Topik diikuti
Pergi ke BHkuTekanan memuncak bagi Carrick
Keputusan seri 1-1 di gelanggang sendiri catat permulaan terburuk Man U dalam aksi liga sejak musim 1986-87
Tekanan memuncak bagi Carrick
Manchester: Manchester United gagal menewaskan pasukan lawan yang beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan kedua berturut-turut di gelanggang sendiri, selepas diikat seri 1-1 oleh Tottenham Hotspur (Spurs) pada 11 Oktober.
Keputusan itu menyaksikan pengurus kelab, Michael Carrick, kini berdepan tekanan hebat apabila pasukannya hanya mengumpul enam mata daripada enam perlawanan pembukaan Liga Perdana England.
Pasukan Spurs menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Dominic Solanke, walaupun terpaksa bermain dengan kekurangan pemain setelah Rodrigo Bentancur, dibuang padang lima minit selepas gol pembukaan dijaringkan oleh Bryan Mbeumo.
Gol penyamaan terhasil apabila pertahanan tengah United, Lisandro Martinez, gagal mempertahankan bola daripada Solanke, manakala penjaga gol, Senne Lammens, tidak berjaya menyelamatkan percubaan tersebut.
“Ia merupakan hari yang membimbangkan bagi Michael Carrick,” kata bekas kapten United, Gary Neville, semasa mengulas permainan di rancangan sukan, Sky Sports.
Pasukan kendalian Carrick belum mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan liga.
Walaupun pihak pengurusan United sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Carrick, keadaan semasa membangkitkan persamaan dengan nasib mantan pengurus kelab, Erik ten Hag, dan Ruben Amorim, yang kedua-duanya dilucutkan jawatan akibat rekod perlawanan yang lemah pada awal musim.
Mengulas mengenai kemerosotan kelakonan pasukannya, Carrick mengakui beliau tidak berpuas hati dengan jumlah mata yang diraih setakat ini.
“Saya tidak bersembunyi daripada hakikat ini. Realitinya, kita perlu menerima keadaan ini dan mengubahnya ke arah yang positif dengan pantas,” ujar beliau.
Jumlah mata terkumpul daripada enam perlawanan bagi United buat masa ini adalah catatan terendah bagi United sejak kempen 1986-87, apabila pasukan itu meraih empat mata.
United gagal mencatat kemenangan dalam lima daripada enam perlawanan liga (tiga seri, dua kalah), menyamai rekod kegagalan dalam 17 perlawanan di bawah Carrick pada musim lalu.
Bekas pemain tengah dan penganalisis Sky Sports, Jamie Redknapp, merujuk kepada perangkaan kecergasan di padang, di mana Spurs berlari lima kilometer lebih jauh berbanding pasukan United walaupun beraksi dengan 10 pemain.
Menurut bekas pemain tengah Spurs, Danny Murphy, di rangkaian BBC, barisan tengah kelab United gagal mengawal keadaan akibat kelemahan taktikal dan pemain.
Buat masa ini, United sekadar mengutip dua mata daripada dua perlawanan terakhir, walaupun menentang dua pasukan daripada kedudukan terbawah liga.
United, yang kini menduduki tangga ke-12 dalam liga, berada lebih hampir dengan zon penyingkiran berbanding slot kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.
Namun, Carrick, sekurang-kurangnya buat masa ini, tetap mempertahankan pasukannya, walaupun ada pengkritik yang mengecam beberapa pemain yang dianggap kurang memberi sumbangan sepenuh hati, termasuk kapten, Bruno Fernandes, Matheus Cunha dan Diogo Dalot.
“Pemain bersedia untuk mengaku apabila sesuatu tidak berpihak kepada mereka.
“Saya tidak berasa dikecewakan jika mereka melakukan kesilapan. Kita perlu saling membantu untuk menjadi lebih baik dan tugas saya ialah membimbing mereka,” ujar beliau.
“
“Saya tidak bersembunyi daripada hakikat ini. Realitinya, kita perlu menerima keadaan ini dan mengubahnya ke arah yang positif dengan pantas.”