Topik diikuti
Pergi ke BHkuLisandro Martinez kecam pengurusan Man U, dakwa kurang pelaburan
Namun langkah pecat Michael Carrick bukan jalan penyelesaian, menurut pemain pertahanan itu
Lisandro Martinez kecam pengurusan Man U, dakwa kurang pelaburan
MADRID: Pemain pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez, mengecam barisan pengurusan kelab tersebut berikutan kekurangan pelaburan pada musim panas ini, selepas pasukan berkenaan tewas 2-0 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara pada 13 Oktober.
Perlawanan tersebut menyaksikan pemain tengah, Pablo Barrios, dengan lincah menjaringkan gol seawal minit pertama, manakala gol kedua dijaringkan oleh Ademola Lookman pada minit ke-79.
Setakat ini, United gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan merentasi semua pertandingan selepas kekalahan di ibu negara Sepanyol itu, sekali gus merupakan permulaan musim terburuk mereka dalam saingan Liga Perdana England (EPL) sejak 40 tahun lalu.
“Sangat hambar,” kata Martinez kepada Amazon Prime apabila ditanya mengenai persembahan pasukannya menentang Atletico.
“Saya perlu banyak mengawal (percakapan saya), tetapi kadangkala ini adalah bayangan... (atau) cerminan kepada keadaan kelab kita ketika ini.”
Martinez berkata beliau “100 peratus” menjangkakan bahawa lebih banyak pelaburan akan dilakukan untuk memperkukuh skuad pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Ini selepas United menamatkan saingan di tempat ketiga EPL musim lalu untuk kembali ke arena bola sepak tertinggi Eropah.
“Saya mengharapkan sesuatu yang lebih daripada pengarah teknikal kami (Jason Wilcox). Saya perlu jujur, sebagai pemain kami perlu berusaha lebih kuat, tetapi adalah penting untuk membina skuad yang mantap bagi persediaan menghadapi malam-malam (perlawanan) sebegini,” katanya.
Martinez turut menambah bahawa pada musim lalu, kelab itu telah “membina asas untuk membentuk pasukan yang luar biasa”, namun ia tidak diteruskan dengan tindakan sewajarnya.
Pengurus pasukan, Michael Carrick, semakin merasai tekanan selepas skuad Red Devils mencatat lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
Namun, Martinez memberi bayangan bahawa langkah memecat pengurus warga England itu bukanlah satu jalan penyelesaian.
“Anda tidak boleh selalu tukar, tukar dan tukar pengurus. Bagaimana pula dengan aspek lain? Saya tidak boleh ulas lebih lanjut,” kata Martinez.
“Malam ini memang mudah untuk menyalahkan jurulatih, mudah untuk menyalahkan pemain, tetapi kita juga perlu meneliti aspek lain.”
Pemilik minoriti Red Devils, Jim Ratcliffe, turut berada di stadium bagi menyaksikan kekalahan peringkat liga itu di tangan kelab yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lepas.
United telah membelanjakan sekitar £140 juta ($237 juta) pada musim panas ini untuk membawa masuk pemain tengah seperti Carlos Baleba, Youri Tielemans dan Andrey Santos.
Namun, para penyokong berasa kecewa kerana kelab itu tidak memperkukuh posisi lain, termasuk pertahanan kiri dan penyerang.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Carrick memberitahu beliau belum mendengar kenyataan Martinez dan tidak dapat memberikan ulasan.
“Saya rasa ia (kenyataan Martinez) mungkin didorong oleh emosi selepas perlawanan, apabila (pasukan) datang ke sini dan berasa kecewa kerana tidak membawa pulang sebarang hasil daripada perlawanan,” kata pengurus itu.
Bekas penyerang Manchester United dan England, Wayne Rooney, menganggap kritikan Martinez sebagai keterlaluan.
“Saya rasa beliau mungkin agak keterlaluan, dan perkara seperti ini sepatutnya kekal dalam kelab sahaja,” kata Rooney kepada Amazon Prime.
“Anda boleh nampak dengan jelas bahawa beliau mengambil berat dan mahu kelab melabur lebih banyak wang untuk membeli lebih ramai pemain. Namun untuk melakukan perkara itu, secara jujurnya beliau mungkin termasuk salah seorang pemain yang akan ditunjuk jalan keluar (dijual kepada kelab lain).” – AFP.