SEHINGGA 250 penonton yang telah melengkapkan vaksinasi atau menunjukkan bukti ujian negatif bagi Covid-19 dibenar menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) di stadium mulai Sabtu ini.
Selanjutnya, dari 24 April pula, jumlah penonton yang sama akan dibenarkan menonton bola sepak di stadium tanpa menjalani sebarang ujian, selaras dengan panduan kelonggaran sekatan Covid-19 yang diumumkan pemerintah bulan lalu, kata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam kenyataannya semalam.
Ini adalah kali pertama penonton dibenarkan hadir di stadium sejak perlawanan terakhir musim lalu, apabila 200 penonton dibenarkan menyaksikan perlawanan antara Geylang International dan Tampines Rovers di Our Tampines Hub pada Disember.
Enam perlawanan SPL dijadualkan antara 10 April dengan 24 April dan penonton yang ingin menyaksikannya di stadium perlu menjalani Ujian Antigen Pantas (ART) atau Ujian reaksi rantai polimerase (PCR), jika mereka belum mendapatkan dua dos vaksin Covid-19, kata FAS.
Namun, mereka tidak akan dikenakan bayaran masuk untuk menyaksikan perlawanan tersebut di stadium, kata Setiausaha Agung FAS Yazeen Buhari.
"Kami faham bahawa sebahagian daripada mereka (penyokong bola sepak) mungkin memilih untuk mengambil PCR atau ART supaya layak memasuki stadium... kami telah meniadakan kos tiket perlawanan dalam tempoh ini," kata beliau, yang mengingatkan semua penonton supaya mematuhi semua langkah pengurusan selamat di stadium.
Penonton yang layak memasuki stadium selepas menunjukkan bukti vaksinasi atau keputusan ujian negatif boleh mengambil gegelang tangan percuma di kaunter yang disediakan di stadium dua jam sebelum perlawanan bermula.
Gegelang itu adalah unik bagi setiap perlawanan dan penonton boleh menggunakannya untuk memasuki stadium sejam sebelum wisel pertama.
Selain dikenakan protokol jarak selamat, penonton ke stadium akan dikenakan pemeriksaan beg.
"Justeru, penyokong dinasihatkan supaya tidak membawa beg atau barangan yang dilarang semasa pergi ke stadium," kata FAS, yang merujuk penyokong bola sepak kepada panduan yang dikeluarkan oleh Sport Singapore (SportSG) kelmarin.
Dalam kenyataannya itu, SportSG berkata sehingga 250 peserta dibenarkan menyertai acara sukan skala besar dengan kumpulan seramai sehingga 50 orang bagi setiap sesi.
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata acara sukan boleh menerima sehingga 250 penonton mulai 24 April sekiranya ujian praacara dilakukan.
Ujian ini tidak diperlukan jika jumlah penonton tidak melebihi 250 penonton.