang penyingkiran selepas tewas di tangan West Ham

Leicester kini tewas 11 daripada 12 perlawanan terakhir EPL
Feb 28, 2025 | 3:33 PM
Pengurus Leicester City, Ruud van Nistelrooy (tengah), kini berdepan dengan tekanan yang semakin meningkat selepas pasukannya tewas 0-2 kepada West Ham United.
Pengurus Leicester City, Ruud van Nistelrooy (tengah), kini berdepan dengan tekanan yang semakin meningkat selepas pasukannya tewas 0-2 kepada West Ham United. - Foto REUTERS

LONDON: West Ham meneruskan momentum kejayaan selepas menewaskan Arsenal dengan satu lagi kemenangan ke atas Leicester, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pasukan bimbingan Ruud van Nistelrooy yang bergelut di zon penyingkiran.

Tomas Soucek meraikan ulang tahunnya yang ke-30 dengan gol pembukaan pada separuh masa pertama, selepas percubaan gol Mohammed Kudus diselamatkan penjaga gol.

Pasukan tuan rumah menggandakan kelebihan sebelum waktu rehat apabila rembatan sudut Jarrod Bowen ditangkis pemain pertahanan Leicester, Jannik Vestergaard, lalu menjaringkan gol sendiri. 

Sebelum itu, Jamie Vardy hampir meletakkan Leicester di depan apabila tandukannya hasil sepakan sudut terkena palang.

Leicester, yang berusaha merapatkan jurang zon selamat kepada dua mata dengan kemenangan, bermula dengan baik apabila Wilfred Ndidi menguji gawang lawan seawal minit kedua.

Namun, gol pembukaan West Ham memberi tamparan hebat kepada Leicester dan pasukan tersebut sukar mencipta peluang gol selepas itu.

Kekalahan ini menyaksikan pasukan Van Nistelrooy kekal di tangga kedua tercorot Liga Perdana England (EPL), kurang lima mata daripada zon selamat, lapor BBC.

West Ham kini berada di tangga ke-15 EPL, dengan kemenangan berturut-turut meletakkan mereka setara dengan Tottenham dan Manchester United dari segi mata, sekali gus berada dalam kedudukan lebih selamat.

Leicester pernah mencipta sejarah bola sepak apabila menjuarai EPL 2015 dan 2016. 

Namun musim sebelum itu mereka juga mencatat sejarah tersendiri dengan berjaya mengelak penyingkiran walaupun berdepan cabaran besar.

Ketika itu, mereka kelihatan bakal tersingkir apabila menduduki tangga tercorot liga menjelang April, tetapi tujuh kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir mengekalkan mereka di liga utama.

Keadaan semasa Leicester tidak seburuk itu, namun prestasi mereka setakat ini tidak menunjukkan mereka mampu mengulangi kejayaan bertahan dalam liga seperti yang dilakukan sebelum ini.

Masalah utama Leicester musim ini adalah kelemahan di bahagian pertahanan.

Dua gol yang dibolosi bermakna mereka kini telah melepaskan 61 gol dalam 27 perlawanan, berbanding 47 gol yang dibolosi West Ham.

Leicester sepatutnya bertahan dengan lebih baik dalam perlawanan ini, selepas membiarkan dua pemain West Ham tidak dikawal di dalam kotak penalti untuk gol pertama, manakala Bowen pula diberi ruang menyambar bola bagi gol kedua.

Kekalahan ini bermakna Leicester kini telah tewas 11 daripada 12 perlawanan terakhir EPL, yang mencerminkan kurangnya keyakinan dan kreativiti dalam permainan mereka, satu situasi yang tidak dikehendaki mereka dalam usaha mengelak penyingkiran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg