LONDON: Pada awal musim panas ini Gary Neville, bekas pemain pertahanan Manchester United dan England, menggesa Liga Perdana England (EPL) supaya menghentikan pemindahan pemain ke Arab Saudi atas sebab “integriti”.
Namun, trend perpindahan itu terus menjadi kisah terbesar bola sepak musim panas.
Al-Hilal mengejutkan dunia bola sepak dengan tawaran rekod dunia £259 juta ($445 juta) untuk mendapatkan Kylian Mbappe dari Paris St-Germain, manakala kapten Liverpool Jordan Henderson memilih berpindah ke Al-Ettifaq kendalian mantan kapten Liverpool Steven Gerrard.
Bekas rakan sepasukan Henderson, Fabinho, telah menyertai bekas pemain midfield Chelsea N’Golo Kante di Al-Ittihad, dengan Manchester City menjual Riyad Mahrez kepada Al-Ahli pada harga £30 juta dan Al-Nassr membawa masuk pemain bek Alex Telles dari Manchester United.
Kini, minat di sekitar Liga Pro Saudi mencapai satu lagi kemuncak.
Al-Hilal melengkapkan salah satu perjanjian terbesar dalam jendela pemindahan selepas bersetuju menandatangani bintang Brazil Neymar dari PSG.
Perjanjian untuk bekas pemain Barcelona berusia 31 tahun itu difahamkan bernilai sekitar 90 juta euro ($133 juta) dengan bayaran tambahan.
Jumlah perpindahan, wang yang dibayar dan profil pemain yang berpindah semuanya menggariskan cita-cita liga untuk menjadi salah satu liga terbaik di dunia dalam beberapa tahun akan datang.
Neville adalah antara mereka yang mempersoalkan trend perpindahan itu.
Pada Jun, Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi mengesahkan ia akan mengambil alih empat kelab terbaik dalam negara itu, termasuk Al-Nassr, yang menandatangani ikon bola sepak Cristiano Ronaldo pada Disember.
Terdapat ketidakpastian sama ada PIF memegang saham dalam pemilik utama Chelsea, firma ekuiti privet Clearlake Capital, meskipun sumber kelab telah menafikan dakwaan mengenai penglibatan langsung.
Dan terdapat kebimbangan lanjut selepas Newcastle United menjual pemain Allan Saint-Maximin kepada Al-Ahli, yang diuruskan PIF negara itu, yang juga memiliki kelab Tyneside.
Sedang Neville menggesa “sekatan serta-merta” terhadap kegiatan pemindahan ke Saudi, ketua Liga Perdana Richard Masters memberitahu BBC Sport pada Julai bahawa peraturan untuk menghalang bayaran perpindahan yang melambung adalah “teguh”.
Masters berkata beliau tidak “terlalu bimbang” dan menekankan bahawa kelab-kelab Saudi mempunyai “hak untuk membeli pemain seperti liga-liga lain”.
Beliau menambah: “Mereka sedang melabur dalam pemain dan pengurus untuk cuba meningkatkan profil liga dan kelab-kelab.
“Kita mengambil masa 30 tahun untuk sampai pada kedudukan yang kita miliki dari segi profil, daya saing dan saluran hasil pendapatan yang diperoleh.”
Perbelanjaan mewah Arab Saudi timbul ketika beberapa kelab England berdepan masalah kewangan.
Kededua Chelsea dan Wolves menghadapi keputusan sukar berhubung pembelian pemain pada musim panas ini ketika mereka cuba untuk mengekalkan had tiga tahun Liga Perdana dengan kerugian pada £105 juta di bawah peraturan Permainan Adil dari segi Kewangan (FFP).
Chelsea membelanjakan lebih £400 juta bagi pemindahan pemain musim lalu, sementara Wolves mencatat kerugian £46.1 juta tahun lalu dengan bekas bos Julen Lopetegui berkata kelab itu perlu “menyelesaikan” isu FFP untuk bersaing dalam liga tahap tinggi.
Awalnya Wolves rancang mantan kapten Ruben Neves menyertai Barcelona musim panas ini.
Namun, tawaran bayaran perpindahan £47 juta ke Al-Hilal untuk pemain midfield Portugal itu lebih tinggi daripada jangkaan dan Neves berpindah ke Liga Saudi.
Sumber di Chelsea tetap dengan pendirian bahawa PIF Arab Saudi “tiada minat, secara kewangan atau atas sebab lain” dalam kelab itu.
Tidak dinafikan bahawa PIF mempunyai penglibatan dalam Clearlake. Syarikat ekuiti privet Amerika Syarikat itu mempunyai 400 pelabur berbeza merentasi enam benua dan tiada pemegang saham dibenarkan memiliki lebih 5 peratus organisasi.
Pemilikan pelbagai kelab juga dilarang badan induk bola sepak Eropah, Uefa, yang sejauh ini enggan memberi komen.
Liga Perdana mempunyai sistem penilaian adil untuk cuba memastikan perjanjian, bagi kededua komersial dan pemindahan, dikendalikan mengikut harga pasaran.
Sistem padanan perpindahan Fifa direka sedemikian.
Pada akhirnya, matlamatnya adalah untuk memastikan peraturan dituruti.
Namun ia bukan mudah memandangkan keadaan pasaran yang turun naik dan nilai pemain yang boleh berubah.
Adakah Liga Pro Saudi akan menyebabkan kesan besar pada pasaran itu? – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg