LONDON: Perlawanan pertama pengurus baru Liverpool, Arne Slot, di Anfield berakhir dengan kemenangan memberangsangkan 4-1 ke atas Sevilla.
Slot mengambil alih The Reds selepas pemergian Jurgen Klopp, dan pasukannya menghadapi pasukan La Liga itu selepas kemenangan ke atas Real Betis, Arsenal dan Manchester United semasa jelajah pramusim di Amerika Syarikat.
Diogo Jota meletak Liverpool di hadapan apabila beliau melakukan rembatan voli kali pertama melalui kaki kirinya selepas menerima hantaran Trent Alexander-Arnold.
Alexander-Arnold, Alisson Becker, Luis Diaz, Virgil van Dijk dan Alexis Mac Allister semuanya memulakan perlawanan untuk The Reds dalam aksi pramusim pertama mereka.
Diaz menjaringkan dua lagi gol untuk pasukan tuan rumah sebelum separuh masa selepas menerima hantaran Jota dan Dominik Szoboszlai.
Peque Fernandez menjaringkan satu gol untuk Sevilla selepas rehat, sebelum pemain gantian Liverpool berusia 17 tahun, Trey Nyoni, menambah gol keempat pasukannya dengan satu penyudah yang bijak.
Liverpool kemudian menentang Las Palmas di Anfield dalam satu perlawanan persahabatan tertutup, dengan Darwin Nunez beraksi dalam pramusim pertamanya sejak kembali daripada Copa America bersama Uruguay.
Bek kiri Scotland, Andy Robertson, yang juga memulakan perlawanan menentang Las Palmas selepas kembali daripada kecederaan, hampir menjaringkan gol apabila rembatannya terkena tiang dalam perlawanan yang berakhir seri tanpa jaringan itu.
Sementara itu pengurus baru Chelsea, Enzo Maresca, juga mengendalikan perlawanan pertamanya di Stamford Bridge apabila The Blues mencatat keputusan seri 1-1 dengan juara Italy, Inter Milan.
Maresca menggantikan Mauricio Pochettino pada musim panas untuk menerajui pasukan London itu dan beliau mempunyai penyerang Cole Palmer dan pemain pertahanan Marc Cucurella, selepas mereka kembali daripada Euro 2024.
Kedua-duanya membuat penampilan dalam perlawanan itu, dengan Marcus Thuram meletakkan Inter di hadapan sebelum Lesley Ugochukwu menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir.
Chelsea juga memperkenalkan pemain baru, Pedro Neto, kepada penyokong pada separuh masa.
Penyerang Portugal itu menyertai Chelsea pada bayaran awal sebanyak £51.3 juta ($86.6 juta) dan kemungkinan beserta bayaran tambahan £2.6 juta.
Selain itu, Arsenal, yang menduduki tempat kedua di belakang Manchester City pada dua musim lalu Liga Perdana England (EPL), melengkapkan kempen pramusim mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Lyon.
William Saliba dan rakan pertahanannya Gabriel Magalhaes menjaringkan gol menerusi tandukan daripada sepakan sudut Declan Rice pada separuh masa pertama.
Pemain pertahanan Italy, Riccardo Calafiori, menyertai The Gunners daripada Bologna pada musim panas dan beliau membuat penampilan pertamanya untuk kelab itu apabila menggantikan Oleksandr Zinchenko pada separuh masa kedua.
Sementara itu, pemain pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi, dikaitkan dengan perpindahan ke Newcastle United, manakala Fulham membuat tawaran bernilai £20 juta ($33.8 juta) bagi rakan sepasukannya, bek tengah Joachim Andersen.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu memulakan perlawanan untuk Palace apabila mereka seri 1-1 dengan Nantes.
Jean-Charles Castelletto meletakkan pasukan Perancis itu di hadapan sebelum Daichi Kamada menyamakan kedudukan bagi Eagles. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg