SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Tampines kalah lagi selepas sesiakan peluang

Tampines kalah lagi selepas sesiakan peluang

Jun 30, 2021 | 5:30 AM

Tampines kalah lagi selepas sesiakan peluang

NYARIS CATAT MATA SULUNG: Pemain Tampines Rovers Yasir Hanapi (dua dari kiri) cuba melepasi pemain Chiangrai United dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia di Stadium Bola Sepak Bunyodkor di Tashkent, Uzbekistan kelmarin. - Foto BH oleh SHINTARO TAY
NYARIS CATAT MATA SULUNG: Pemain Tampines Rovers Yasir Hanapi (dua dari kiri) cuba melepasi pemain Chiangrai United dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia di Stadium Bola Sepak Bunyodkor di Tashkent, Uzbekistan kelmarin. - Foto BH oleh SHINTARO TAY -

TAMPINES Rovers mungkin kesal kerana gagal mengambil peluang jaringan untuk mencatat kemenangan dalam kempen sulung Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) mereka dalam kekalahan 0-1 di tangan Chiangrai United malam kelmarin.

Setelah pertembungan sukar menentang kelab gergasi Jepun Gamba Osaka Jumaat lalu, Tampines berharap dapat meraih mata menentang juara Piala FA Thailand itu.

Harapan mereka nyaris mencapai sasaran dalam perlawanan yang langsungkan tanpa kehadiran penonton di Stadium Bola Sepak Bunyodkor di Tashkent, Uzbekistan.

Gol saat akhir Sivakorn Tiatrakrul pada minit ke-87 cukup untuk menimpakan Stags satu lagi kekalahan.

Seperti yang dipapar dalam kekalahan 0-2 kepada Gamba, persembahan mereka memberangsangkan ketika menentang pasukan Thailand itu tetapi sekali lagi kurang menyengat di depan gol.

Mereka hampir menemui sasaran dalam beberapa peluang - dua kali dalam tujuh minit pertama dan dua kali terkena palang gawang sepanjang perlawanan.

Keadaan menjadi dramatik pada minit ke-70 apabila perlawanan dihentikan selama tujuh minit setelah lampu stadium terpadam.

Apabila permainan disambung semula, Tampines gigih berusaha mencari gol pembukaan namun gol itu tiba jaringan lawan.

Pada minit ke-87, hantaran Somkid Chamnarnsilp berjaya menemui Sivakorn, yang membolos gawang Syazwan Buhari.

Setelah dua perlawanan, Stags kini menduduki tempat paling bawah kumpulan mereka tanpa mata atau gol.

Mereka akan berdepan juara Korea Selatan Jeonbuk seterusnya lusa.

Jurulatih Tampines Gavin Lee berkata: "Kami sememangnya beraksi cukup baik untuk mendapat sesuatu daripada perlawanan ini.. Mereka mendapat peluang yang baik dan menjaringkan gol.

"Semua orang rasa kecewa, tetapi kami mempunyai pemain dengan perwatakan kuat dalam pasukan yang akan menyokong satu sama lain. Apa yang dapat kami lakukan sekarang adalah pulih daripada kekecewaan dan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya."

Dalam perlawanan Kumpulan H lain, Gamba dan Jeonbuk mengongsi mata dalam perlawanan di Stadium Lokomotiv selepas seri 2-2 kelmarin.

Jeonbuk beraksi cemerlang di awal perlawanan menghasilkan dua gol, pada dua minit pertama menerusi Stanislav Iljutcenko dan Takahiro Kunimoto pada minit ke-17.

Namun, Gamba bangkit dengan dua gol daripada Patric pada minit ke-27 dan minit ke-30 untuk menyamakan kedudukan hingga wisel penamat.

Dengan keputusan itu, Gamba menghuni puncak tangga mengikut perbezaan gol.

Gamba dan penghuni tempat kedua Jeonbuk masing-masing mengumpul empat mata daripada dua perlawanan, dan Chiangrai menduduki tempat ketiga dengan tiga mata.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg