Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool kekal aksi cemerlang awal musim di bawah pengurus baru

Pasukan pimpinan Slot mencatatkan kemenangan ketiga dalam tiga pertarungan Liga Juara-Juara sejauh ini
Oct 24, 2024 | 6:18 PM
Penyerang Liverpool, Darrwin Nunez (tiga dari kanan), meraikan gol kemenangan pasukannya bersama rakan sepasukan lain, mengekalkan permulaan cemerlang pasukan itu pada awal musim baru ini.
Penyerang Liverpool, Darrwin Nunez (tiga dari kanan), meraikan gol kemenangan pasukannya bersama rakan sepasukan lain, mengekalkan permulaan cemerlang pasukan itu pada awal musim baru ini. - EPA-EFE

LEIPZIG (Jerman): Liverpool bukan sahaja mendahului Liga Perdana England, malah mereka juga berkongsi mata dengan Aston Villa sebagai pendahulu fasa baru liga 36 pasukan pertandingan Liga Juara-Juara Eropah selepas kemenangan 1-0 di padang RB Leipzig.

Pasukan bergelar The Reds itu sepatutnya mampu menang dengan lebih gol – sekali gus mengatasi perbezaan gol Villa – namun dikecewakan aksi cemerlang penjaga gawang Leipzig, Peter Gulacsi, yang pernah menghabiskan lima tahun di Liverpool tetapi meninggalkan pasukan itu tanpa sekali pun diturunkan oleh kelab England itu.

Penjaga gawang Hungary itu menyelamatkan satu lagi percubaan Cody Gakpo pada awal separuh masa kedua, manakala bola tendangan Alexis Mac Allister terkena palang ketika Liverpool meneruskan tekanan ke atas tuan rumah, yang menduduki tempat kedua Bundesliga tetapi telah tewas dalam ketiga-tiga perlawanan Liga Juara-Juara musim ini.

Dengan sembilan mata sudah diraih dan lima perlawanan masih berbaki – Bayer Leverkusen (tempat sendiri), Real Madrid (tempat sendiri), Girona (tempat lawan), Lille (tempat sendiri) dan PSV Eindhoven (tempat lawan) – penyokong Liverpool boleh mula memikirkan tentang pusingan peringkat kalah mati.

Pasukan mereka memerlukan hanya dua lagi kemenangan untuk mencapai 15 mata, dengan superkomputer Opta meramalkan pasukan-pasukan ini berkemungkinan besar berada di landasan automatik ke peringkat 16 pasukan terakhir.

Ini adalah persembahan yang penuh bersemangat daripada pasukan pimpinan Arne Slot, yang menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liverpool untuk memenangi kesemua enam perlawanan pembukaan mereka di padang lawan dalam satu musim.

Permulaan cemerlang Liverpool di bawah Slot berterusan apabila jaringan Darwin Nunez melanjutkan rekod kemenangan 100 peratus dalam Liga Juara-Juara.

Nunez meraikan permulaan keempatnya di bawah Slot dengan menjaringkan gol pada minit ke-27 bagi membolehkan pasukan itu mencatatkan kemenangan ke-11 dalam 12 perlawanan dalam semua pertandingan.

Penyerang Uruguay itu beraksi dengan baik. Beliau nyaris menjaringkan gol kedua sebelum separuh masa apabila tandukannya ditepis hingga melepasi palang oleh Gulacsi.

Gulacsi juga menafikan Virgil van Dijk selepas pemain pertahanan itu dibiarkan tanpa diawasi di bahagian sudut.

Liverpool menguasai permainan dan kelihatan memenangi penalti apabila Nunez, yang merupakan ancaman sebenar, dikasari oleh Willi Orban pada minit ke-38 yang menyaksikan pegawai perlawanan menolak bantahan pasukan pelawat.

Terdapat juga beberapa detik cemas buat Liverpool sebelum mereka dapat mencatat kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Pada kedudukan 0-0, penjaga gol Caoimhin Kelleher hampir dimalukan apabila tandukannya yang lemah selepas keluar dari petak gawangnya membuka peluang kepada Benjamin Sesko untuk membuat percubaan yang jauh tersasar.

Kelleher menebus kesilapannya kemudian apabila bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan Sesko dan Xavi Simons.

Leipzig juga mempunyai dua gol dibatalkan kerana ofsaid, tetapi Liverpool menunjukkan persembahan yang baik hingga ke wisel penamat untuk meletakkan diri mereka dalam kedudukan yang kukuh sebelum berdepan Bayer Leverkusen – yang dikendalikan bekas pemain tengah mereka, Xabi Alonso – dan Real Madrid, pemenang Liga Juara-Juara sebanyak 15 kali.

Kemenangan ke atas Leipzig membolehkan Liverpool menyertai Villa dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dalam saingan kelab terbaik bola sepak Eropah itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg