Topik diikuti
Pergi ke BHkuLion City Sailors lantik Mark Jackson sebagai ketua jurulatih baru
Warga England itu dilantik dengan kontrak hingga 30 Jun 2027 bagi memperkukuh cita-cita kelab itu di pentas bola sepak Asia dan Asean
Lion City Sailors lantik Mark Jackson sebagai ketua jurulatih baru
Lion City Sailors mendapatkan khidmat jurulatih yang terbukti mempunyai rekod kemenangan dalam bola sepak Asean apabila melantik warga England, Mark Jackson, sebagai ketua jurulatih baharu.
Pelantikan itu merupakan satu langkah yang mencerminkan hasrat juara Liga Perdana Singapura (SPL) itu untuk membina kejayaan domestik dan meningkatkan cita-cita mereka di peringkat benua.
Jackson, 48 tahun, menandatangani kontrak sehingga 30 Jun 2027, tertakluk kepada kelulusan visa pekerjaan, selepas meninggalkan gergasi Thailand, Buriram United, hanya beberapa hari lalu.
Beliau hadir dengan pencapaian cukup kukuh di Asia, termasuk membawa Central Coast Mariners menjuarai Liga Australia serta kejayaan bersejarah dalam Piala AFC pada musim 2023/24 sebelum membantu Buriram meraih treble (tiga kejuaraan) – Liga 1 Thailand, Piala FA Thailand dan Kejuaraan Kelab Asean – pada musim lalu.
Selepas muncul juara SPL buat kali kedua berturut-turut pada musim lalu di samping turut memenangi Piala Singapura, sasaran Sailors seterusnya jelas lebih tinggi – membuktikan bahawa penguasaan mereka di pentas domestik harus diterjemahkan kepada pencapaian lebih konsisten di Asia dan Asean.
Ia merupakan bahagian yang masih belum lengkap dalam perjalanan Sailors.
Musim lalu, mereka tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Dua selepas menduduki tempat ketiga di belakang Persib Bandung dan Bangkok United, manakala kempen Kejuaraan Kelab Asean juga mengecewakan apabila mereka hanya menduduki tempat kelima dalam Kumpulan B dengan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
Jackson kini diberikan tugas untuk mengubah perkara itu.
“Saya amat berbesar hati dapat menyertai kelab bola sepak yang hebat ini. Saya tidak sabar untuk memulakan tugas, bertemu pemain, kakitangan dan penyokong serta menjadi sebahagian daripada perjalanan kelab ini.
“Cita-cita dan visi kelab merupakan antara faktor utama keputusan saya menyertai mereka, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik, lembaga pengarah dan pengarah bola sepak atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memimpin pasukan ini,” kata Jackson dalam satu kenyataan Sailors.
Sebelum ini Sailors memecat jurulatih Sepanyol, Jesus Casas, pada 1 September, hanya lima hari sebelum mereka menewaskan Tampines Rovers 2-0 dalam Perisai Masyarakat pada 6 September.
Casas sendiri baru mengambil alih pasukan itu pada Februari lalu.
Varo Moreno, yang bertindak sebagai jurulatih sementara, akan terus mengendalikan pasukan sehingga visa pekerjaan Jackson diluluskan.
Beliau akan ditemani Cameron Toshack sebagai penolong jurulatih, yang juga perlu menunggu kelulusan visa sebelum memulakan tugas secara rasmi.
