Hariss Harun kini bukan sekadar kapten pasukan bola sepak nasional yang memimpin rakan-rakannya di padang, malah beliau juga melangkah ke barisan kepimpinan bola sepak negara, dengan harapan membawa perubahan yang telah lama dinantikan dalam bola sepak Singapura.
Kapten pasukan Singa itu telah dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), menjadikannya pemain aktif pertama dalam sejarah negara memegang jawatan penting itu dalam FAS.
Pelantikan itu melambangkan suara pemain dalam ruang perbincangan dan penggubalan dasar bola sepak negara.
Hariss berkata, dengan pemain aktif seperti beliau dan bekas pemain seperti Aide Iskandar dan Aleksandar Duric dalam majlis FAS kini, beliau berharap dapat mewakili suara dan mengetengahkan apa yang diperlukan pemain untuk berjaya.
Beliau menambah, kepelbagaian kepakaran anggota majlis FAS yang baru memberikan harapan kepada pembaharuan lebih inklusif.
“Saya rasa ia sesuatu yang segar. Ada wakil daripada pelbagai sektor, jadi majlis FAS kini lebih seimbang dan menyeluruh,” katanya.
Hariss juga menerangkan bahawa matlamat Majlis FAS baru itu adalah meneruskan kerja baik yang telah dilakukan oleh majlis FAS terdahulu.
Mengulas usaha untuk memainkan peranan itu, beliau berkata:
“Biasanya pemain aktif tak terlibat dalam hal sebegini. Tetapi saya fikir saya sudah banyak menyumbang kepada bola sepak di dalam padang, dan ini merupakan peluang yang baik untuk saya menyumbang di luar padang pula.”
Isterinya, Cik Syahirah Mohamad, turut menyokong bab baru dalam kehidupan suaminya itu.
“Naib Presiden FAS. Masya-Allah. Mungkin kedengaran luar biasa, tapi saya percaya awak memang layak menerima amanah ini hasil dedikasi bertahun-tahun. Semoga Allah beri kekuatan dan hikmah untuk galas tanggungjawab ini dengan baik,” kata beliau di Instagramnya.
Walaupun tanggungjawab sedia ada Hariss cukup besar – sebagai kapten negara serta pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, bapa tiga anak, dan juga ejen hartanah – Hariss menerima cabaran itu dengan tangan terbuka.
“Saya tahu ini bukan mudah, tapi saya kena belajar seimbangkan semuanya dan lakukan sebaik mungkin bila tiba masanya,” tambahnya.
Sejak penampilan sulungnya bersama pasukan negara pada usia 16 tahun, dan kini telah membuat 140 penampilan untuk Singapura, Hariss dikenali sebagai seorang yang profesional, lantang bersuara, dan komited terhadap kemajuan bola sepak tanah air.
Pelantikan Hariss turut disambut baik oleh rakan sepasukan.
Rakan sepasukan dan penyerang Sailors, Shawal Anuar, menyifatkan Hariss sebagai “teladan terbaik buat pemain muda” dan percaya langkah itu membuka lebih banyak ruang kepada bekas pemain menyumbang kepada bola sepak, bukan sekadar sebagai jurulatih.
Bek kanan Sailors, Akram Azman, turut bersetuju.
“Ini berita yang menggembirakan. Pemain aktif seperti Hariss mampu beri perspektif berbeza terhadap isu-isu bola sepak kita. Tambahan pula, hubungan baik beliau dengan Presiden FAS yang baru, Forest Li, pasti membantu dari segi kefahaman dan kerjasama dalaman,” kata beliau.
Di sebalik gelaran baru yang diberikan oleh rakan sepasukannya ‘Mr Vice-President’ di dalam padang, Hariss mengakui ia agak lucu tetapi pada masa sama simbolik.
“Saya masih kapten apabila di padang. Tapi apabila bersama anggota majlis, saya perlu memikul peranan sebagai pemimpin. Ini cabaran yang saya terima dengan hati terbuka,” terang beliau.
Hariss juga menyeru penyokong bola sepak Singapura supaya terus memberi sokongan, sambil berkata masa dan kesabaran diperlukan untuk mendatangkan perubahan.
“Saya juga tidak sabar menantikan peningkatan bola sepak kami. Kami akan melakukan yang terbaik untuk bola sepak Singapura.”
“Ia mungkin tidak berjalan dengan lancar selalu, tetapi saya percaya bahawa dengan sokongan semua kita akan maju ke hadapan,” ujar beliau.
Anggota Majlis FAS penggal 2025-2029
Presiden - Forrest Li
Timbalan Presiden - Desmond Ong
Naib Presiden - Hariss Harun
Naib Presiden - Bill Ng
Naib Presiden - Tan Li Yu
Naib Presiden - Sean Bai
Anggota - Bruce Liang
Anggota - Roy Quek
Anggota - Arivan Shanmugaratnam
Anggota - Aide Iskandar
Anggota - Aleksandar Duric
Anggota -Yeong Sheau Shyan
Anggota - Syed Faris
Anggota - Andy Tan Wah Yeow
Anggota - Dinesh Nair
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg