Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letsile Tebogo rangkul kejuaraan 200m bersejarah untuk Botswana

Super Syd pamer prestasi menakjubkan ketika pecah rekod dunia larian berpagar 400m wanita
Aug 9, 2024 | 1:41 PM
Atlet pecut Botswana, Letsile Tebogo, menjadi atlet Afrika pertama yang memenangi acara 200 meter di Sukan Olimpik dengan mencatat masa 19.70 saat lantas menjuarai perlawanan akhir acara itu pada 8 Ogos di Stade de France.
Atlet pecut Botswana, Letsile Tebogo, menjadi atlet Afrika pertama yang memenangi acara 200 meter di Sukan Olimpik dengan mencatat masa 19.70 saat lantas menjuarai perlawanan akhir acara itu pada 8 Ogos di Stade de France. - Foto AFP

PARIS: Letsile Tebogo merangkul kejuaraan 200 meter Olimpik yang bersejarah untuk Botswana pada 8 Ogos, dengan Sydney McLaughlin-Levrone atau ‘Super Syd’ mempamerkan prestasi menakjubkan ketika memecah rekod dunia bagi acara larian berpagar 400 meter wanita untuk meraih pingat emas.

Larian mantap Tebogo memusnahkan harapan Noah Lyles untuk meraih tiga pingat emas pada Sukan Olimpik 2024 ketika warga Amerika Syarikat itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dan kemudian mendedahkan beliau dijangkiti Covid-19.

McLaughlin-Levrone pula berjaya menepis saingannya dari Belanda, Femke Bol, yang hanya mampu mendapat pingat gangsa, ketika warga Amerika itu memperbaiki rekod dunianya sendiri dengan masa 50.37 saat dan mempertahankan gelaran johan yang diraih di Tokyo.

Tiga daripada lima perlumbaan akhir pada malam yang memukau di Stade de France dimenangi oleh atlet Amerika, tetapi Lyles bukan antara mereka.

Grant Holloway memenangi pingat emas dalam acara larian berpagar 110 meter, iaitu kemenangan yang beliau terlepas miliki di temasya sukan Tokyo tiga tahun lalu, manakala Tara Davis-Woodhall menjuarai lompat tinggi wanita.

Terdapat satu lagi prestasi luar biasa dalam acara lembing lelaki apabila Arshad Nadeem dari Pakistan membuat lontaran hebat sehingga mencatat rekod Olimpik 92.97 meter untuk merangkul emas individu pertama negaranya pada temasya sukan musim panas itu.

Semua perbincangan sebelum perlumbaan akhir 200 meter lelaki adalah mengenai kemungkinan Lyles, juara 100 meter Sukan Olimpik Paris, mencontohi pecutan berganda Usain Bolt.

Namun, ia berakhir dengan kekecewaan apabila Tebogo, 21 tahun, adalah yang pertama melepasi garisan penamat pada catatan masa 19.47 saat, iaitu rekod Afrika, lantas membawa beliau ke tangga kelima atlet terpantas dalam senarai sepanjang masa.

Beliau juga menjadi atlet Afrika pertama yang memenangi acara 200 meter di Sukan Olimpik.

Kenny Bednarek dari Amerika Syarikat pula meraih pingat perak dengan catatan masa 19.62 saat, manakala Lyles mencatat masa 19.70 saat untuk membawa pulang pingat gangsa.

“Ia amat bermakna kepada benua Afrika kerana mereka kini melihat Afrika sebagai rumah kepada atlet larian pecut, jadi kami hanya perlu memastikan mesej itu kuat dan jelas,” kata Tebogo.

“Ia benar-benar satu perlumbaan yang indah untuk saya,” tambahnya.

Beliau telah berhenti berlatih selama sebulan selepas kematian ibunya, Seratiwa, pada Mei dan kasut pepaku yang dipakainya untuk memenangi pingat emas mempunyai tarikh lahir arwah ibunya.

“Pada asasnya, saya membawa arwah ibu saya melalui setiap langkah yang saya ambil di atas trek.”

Lyles, yang digambarkan di kawasan memanaskan badan dengan memakai pelitup, mengakui selepas perlumbaan beliau telah diuji positif untuk Covid, yang katanya, pasti menjejas prestasinya.

“Tetapi sejujurnya, saya sangat bangga dengan diri saya. Saya tetap keluar bertanding dan mendapat pingat gangsa bersama Covid,” tambahnya.

Lyles berkata beliau akan bersikap “sangat jujur ​​dan telus dengan jurulatih” berhubung potensi penyertaannya dalam perlumbaan akhir berganti-ganti 4x100 meter pada 9 Ogos.

“Saya akan biarkan mereka membuat keputusan. Tidak kira apa yang berlaku, pasukan 4x100 meter ini boleh mengendalikan segala-galanya... Saya tahu mereka boleh menghasilkan kemenangan, memecahkan seberapa banyak rekod yang mereka fikirkan,” ujarnya lagi. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg