Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Leicester menang rayuan: Kesannya kepada kelab lain dalam EPL

Perbicaraan kes Manchester City yang dikena 115 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan, dijangka bermula pada Okt
Sep 5, 2024 | 4:31 PM
Kelab Leicester City (dengan pemain berjersi biru) berjaya dalam hujahan bahawa ia tidak lagi terikat dengan peraturan Liga Perdana England (EPL), dan oleh itu, tidak boleh didapati bersalah melanggar peraturannya.
Kelab Leicester City (dengan pemain berjersi biru) berjaya dalam hujahan bahawa ia tidak lagi terikat dengan peraturan Liga Perdana England (EPL), dan oleh itu, tidak boleh didapati bersalah melanggar peraturannya. - Foto REUTERS

Leicester City memenangi rayuan terhadap satu keputusan suruhanjaya bebas dalam satu kes yang mendakwa kelab itu telah melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian (PSR) Liga Perdana England (EPL).

Ini bermakna kelab tersebut akan terlepas daripada dikenakan penalti atau potongan mata.

Namun, apakah erti keputusan itu bagi seluruh EPL?

Everton dan Nottingham Forest dikenakan potongan mata musim lalu kerana melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian, yang mengehadkan kerugian kepada 105 juta paun ($180 juta) dalam tempoh tiga musim.

Sementara itu, perbicaraan kes Manchester City yang dikenakan pertuduhan pada 2023 atas 115 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan, dijangka bermula pada Oktober.

BBC Sport meneliti implikasi kelab Leicester memenangi rayuan tersebut.

Mengapa Leicester menang?

Leicester didakwa kerana mengalami kerugian 129.4 juta paun sepanjang tiga tahun hingga akhir musim 2022-23.

Jumlah kerugian itu adalah 24.4 juta paun melebihi had 105 juta paun yang dibenarkan.

Kelab yang dikenali sebagai, ‘The Foxes’ itu, merayu atas dasar bahawa keputusan suruhanjaya bebas tidak mempunyai bidang kuasa, yang disokong oleh lembaga rayuan bebas.

Ia kembali ke EPL setelah menjuarai Liga Kejuaraan pada musim lalu.

Leicester berjaya dalam hujahan bahawa memandangkan tempoh perakaunan kelab itu berakhir pada 30 Jun 2023, apabila kelab tersebut bukan lagi ahli EPL selepas ia tersingkir ke divisyen lebih rendah pada Mei 2023 – maka ia tidak lagi terikat dengan peraturan EPL, justeru tidak boleh didapati bersalah melanggar peraturannya.

Adakah EPL akan kemuka rayuan?

Secara teknikal, EPL boleh membuat rayuan, namun ia tidak dijangka berbuat demikian. Ini kerana adalah sukar mengemukakan bukti yang boleh membawa kemenangan.

Isunya terletak pada ungkapan kata-kata dalam peraturan EPL sendiri, dan bukannya kesahihan penghakiman.

Kes itu menimbulkan satu keadaan yang membuat kelab yang tersingkir tidak lagi menjadi sebahagian Liga Perdana jika tempoh perakaunan tiga tahunnya berakhir pada 30 Jun.

Penghakiman kes itu menyatakan bahawa disebabkan itu, EPL tidak punyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman terhadap kelab kerana ia bukan lagi ahlinya.

EPL boleh menulis semula peraturannya untuk menjadikannya lebih ketat dan tidak kabur bagi mengelakkan keadaan yang sama pada masa depan.

Adakah Leicester masih boleh didakwa?

Kelab Leicester masih boleh didakwa sekali lagi jika ia didapati melanggar peraturan kewangan bagi tempoh perakaunan 2023-24.

Mungkinkah Leicester dikenakan tindakan oleh EFL?

Pada Mac, Liga Bola Sepak England (EFL) memulakan siasatan mengenai kemungkinan Leicester melanggar peraturan kewangan untuk tempoh tiga tahun hingga akhir musim 2023-24.

Kelab tersebut dikenakan larangan pemindahan, dan diminta mengemukakan pelan perniagaan tentang cara ia akan mematuhi peraturan tersebut.

Namun, satu Panel Pelaporan Kewangan Kelab (CFRP) bebas memutuskan bahawa di bawah peraturan sedia ada, Leicester “tidak wajib” mematuhi arahan itu.

Dalam satu kenyataan pada 5 September, EFL menyatakan ia “sedang menyemak keputusan (rayuan) tersebut sepenuhnya”.

“Kami berkongsi kekecewaan Liga Perdana. Memang tidak wajar kelab (bola sepak) boleh terlepas daripada pemeriksaan peraturan dan sekatan yang dipersetujui disebabkan pemindahan merentas divisyen,” katanya.

Bolehkah Liga Perdana ubah peraturan?

Secara teori, ya. Tetapi ia perlu melakar satu pindaan peraturan dengan cepat dan melalui proses pengundian sebelum ia membuat dakwaan pada Disember mengenai pelanggaran peraturan kewangan 2023-24.

Bagaimana peraturan kewangan UEFA?

Badan pentadbir bola sepak Eropah, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) mempunyai peraturannya sendiri yang dijangka akan membenarkan kelab berbelanja sehingga maksimum 70 peratus daripada pendapatannya untuk pembayaran gaji.

Namun, peraturan itu tidak relevan dalam kes ini kerana Leicester, Nottingham Forest dan Everton tidak bersaing di Eropah.

Jika, sebagai contoh, Leicester layak bertanding di Eropah pada musim ini, bagi tahun 2025-26, UEFA akan meneliti pendapatan kelab itu bagi musim tersebut, kerana peraturan had perbelanjaan 70 peratus akan berkuat kuasa pada masa itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg