Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lima pasukan EPL buru tiga slot Liga Juara-Juara

Kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Newcastle 18 Mei mengesahkan tempat mereka bersama Liverpool
May 19, 2025 | 4:19 PM
Eddie Howe, Newcastle, EPL, bola sepak
Pengurus Newcastle, Eddie Howe, berkata saingan untuk slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk musim 2025/26 amat sengit dan berkata pasukannya telah beraksi hebat untuk sampai ke peringkat itu. - Foto EPA-EFE

Lima pasukan Liga Perdana England (EPL) akan bersaing untuk merebut tiga tempat untuk ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada hari terakhir musim 2024/25, dengan pengurus Newcastle, Eddie Howe, berkata beliau “sudah menjangka persaingan akan berpanjangan hingga ke penghujung”.

Kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Newcastle pada 18 Mei mengesahkan tempat mereka bersama juara liga, Liverpool, dalam Liga Juara-Juara musim depan, 2025/26.

Namun, keputusan itu turut menyaksikan Newcastle kini berkongsi 66 mata bersama Chelsea dan Aston Villa, sementara Manchester City dan Nottingham Forest mengumpul 65 mata.

Musim ini, lima pasukan dari England layak ke Liga Juara-Juara melalui liga itu – peningkatan daripada kebiasaan empat pasukan – berikutan prestasi cemerlang kelab EPL di pentas Eropah musim ini.

Manchester City di tempat keenam memiliki kelebihan satu perlawanan, iaitu menentang Bournemouth di laman sendiri pada 20 Mei.

Ini bermakna mereka berpeluang menentukan nasib sendiri, tidak seperti Villa.

City, naib juara Piala FA, kemudian akan menentang Fulham pada perlawanan terakhir musim ini iaitu pada 25 Mei.

Newcastle pula sedar kemenangan ke atas Everton di laman sendiri pada hari terakhir akan menjamin tempat mereka.

Chelsea juga sedar satu kemenangan akan mencukupi.

Namun, mereka akan bertandang ke Nottingham Forest, yang menewaskan West Ham 2-1 pada 18 Mei, lantas mengekalkan peluang mereka.

Forest pula mesti menewaskan Chelsea dan berharap sekurang-kurangnya satu pasukan di atas mereka akan kehilangan mata.

Villa pula perlu menang ke atas Manchester United di tempat lawan dan mengharapkan keputusan pasukan lain memihak kepada mereka.

Pemenang perlawanan akhir Liga Europa antara Manchester United dengan Tottenham pada 21 Mei (waktu Eropah) juga akan layak ke Liga Juara-Juara musim depan – menjadikan enam wakil dari England.

Dengan Spurs dan United berada di kedudukan lima terbawah EPL, pasukan yang tewas dalam perlawanan akhir di Bilbao tidak akan beraksi dalam sebarang kejohanan Eropah musim depan.

Dalam pada itu, Newcastle, kendalian Howe, berpeluang melonjak ke tangga kedua dan hampir mengesahkan tempat mereka jika mengatasi Arsenal pada 18 Mei, namun gagal mencapai keputusan itu.

Mereka sudah layak ke Liga Persidangan Eropah selepas menjuarai Piala Carabao, tetapi ingin melangkah lebih jauh – UCL – dengan kemenangan ke atas Everton pada hari terakhir menjadi matlamat utama.

“Kami tidak berada dalam posisi yang baik pada separuh musim lalu.

“Kami telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Persaingan amat sengit. Kami ada satu lagi perlawanan untuk diselesaikan.

“Kami suka bermain di tempat sendiri. Suasananya sangat hebat. Tetapi kami tidak mahu terlalu yakin atau terlalu emosi,” kata Howe.

Harapan Forest untuk ke Liga Juara-Juara mungkin telah musnah andainya tewas kepada West Ham pada 18 Mei.

Namun, kemenangan itu memberikan mereka keyakinan jelang pertemuan dengan Chelsea.

“Ia satu dorongan besar. Beraksi di City Ground juga membantu kami. Stadium pasti akan meriah.

“Kami akan berjuang. Ini perlawanan terakhir, dan kami mahu kejar sesuatu yang amat besar – sesuatu yang ajaib,” kata pengurus pasukan itu, Nuno Espirito Santo.

Penganalisis statistik Opta meramalkan Manchester City mempunyai peluang terbaik untuk layak ke UCL – 85.9 peratus – disebabkan kelebihan satu perlawanan itu.

Newcastle tidak jauh di belakang dengan peluang 83.5 peratus, manakala Chelsea dijangka layak dengan 56.8 peratus.

Villa diberi peluang 44.4 peratus, manakala Forest hanya 29.3 peratus.

Bekas penyerang Newcastle, Les Ferdinand, dalam agensi berita Sky Sports, berkata:

“Perlawanan terakhir musim ini di tempat sendiri, saya jangka Newcastle akan menang ke atas Everton sebab Everton tiada apa-apa untuk dikejar.

“Saya rasa Manchester City juga akan berjaya. Kita tahu mereka boleh bangkit bila perlu. Walaupun musim ini tidak begitu cemerlang, mereka tetap berbahaya.”

Bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp, menambah:

“Saya masih percaya City akan berjaya, tetapi tidak mudah. Pasukan yang mempunyai lawan paling mudah adalah Aston Villa – menentang Manchester United di tempat lawan.

“Tetapi pasukan-pasukan ini bukan berada dalam prestasi terbaik.

“Kemenangan Forest ke atas West Ham amat penting. Ia beri mereka harapan sebenar. Kini, Chelsea perlu ke sana dan menentang pasukan yang dapat mengembalikan keyakinan.”

Crystal Palace, yang berada di tangga ke-12, layak ke Liga Europa selepas menjuarai Piala FA, menewaskan Manchester City di final,17 Mei.

Pasukan yang menamatkan musim di tempat keenam juga akan layak ke Liga Europa.

Newcastle United, sebagai juara Piala Carabao, sekurang-kurangnya layak ke Liga Persidangan Eropah.

Jika Newcastle menamatkan musim dalam kedudukan enam teratas, maka pasukan di tangga ketujuh akan layak ke Liga Persidangan Eropah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg