Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Lelaki pun main bola jaring, bukan wanita sahaja

Pasukan bola jaring lelaki S’pura
sertai perlawanan Siri Negara
Dec 06, 2023 | 01:27 PM



Pemain bola jaring, Nigel Lim dan rakan sepasukannya mempunyai dua matlamat dalam Siri Negara bola jaring lelaki yang berlangsung dari 4 hingga 9 Disember.

Mereka mahu berada di tiga kedudukan teratas pasukan dan ingin mencabar stereotaip bahawa permainan bola jaring hanya untuk kaum wanita. 

Bola jaring mungkin merupakan sukan yang didominasi oleh wanita di Singapura, tetapi ia dilihat secara berbeza di tempat lain.

Lim yang merupakan kapten bersama, telah bermain sukan itu sejak 2000. Beliau berkata:

“Apabila anda memberitahu orang anda bermain bola jaring, mereka fikir itu hanya sukan perempuan...

“Negara seperti Australia, New Zealand dan England mendapat sokongan penuh daripada golongan lelaki dan ia semakin berkembang.

“Mereka cuba menyertakan bola jaring ke Sukan Olimpik, jadi kami di sini berusaha ke arah itu, membantu mempromosikannya di Asia dan Singapura untuk memberitahu orang ramai bahawa lelaki juga bermain bola jaring.”

Penekanan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) terhadap keseimbangan jantina dalam program Sukan Musim Panas empat tahunannya telah menyebabkan usaha menyertakan sukan itu menjadi satu cabaran, lapor The Straits Times (ST).


Tidak kira sama ada ini berjaya, pemain seperti Lim, 36 tahun, percaya percubaan sedemikian akan membantu mengembangkan sukan itu dalam kalangan pemain lelaki.

Beliau berkata terdapat kemajuan di negara jiran seperti Malaysia dan Hongkong yang mengiktiraf bola jaring lelaki di universiti dan merupakan sebahagian daripada permainan antara universiti.

Menurut kapten bersama, Ray Ong, yang bermain bola keranjang sebelum menyertai pasukan itu, pertandingan yang sedang berlangsung di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) itu adalah wadah untuk belajar daripada pasukan negara yang lebih kuat dan berpengalaman.

Ia menampilkan pasukan England U-25, Australia U-23, New Zealand A serta pasukan dari Hongkong, Malaysia selain Singapura.

Singapura memulakan kempen dengan kemenangan 58-52 ke atas pasukan Inggeris sebelum tewas kepada Australia 94-20 dalam perlawanan kedua mereka pada 5 Disember.

Ong yang juga pemain pertahanan, 33 tahun, berkata:

“Dengan penyertaan pasukan besar, ia membuka mata kepada negara-negara Asia untuk melihat bagaimana kami boleh meningkatkan tahap kami, terutama jika kami mahu bola jaring lelaki mencapai standard yang boleh dipertimbangkan untuk Sukan Olimpik.”

Penyerang sayap, Irwin Shah Amirul Azami, yang menyertai sukan itu selepas menonton Kejohanan Bola Jaring Dunia 2011 di Singapura berkata, beberapa kemajuan telah dicapai dalam dekad lalu.

Dalam pasukan Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Malaysia, ia mengetengahkan lapan atau sembilan pemain, dengan sebahagian daripada mereka adalah bekas pemain bola keranjang, tanpa pengalaman dalam bola jaring.

Namun kini, presiden Bola Jaring Lelaki dan Campuran (Singapura), Mary Lee, menganggarkan bahawa beliau kini mempunyai hampir 30 pemain berprestasi tinggi dalam pasukannya.

Irwin, 28 tahun, berkata: “Ketika itu, kami ke sana hanya untuk mendapatkan pendedahan, untuk melihat bagaimana menentang pasukan teratas di Asia. Ia benar-benar seperti masuk ke sana, belajar dan berkembang dari situ.

“Kini kami telah berkembang daripada segi bilangan dan kemahiran. Kami adalah versi yang lebih baik sebagai satu pasukan sekarang, berbanding ketika itu.”

Bagaimanapun, pembiayaan masih merupakan cabaran.

Kumpulan Lee tidak diiktiraf sebagai persatuan sukan kebangsaan dan beroperasi secara berasingan daripada Bola Jaring Singapura.

Walaupun sumber terhad, Lee, yang juga jurulatih pasukan itu, gembira kerana mereka dapat menganjurkan kejohanan bola jaring lelaki antarabangsa.

Bekas pemain kebangsaan berusia 53 tahun itu berkata:

“Ini adalah kali pertama kami menentang pasukan dari negara yang lebih besar seperti Australia, New Zealand dan England, dan walaupun mereka tidak menghantar pasukan terhebat, tahap permainan mereka lebih tinggi berbanding kami dalam banyak bidang.

“Tetapi kami akan berusaha untuk mencapai tiga tempat teratas, di samping menamatkan persaingan di atas pasukan Asia yang lain.”

Permainan pilihan akan datang:

  • 6 Disember: Singapura lwn New Zealand A (11 pagi)
  • 7 Disember: Singapura lwn Hong Kong (1 petang)
  • 8 Disember: Singapura lwn Malaysia (11 pagi)
  • 9 Disember: ‘Play-off’ tempat kelima (9 pagi), ‘play-off’ tempat ketiga (11 pagi) dan akhir (1 petang)



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >