LONDON: Leicester City memenangi rayuan terhadap keputusan yang boleh menyebabkan pemotongan mata kerana dakwaan melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian (PSR) Liga Perdana England (EPL), kata kelab itu pada 3 September.
Kelab itu, yang dikenali sebagai ‘The Foxes’, merayu atas dasar bahawa keputusan suruhanjaya bebas tidak mempunyai bidang kuasa, yang disokong oleh lembaga rayuan bebas.
Mereka kembali ke EPL setelah menjuarai Liga Kejuaraan pada musim lalu.
Keputusan itu dibuat atas dasar bahawa tempoh perakaunan Leicester berakhir pada 30 Jun 2023, apabila kelab tersebut bukan lagi ahli EPL selepas mereka tersingkir ke divisyen lebih rendah pada bulan sebelumnya.
Kelab EPL dibenarkan mengalami kerugian sehingga 105 juta paun ($180 juta) dalam tempoh tiga musim mengikut peraturan PSR. Everton serta Nottingham Forest dikenakan potongan mata musim lalu.
Bagi Leicester, lembaga rayuan memutuskan bahawa masa apabila mereka didakwa melebihi had kerugian tidak boleh berlaku sebelum 30 Jun.
Sebarang kerugian mungkin, sebahagiannya, berpunca daripada aktiviti perdagangan mereka selepas mereka berhenti menjadi kelab EPL.
“Leicester City menyambut baik keputusan menyeluruh lembaga rayuan yang menyokong pendirian kami yang konsisten bahawa sebarang tindakan terhadap kelab harus dijalankan mengikut peraturan yang berkenaan,” kata kelab tersebut.
Leicester pertama kali dirujuk EPL kepada suruhanjaya bebas pada Mac, dan suruhanjaya tersebut menolak cabaran pertama kelab terhadap bidang kuasanya untuk mendengar kes itu.
EPL mengatakan ia terkejut dan kecewa dengan keputusan terbaru itu.
“Meskipun kelab itu adalah ahli liga dari musim 2019-20 hingga 2022-23, keputusan lembaga rayuan secara efektif bermakna kami tidak boleh mengambil tindakan terhadap kelab kerana melebihi had PSR yang berkaitan untuk tempoh perakaunan tersebut,” kata liga tersebut.
Leicester mengeluarkan kenyataan akhbar mereka sendiri, berkata mereka ingin mengelakkan sebarang salah faham yang mungkin timbul berikutan kenyataan EPL sebagai tindak balas terhadap keputusan rayuan.
Sementara itu, juara EPL, Manchester City, dikenakan pertuduhan awal pada 2023 atas 115 dakwaan pelanggaran peraturan dan peraturan kewangan.
City menafikan tuduhan tersebut dengan tegas dan kes itu masih berjalan. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg